Kayu yang tergolong dalam kategori paling berkualiti ini adalah daripada keluarga pokok jenis dipterocarpacease iaitu sejenis pokok yang menghasilkan buah dan mengeluarkan resin atau damar.

Menurut laman web www.iucnredlist.org, pokok ini disenaraikan sebagai spesies terancam dan lebih 50 peratus populasi berkurang sejak beberapa dekad lalu akibat aktiviti pembalakan tidak terkawal dan penanaman semula hutan.

Cengal merupakan spesies pokok yang istimewa. Ini kerana kayunya begitu berkualiti dan tahan lama kerana mempunyai ketumpatan antara 915 kilogram sehingga 980 kilogram per meter padu.

Oleh kerana itu, ia sering digunakan sebagai bahan binaan terutama untuk membina rumah, bot, tiang, jambatan, lantai dek, badan kenderaan, anak tangga dan pelbagai jenis pengangkut berat mahupun bahan ukiran seni tradisi dan warisan terutama dalam kalangan orang Melayu.

Ketahanan kayu itu disebabkan terdapat sejenis bahan awet semula jadi yang melindungi kayu teras.

Kayu gubal, teras dan kulit pokok cengal mempunyai sejenis damar yang dikenali sebagai damar penak serta boleh digunakan dalam pembuatan varnis.

Pokok cengal tumbuh di kawasan hutan tanah pamah yang mempunyai ketinggian kurang daripada 1,000 meter terutama di kawasan yang mempunyai saliran air yang baik.

Di Malaysia, sebatang pokok cengal yang terdapat di Hutan Simpan Pasir Raja, Hulu Dungun, Terengganu memegang rekod sebagai pokok cengal paling tua di negara ini.

Ia ditemui pada 1999 oleh seorang renjer hutan dan pokok itu dianggarkan berusia lebih 1,000 tahun.

Pokok tersebut mempunyai ketinggian 65 meter dengan ukur lilit 16.75 meter atau kira-kira 13 pemeluk.

Sehingga kini, pokok berkenaan sering menjadi tumpuan sektor pelancongan bagi mereka yang mahu melihat sendiri keunikan pokok cengal yang ada di Malaysia.