Beliau percaya bahawa kedudukan universiti-universiti itu adalah tergolong dalam lingkungan satu peratus golongan universiti terbaik di dunia. Oleh kerana berasal dari United Kingdom, maka beliau amat arif tentang QS Ranking yang berpusat di negaranya itu. Universiti Malaya (UM) berada di tahap 114, UPM (229), UKM (230), UTM (253) dan USM (264).

Profesor itu bertanya pada saya bagaimana Malaysia kini sudah dapat mencapai kedudukan yang tersangat baik seperti itu dalam jangka masa tidak lama berbanding dengan negara-negara yang sudah lama membangun. Saya memaklumkan kepadanya bahawa salah satu sebabnya ialah kerana KPT mempunyai strategi yang mantap untuk menjadikan universiti-universitinya menca­pai kelas dunia. Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh bersama dengan pasukannya diketahui bekerja keras untuk mencapai cita-cita bagi meletakkan universiti di Malaysia pada tahap yang tinggi. Mengikut Idris, Malaysia mempunyai cita-cita untuk menjadi destinasi pendidikan global menjelang tahun 2025. Beliau berpendapat bahawa pengiktirafan oleh pihak berkecuali dari luar negara ke atas universiti-universiti kita adalah amat pen­ting bagi mencapai hasrat itu. Kalau kita percaya bahawa pada tahun 2025 nanti akan terdapat lebih lima juta pelajar akan keluar melanjutkan pelajaran daripada negara asal masing-masing (Pertubuhan Kerjasama dan Pemba­ngunan Ekonomi – OECD), maka kemungkinan Malaysia menjadi hab pendidikan akan menjadi satu kenyataan. Tetapi ini bergantung kepada kewibawaan universiti di negara kita ini. Walaupun begitu, saya pasti negara ini tidak akan mengorbankan peluang warganegara untuk memasuki universiti-universiti negara.

Mungkin rakyat Malaysia tidak mengetahui sepenuhnya usaha-usaha yang sedang dibuat dan diperhebatkan oleh KPT untuk menuju ke arah itu. Saya melihat bahawa kementerian itu sudah mengenal pasti isu-isu dan cabaran yang dihadapi. Usaha ke arah membina kekuatan universiti me­lalui pengajaran dan pembelajaran, kualiti staf, penyelidikan dan pembangunan komersialisasi produk, kekuatan kakitangan akademik, kolaborasi dengan perindustrian, kemahiran berkomunikasi, pembentukan nilai dan pengharmonian hubungan, dan kebolehpasaran siswazah sedang dipergiat. Usaha-usaha ini adalah seimbang dengan kriteria penarafan universiti QS dan kehendak negara.

Sesungguhnya banyak universiti kerajaan, terutama UM telah menunjukkan prestasi yang sangat cemerlang bukan hanya dari segi kedudukan universiti semata-mata, tetapi juga pada kedudukan fakulti dan jabatan. Umpamanya Fakulti Kejurute­raan menduduki tangga ke-35, mengalahkan Monash, Austra­lian National Unversity, Cornell dan Michigan; Pengajian Media UM di tangga 51, mengalahkan Universiti Ohio, Brown, Carnegie Melon, John Hopkins, SOAS, Sobborne, dan Sterling; Sastera dan Kemanusiaan di tangga 85 me­ngalahkan John Hopkins, Indiana, California San Diego dan Zurich; Sains Kehidupan pula di tangga 164 mengalahkan Cologne, Virge, Taipei Medical University, Dartmouth, Mayo Medical School dan Sun Yat Sen; Perubatan di tangga 101-150 mengalahkan China Me­dical University, Chulalongkorn, Hebrew University dan Queens University Belfast; Linguistik di tangga 51-100 mengalahkan Princeton, Brown University, Carnegie Melon dan Osaka; Seni Bina di tahap 51-100 mengalahkan Rice University, Nottingham, Michigan State,Chulalongkorn dan Institute Technology Madras.

Sayugia diketahui bahawa UM terutamanya, dan beberapa universiti penyelidikan lain telah dapat mengalahkan universiti-universiti hebat yang dikenali sebagai universiti Ivy League di Amerika Syarikat seperti Brown, Dartmouth, Princeton, Pennsylvania, dan Cornell.

Warganegara yang cintakan Malaysia hendaklah melihat usa­ha yang dilakukan oleh Kementerian Pengajian Tinggi ini yang telah menghasilkan kedudukan yang cemerlang bagi universiti-universiti sebagai suatu kemenangan besar yang patut dihargai.

Pada waktu dulu ketika universiti kita tidak mempunyai kedudukan yang cemerlang dan­ tidak mencapai tahap seperti tahun ini, sebilangan kita memandang rendah terhadap ke­upayaan universiti-universiti ki­ta. Kini sudah ternyata bahawa universiti-universiti penyelidikan kita telah berjaya menduduki tempat dalam golongan satu peratus universiti terbaik dunia, maka kita hendaklah mengucapkan tahniah kepada semua yang telah terlibat. Jangan kita hanya pandai mengkritik sahaja, tetapi tidak pandai memberi penghargaan apabila perlu.

Profesor yang bersama saya ke KPT semalam itu adalah seorang profesor bidang Pergigian. Beliau amat maklum bahawa pada 1997, Fakulti Pergigian UM telah diiktiraf oleh The General Dental Council of United Kingdom sebagai setanding dengan yang terbaik di dunia. Beliau bertanyakan saya apa sebabnya pada tahun ini Fakulti Pergigian UM, atau mana-mana Fakulti Pergigian di Malaysia langsung tidak mendapat kedudukan yang sewajarnya. Saya hanya mampu tersenyum tetapi enggan menjawab walaupun sa­ngat maklum tentang sebabnya.

PROFESOR EMERITUS DATUK DR. HASHIM YAACOB ialah bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM).