PRK P.078 Parlimen Cameron Highlands dijangka menyaksikan pertandingan beberapa penjuru daripada calon-calon pelbagai parti, termasuk BN, DAP, MyPPP, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan calon Bebas. Namun PRK ini akan melihat pertembungan sengit antara calon BN dan PH.

BN baru sahaja umumkan calonnya iaitu daripada komuniti Orang Asli, malah anak tempatan dari Cameron Highlands yang berpengalaman dan berkelulusan tinggi. Walaupun kerusi ini merupakan kerusi tradisi MIC, kepimpinan MIC bersetuju meletakkan seorang calon yang mampu menang dalam semangat konsensus BN.

Dengan ini jelas tidak timbul soal kerusi ini dirampas oleh UMNO. Tan Sri M. Kayveas daripada MyPPP juga umumkan pencalonannya walaupun MyPPP masih menghadapi krisis kepimpinan dalaman parti. PH pula sudah umumkan calonnya dari DAP, M. Manogaran yang pernah bertanding dua kali di kawasan itu dan kalah kepada MIC.

Kayveas pula pernah kalah dalam merebut kerusi Parlimen Taiping pada PRU-13. Percubaan beliau untuk menjadi calon bagi kerusi parlimen Cameron Highlands ini pada PRU-14 pernah ditolak oleh kepimpinan BN. Dengan itu Kayveas terus umumkan MyPPP keluar daripada gabungan BN.

P.078 Cameron Highlands meliputi dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu N.01 Tanah Rata dan N.02 Jelai. Jumlah pemilih berdaftar kerusi Parlimen ini adalah 32,105 orang terdiri daripada 10,752 (33.49 peratus) Melayu, 9,467 (29.49 peratus) Cina, 4,836 (15.06 peratus) India dan 7,050 (21.95 peratus) Orang Asli. Kadar peratusan jumlah pemilih Melayu dan Cina didapati hampir seimbang dalam kawasan parlimen ini. Namun, undi Orang Asli yang berterabur dalam 27 kawasan penempatannya yang terpencil dijangka memberi impak kepada keputusan PRK ini.

Kerusi Cameron Highlands dimenangi BN sejak PRU kesembilan pada 1995. Calon BN memenangi kerusi ini pada PRU-11 dengan majoriti 6,260 undi. Pada PRU-12 pula dengan majoriti 3,117. Kemenangan diteruskan pada PRU-13 dengan majoriti 462 undi dan pada PRU-14, 597 undi. Walaupun BN menang berturut-turut, sokongan terhadap calon BN dikesan kian menurun. Namun, penganalisis politik mendakwa calon BN memperoleh sokongan padu daripada pengundi Orang Asli dan Melayu (UMNO). Misalnya, hampir 85 peratus pengundi Orang Asli didapati menyokong calon BN pada PRU-13 dan 14.

Dalam pada itu, perlu diambil kira faktor bahawa sokongan berterusan pengundi Cameron Highlands kepada calon MIC mewakili BN membantu BN terus mempertahankan kerusi ini ketika sebahagian besar pemimpin MIC di kawasan lain kalah. Ini termasuk presiden MIC pada PRU-12 akibat tercetus `penangan’ Hindraf. Malah, kerusi ini masih boleh dimenangi oleh Datuk C. Sivaraajh dari MIC apabila tujuh calon parlimen dan 15 calon DUN MIC termasuk presiden parti itu tersungkur pada PRU-14 kerana gelombang PH.

Namun, suasana politik mutakhir menunjukkan peluang bagi calon BN dan PH dikatakan 50-50. Jadi, sokongan ahli dan penyokong setia Pas dijangka memihak calon BN kerana Pas tidak bertanding pada kali ini. Pas berundur kerana berhasrat bekerjasama dengan BN dalam mengalahkan PH. Ini bermakna, hampir 3,587 undi yang diperoleh Pas pada PRU-14 dijangka beralih memihak BN.

Peralihan sokongan ahli dan penyokong Pas kepada BN dipercayai memberi impak yang signifikan kepada keputusan PRK kali ini.

DATUK M. PERIASAMY ialah penganalisis politik.

Petikan:

“Namun, penganalisis politik mendakwa calon BN memperoleh sokongan padu daripada pengundi Orang Asli dan Melayu (UMNO). Misalnya, hampir 85 peratus pengundi Orang Asli didapati menyokong calon BN pada PRU-13 dan 14.”

Fotobyline M. Periasamy