Tidak dapat dinafikan inte­raksi dua negara berdaulat ini yang melampaui lebih lima dekad lamanya telah menempuh pelbagai dugaan dan cabaran tetapi hakikatnya kedua-dua negara ini saling memerlukan di antara satu sama lain. Dengan bahasa lebih mudah, makmurnya Malaysia, maka makmur juga Singapura.

Sebab itu apabila Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan era hubungan antara Malaysia dan Singapura kini adalah berbeza dengan suasana konfrontasi suatu masa dahulu, kenyataan tersebut tidak boleh dianggap sebagai andaian semata-mata kerana hu­bungan diplomatik yang agak tegang sering tercetus satu ketika dahulu.

“Kami tidak sekali-kali ingin kembali kepada era diplomasi konfrontasi dan gemar melaungkan kata-kata retorik antara ke­dua-dua negara,” tegas Najib lagi ketika sidang akhbar bersama-sama dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong bersempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Kelapan kelmarin. Ungkapan ‘kami’ yang digunakan oleh Najib menyerlahkan lagi bagaimana gaya ke­pimpinan sama ada Malaysia atau Singapura yang sentiasa mewarnai sentimen hubungan kedua-dua negara.

Memang sukar untuk menafikan hubungan yang tegang tidak akan membawa manfaat kerana masing-masing mahu mempertahankan hak tanpa mahu bertolak ansur. Dalam hal ini Hsien Loong juga turut akur suasana perhubungan pada ketika ini sebenarnya memberi manfaat kepada negara dan rakyat kedua-dua belah pihak.

Pernah suatu ketika timbul pergeseran mengenai kadar harga air mentah yang dibekalkan oleh Malaysia kepada Singapura di mana Kuala Lumpur menegaskan kadar 3 sen untuk setiap 1,000 gelen adalah terlalu rendah dan sepatutnya dibuat kajian semula manakala Singapura pula mempertahankan hak mereka dengan menggunakan alasan perjanjian hanya boleh diubah dengan persetujuan kedua-dua pihak. Oleh kerana hubungan kedua-dua negara ketika itu diwarnai oleh elemen konfrontasi dan retorik tiada kata sepakat dicapai kerana faktor mempertahankan kepen­tingan masing-masing memainkan peranan utama dalam setiap keputusan yang dibuat.

Kelmarin, kedua-dua pemim­pin menyaksikan perjanjian Sistem Transit Rapid (RTS) dime­terai yang antara lain akan me­mudahkan perjalanan di antara kedua-dua negara. RTS yang menghubungkan Bukit Chagar dan Woodlands Utara dijangka mampu menampung sehingga 10,000 pengguna setiap jam dan Hsien Loong menganggap sistem pengangkutan itu adalah agen perubahan kepada situasi yang lebih baik.

Ini kerana setiap hari lebih dari 300,000 rakyat kedua-dua negara ini berulang alik sama ada untuk urusan perniagaan, melancong atau pekerjaan.

Sebab itu juga Malaysia pernah mencadangkan supaya Tambak Johor itu diganti dengan jamba­tan kerana laluan tambak sudah tidak mampu menampung jumlah pengguna yang semakin meningkat setiap hari. Tetapi oleh kerana hubungan kedua-dua pemimpin tertinggi kedua-dua negara adalah agak tegang pada ketika itu, maka seperti yang diketahui cadangan tersebut hanya tinggal sekadar cadangan walaupun Malaysia pada ketika itu secara unilateral telah memulakan pembangunan infrastruktur asas.

Dua projek ikonik iaitu Marina One dan DUO dianggap sebagai simbol hubungan saling memberi manfaat kerana kedua-dua projek tersebut yang dibangunkan oleh M+S Pte Ltd, adalah syarikat usaha sama antara Khazanah Nasional Berhad dan Temasek Holdings Pte Ltd. Nilai pembangunan kasar (GDV) kedua-dua projek tersebut ialah S$11 bilion dan paling menarik jumlah keuntungan kepada kedua-dua pihak bergantung de­ngan nisbah usahasama 60:40 an­tara Khazanah dan Temasek.

Perlu ditekankan projek tersebut yang dicadangkan oleh ke­dua-dua Perdana Menteri pada 2010 telah melalui berbagai ca­baran tetapi akhirnya berjaya di­laksanakan hasil penyelesai­an dalam PoA (Perkara-perkara Dipersetujui). Ini adalah kerana isu sensitif seperti tanah milik KTMB seluas 217 ekar turut terlibat dalam terma PoA tersebut.

Jika diandaikan Kuala Lumpur masih mengamalkan hubungan dua hala ala retorik pada 2010 maka sudah pasti PoA tidak akan terjalin kerana memiliki tanah di kawasan strategik di negara asing adalah faktor yang memihak kepada Malaysia. Tetapi perlu difahami tanah KTMB tersebut terikat dengan Ordinan Kereta Api 1918 kerana syarat kekangan pembangunan yang ada kaitan dengan kereta api sahaja yang boleh dilaksanakan.

Sebab itu, Najib membuat keputusan berani kerana wujud­nya PoA tanpa penyelesaian dianggap sebagai duri dalam daging hubungan Malaysia dan Singapura. Malah jika dibiarkan status quo tanah KTMB, Malaysia tidak mendapat manfaat kecuali wujud perasaan ego memiliki tanah di Singapura. Tetapi melalui projek Marina One dan DUO, kedua-dua pihak mampu memperoleh manfaat yang begitu lumayan.

Memang enak didengar dan sedap mata memandang apabila Kuala Lumpur mengamalkan dasar hubungan penuh retorik dengan Singapura satu ketika dulu tetapi perasaan ego seperti itu sebenarnya tidak membawa manfaat yang nyata.