Dalam konteks pendidikan tinggi, amanat kali ini membawa fokus utama iaitu wibawa. Maszlee mengupas panjang lebar perkara ini dengan saranan hala tuju bagaimana kewibawaan universiti boleh diperkasa. Empat hala tuju itu adalah kualiti, autonomi, kolaborasi dan pengantarabangsaan. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), wibawa bermaksud kepakaran dalam sesuatu bidang ilmu pengetahuan dan berkuasa dan hak memberi perintah yang mesti diikuti.

Dalam konteks akademik, istilah dan konsep wibawa bukanlah satu perkara asing. Berdasarkan Kajian Pengukuhan Wibawa, Integriti dan Profesionalisme Akademik yang diketuai oleh Profesor Datuk Dr. Norzaini Azman, wibawa bermaksud, ‘penghargaan, penghormatan dan pengiktirafan pihak luar terutamanya rakan dan institusi kesepakaran terhadap kecemerlangan akademik di peringkat organisasi dan individu akademik pada tahap kebangsaan dan antarabangsa. Kajian itu juga memberi empat cirian utama wibawa akademik, iaitu pertama, dasar, prinsip dan identiti; kedua, kepemimpinan akademik; ketiga, kelayakan dan prestasi; dan keempat, budaya akademik.

Agenda mengembalikan wibawa pengajian tinggi seperti yang dihasratkan dalam amanat menteri adalah sangat relevan dalam konteks semasa khususnya di universiti awam tempatan. Lebih-lebih lagi, konsep kewibawaan bermaksud kualiti dan kecemerlangan universiti yang diyakini lantas diiktiraf pihak luar, bukannya pengiktirafan yang dicanang sendiri.

Kayu ukur kewibawaan sangat mudah dilihat. Kewibawaan itu berlaku apabila universiti sebagai institusi keilmuan dan ahli akademik sebagai penyelidik dirujuk kepakarannya oleh pihak berkepentingan seperti kerajaan, industri dan komuniti. Oleh kerana itu dalam amanat tahun baharu, Maszlee memberi contoh kepentingan ahli akademik menghasilkan karya yang memanfaatkan masyarakat.

Meskipun tidak dihuraikan apakah maksud karya itu, ia boleh difahami sebagai tulisan, ciptaan dan inovasi oleh ahli akademik yang berasaskan kesarjanaan. Penghasilan karya ini bukan lagi untuk keperluan dan tuntutan akademik semata-mata, tetapi menjayakan proses pemindahan ilmu dan kepakaran demi kesejahteraan sejagat.

Penjenamaan Universiti

Mutakhir ini, universiti awam tempatan telah mengusahakan pelbagai inisiatif bagi tujuan penjenamaan institusi masing-masing. Tidak dinafikan, penjenamaan ini menelan kos yang besar bagi mempromosi dan menjamin keterlihatan universiti. Penyertaan universiti dalam sistem ranking juga dilihat sebagai cabang penjenamaan yang bermatlamat menonjolkan kesohoran institusi.

Ironinya, amanat Menteri Pendidikan kali ini langsung tidak menyentuh soal ranking. Penulis dapat memahami kewajarannya kerana ranking atau penjenamaan universiti tidak menentukan kewibawaan institusi secara mutlak. Dalam proses penjenamaan, kita akan menonjolkan kekuatan institusi kita sebagai yang terbaik. Akan tetapi, itu dikhuatiri hanyalah sekadar sanjungan sendiri atau self-proclaimed.

Selain faktor globalisasi, persaingan dalam kalangan universiti menjadi pemangkin kepada proses penjenamaan, lebih-lebih lagi impak daripada pengaruh dan budaya industri yang kuat. Persoalannya, bermaknakah penjenamaan atau kedudukan ranking, jika institusi atau universiti kita tidak dapat meyakini dan menjadi rujukan masyarakat?

Maka, di sinilah letaknya kepentingan kewibawaan yang bukan sahaja menzahirkan kecemerlangan universiti, tetapi kecemerlangan itu diyakini, diiktiraf dan dimanfaatkan oleh pihak luar. Kewibawaan universiti terbukti jika ahli akademiknya yang mempunyai autoriti ilmu, dirujuk kesarjanaan dan kepakaran mereka.

PENULIS ialah Prof. Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Setiausaha Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (PenDaPaT).