Mengikut Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan, bahawa tiap-tiap warganegara yang berumur 21 tahun yang bermastautin di dalam mana-mana bahagian pilihan raya dan berdaftar sebagai pengundi adalah berhak untuk mengundi dalam pilihan raya Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri. Berdasarkan peruntukan dan falsafah tersebut, hukum mengundi bukan sekadar hak yang diberi kepada semua warganegara Malaysia.

Parti politik yang memenangi majoriti kerusi dalam PRU-14 akan membentuk kerajaan pemerintah bagi tempoh lima tahun akan datang. Justeru, pengundian menjadi antara proses melaksanakan perlembagaan dan juga undang-undang. Pendek kata, kuasa untuk memerintah itu adalah penting dan kuasa itu pula terletak pada undi setiap rakyat yang layak mengundi. Sebab itu tidak dapat tidak, pengundian adalah perkara yang wajib. Ini selaras dengan kaedah yang disebutkan oleh ulama: “Perkara yang tidak sempurna satu kewajipan melainkan dengan perkara tersebut maka perkara tersebut adalah wajib”.

Setakat 8 November 2017, terdapat 3,797,785 rakyat Malaysia berumur 21 tahun ke atas dan layak mengundi didapati belum mendaftar sebagai pemilih dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Bagi tempoh sama, sejumlah 14,622,881 rakyat negara ini mendaftar sebagai pemilih. Jumlah yang belum mendaftar itu adalah kira-kira 26 peratus daripada bilangan yang layak mengundi. Sesungguhnya senario ini amat membimbangkan.

Dengan kuasa yang diberikan kepada wakil-wakil rak­yat, mereka menggubal dasar, peraturan dan undang-undang negara. Pada zaman Rasulullah SAW, baginda adalah umara (pemimpin) dan ulama. Baginda memerintah negara dan pada masa sama adalah pesuruh Allah. Kini, keada­an berubah. Bukan semua umara adalah ulama. Sebab itu, mengundi itu wajib dan amat penting. Ia bakal menentukan masa depan negara dalam aspek agama, politik dan sebagainya.

Dalam bab memilih pemimpin ini, Imam al-Ghazali rahimahullah berkata: “Agama itu adalah asasnya ­sedangkan pemerintah sebagai pengawalnya. Apa yang tidak ada asasnya, nescaya boleh membawa keruntuhan dan apa yang tidak ada pengawalnya akan menjadi hilang”. (al-Iqtisad fi al-I’tiqad: hlm. 128)

Imam Mawardi rahimahullah pula berkata: “Imamah atau pemimpin utama adalah menjadi pengganti kenabian dalam mengawal agama dan bersiyasah dunia dengan agama.” (al-Ahkam al-Sultaniyyah: hlm. 5)

Dalam PRU-13, terdapat 149 Ahli Parlimen beragama Islam daripada jumlah keseluruhan 222 Ahli Dewan Rakyat. Ini menjadi satu lagi sebab mengapa umat Islam wajib mengambil bahagian dalam pilihan raya. Memilih wakil rakyat Muslim setidak-tidaknya dapat membantu memartabatkan lagi Islam di negara kita. Seterusnya menegakkan amal makruf nahi mungkar. Dengan demikian, insya-Allah Malaysia akan bertambah maju, makmur dan mendapat pengampunan Allah sebagaimana dijelaskan oleh firman Allah yang bermaksud: ...(negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun. (Sabak: 15)

Membangunkan negara Islam adalah kewajipan kerana menegakkan syariat secara menyeluruh tidak dapat tidak mesti dengan pentadbiran sesebuah negara. Maka tanpa pilihan raya, gerakan Islam tidak akan mampu meraih ruang kuasa untuk mentadbir negara. Dengan mengundi, kita memberi hak untuk menyokong, membantu dan menaikkan pemimpin yang berhak atau layak menjadi pe­mimpin. Bagi kita umat Islam, undi ini ada pertimbangan dosa dan pahala.

Jika calon tersebut tidak layak serta tidak amanah maka kita tidak boleh berkompromi dengannya. Jika calon tersebut amanah dan mampu memikul tanggungjawab pemerintah untuk menjaga agama dan maslahat kedunia­an manusia, undilah calon tersebut.

Al-Imam Hassan al-Banna berkata: “Memberikan undian adalah suatu penyaksian, manusia akan ditanya akannya (calon mana yang akan dipilih dan kenapa), maka putuslah untuk memberikan undian berdasarkan hati-hati kamu dan akal kamu, dan jadilah orang yang membantu akan kebenaran dan berani dalam memilih calon yang baik (serta amanah)”.