Serangan ganas yang bermula 25 Ogos lalu adalah pencerobohan terkini Tatmadaw yang berselin­dung di sebalik dalih pembunuhan seorang askar, enam anggota polis dan orang awam termasuk Rohingya yang didakwa dilakukan militan Rohingya seperti dilaporkan oleh pejabat Penasihat Negeri. Ini kali pertama militan Rohingya bertindak secara bersenjata setelah kehilangan beberapa ratus nyawa, rumah dan harta benda akibat kekejaman pasukan keselamatan sempadan Myanmar sejak 2012.

Beberapa media antarabangsa melaporkan lebih 15,000 pelarian Rohingya telah menyeberangi sempadan Bangladesh sejak operasi ketenteraan bermula di Rakhine pada 25 Ogos.

Pertubuhan hak asasi manusia Human Rights Watch yang berpangkalan di New York pula mendakwa bukti-bukti bergambar melalui satelit menunjukkan pembakaran yang meluas di 10 kawasan di negeri Rakhine Utara. Program Makanan Sedunia (WFP) PBB pula merekodkan sejumlah 80,000 kanak-kanak Rohingya Muslim kelaparan di Rakhine.

Perlu diketahui bahawa Union of Burma menandatangani Perjanjian Pan Long di antara kebanyakan wakil masyarakat minoriti dan Jeneral Aung San iaitu bapa Suu Kyi dan lain-lain masyarakat pada 12 Februari 1947 bagi memastikan hak-hak kelompok minoriti yang layak dinikmati mereka. Namun demikian, selepas pembunuhan Jeneral Aung San pada 19 Julai 1947, rejim ketenteraan terus bertindak mengabaikan hak-hak asasi manusia kumpulan minoriti melalui perlakuan kejam mereka terhadap kaum etnik seperti Rohingya sehingga ke hari ini.

Rentetan sejarah ternyata membuktikan penduduk minoriti Muslim Rohingya telah mula diusir secara besar-besaran, agresif dan sistematik oleh junta tentera di bawah Jeneral Ne Win khususnya mulai tahun 1979. Seramai 200,000 pelarian telah diberi perlindu­ngan oleh kerajaan Bangladesh atas dasar simpati kemanusiaan negara tersebut.

Pada hakikatnya, suatu perjanjian dua hala telah pun ditandatangani di antara pemerintah Bangladesh dan kerajaan Burma Jeneral Ne Win untuk penghantaran pulang pelarian tersebut ke negara mereka dalam masa 16 bulan.

Namun pada 1982, kerajaan Burma telah membuat pindaan terhadap undang-undang kewarganegaraan yang telah membatalkan kewarganegaraan Rohingya di negara mereka sendiri. Junta tentera yang meme­rintah menukar namanya dari Uni­on of Burma ke Union of Myanmar pada 1989, setahun setelah ribuan orang terbunuh dalam penindasan pemberontakan yang popular terhadap junta tentera ketika ditolak untuk menyerahkan kuasa kepada Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD) Aung San Suu Kyi pada November 1988. Undang-undang itu menghalang Presiden NLD untuk menjadi Presiden Myanmar.

Penduduk minoriti Muslim Rohingya sekali lagi menjadi mangsa junta tentera Myanmar pada 1990 ketika mereka melakukan operasi yang dinamakan Nagamin (Raja Naga) dalam usaha untuk menghapuskan pendatang tanpa izin dari negara tersebut.

Penulis tidak yakin bahawa cadangan Suruhanjaya Bebas yang diketuai oleh bekas Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan untuk menyelesaikan krisis kronik di Rakhine­ akan dapat dilaksanakan secara baik oleh pejabat Penasihat Negeri. Pada hakikatnya, apabila suruhanjaya itu ditubuhkan pada 2016, Tatmadaw menyokong Ke­satuan Solidariti dan Parti Pemba­ngunan (USDP), yang kini dikenali sebagai Ma Ba Tha, iaitu organisasi biara­wan yang Islamofobik. Kedua-dua Ma Ba Tha dan kaum nasionalis Rakhine menolak pembentukan suruhanjaya yang dilihat sebagai campur tangan oleh orang asing dalam hal ehwal dalaman.

Faktor ini dilihat sebagai penghalang utama pelaksanaan sebarang usul sesuatu suruhanjaya seperti yang dipengerusikan Annan. Oleh yang demikian tidak menghairankan apabila sehingga kini Myanmar enggan memberikan visa kepada pasukan pencari fakta PBB yang diberi mandat melalui resolusi Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva pada 24 Mac lalu.

Duta Besar Amerika Syarikat ke PBB, Nicky Haley telah menyeru masyarakat antarabangsa untuk bersatu suara dalam mendesak kerajaan Myanmar untuk bekerjasama dengan misi PBB yang diberi mandat menyi­asat penyalahgunaan kuasa oleh pasukan tentera dan keselamatan.

Majlis Keselamatan PBB telah menzahirkan pendirian mengutuk pembunuhan di kedua-dua belah pihak tetapi tidak membuat kenyataan yang jelas dan kukuh akibat desakan Duta Besar China ke PBB. Sudah tiba masanya China mengambil perhatian serius masalah di Myanmar kerana China juga berdepan masalah di sempadan negara tersebut sendiri akibat tindak balas etnik minoriti Kachin di negara Kachin di Myanmar Utara yang menentang junta tentera Myanmar. Konflik di negeri Kachin juga pada masa-masa ter­tentu merebak ke sempadan China.

Sesi ke-72 Perhimpunan Agung PBB (UNGA) pada 19 September ini yang bakal mengumpulkan para pemimpin negara anggota PBB me­rupakan peluang untuk badan du­nia tersebut memuktamadkan suatu resolusi tindakan menghentikan segera kekejaman ke atas penduduk minoriti Muslim Rohingya. Terbaharu, Presiden Turki Tayyip Erdogan yang telah melabelkan tindakan Myanmar sebagai suatu bentuk genosid, menyeru agar pe­mimpin dunia bersepakat mengutuk tindakan Myanmar serta melakukan sesuatu untuk menyelamatkan penduduk minoriti Muslim Rohingya.

PBB perlu segera mengadakan resolusi bagi menghantar pasukan keamanan PBB ke negeri Rakhine dengan tujuan melindungi keselamatan minoriti penduduk Muslim negeri Rakhine, selain membawa pulang penduduk Muslim Rohingya dari negara-negara jiran ke tanah air mereka. Majlis Keselamatan PBB juga harus mempertimbangkan untuk mengenakan sekatan ekonomi terhadap kerajaan Myanmar. Dunia perlu segera menghentikan pertumpahan darah ini.

Azril Mohd. Amin ialah peguam dan ketua eksekutif, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA)