Walaupun berlaku sedikit kekalutan pada hari penamaan calon tempoh hari namun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetap menjalankan tanggungjawabnya tanpa sebarang prejudis dan pilih kasih.

Untuk mendapatkan pandangan terakhir sebelum hari pengundian, wartawan Mingguan Malaysia AMIZUL TUNI ZAR AHMAD TERMIZI mewawancara Pengerusi SPR, TAN SRI MOHD HASHI M ABDULL AH, untuk berkongsi persiapan terakhir serta bila keputusan paling awal dijangka diperolehi.


MINGGUAN: Kempen pilihan raya telah bermula. Apakah tindakan spr bagi memantau dan memastikan semua calon/parti bertanding mematuhi peraturan dan tidak melakukan perbuatan menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954? Ini termasuklah kempen melalui media sosial.

MOHD HASHIM: Bagi tujuan memantau aktiviti berkempen sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR telah menubuhkan 445 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) di 222 Parlimen dan 505 Dewan Undangan Negeri (DUN) selaras dengan peruntukan Seksyen 27B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Fungsi PP-KPR seperti berikut:

a. Membuat rondaan dan memantau aktiviti berkempen oleh calon/ejen pilihan raya dan parti politik;

b. Menurunkan bahan kempen yang melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954;

c. Meminta bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menghentikan ucapan/ceramah/syarahan oleh calon/ejen pilihan raya atau parti politik yang tidak mendapat permit daripada pihak Ketua Polis Daerah;

d. Mengawal dan menyelaras pelaksanaan mana-mana aktiviti berkempen.

Sehubungan itu, bagi memastikan aktiviti kempen oleh pihak-pihak bertanding berlangsung dengan aman dan lancar, SPR boleh meletakkan syarat-syarat kepada semua calon atau parti yang bertanding bagi penggunaan bahan kempen sepanjang tempoh berkempen.

SPR juga telah membuat penyelarasan semula pada dasar sedia ada dengan syarat-syarat tambahan berkaitan penggunaan bahan-bahan kempen seperti poster, gegantung atau sebarang paparan.

Semua pihak tidak kira daripada mana-mana calon atau parti hendaklah mematuhi syarat ini. Mana–mana gambar yang tidak berkaitan seperti pemimpin negara luar yang tidak terlibat dalam pilihan raya ini tidak perlulah digunakan sebagai bahan kempen kerana ia jelas melanggar syarat yang ditetapkan.

Hanya bendera, gambar calon dan gambar tokoh-tokoh parti yang bertanding atau yang dibenarkan sahaja boleh dinaikkan, dikibarkan atau ditampal semasa tempoh rasmi berkempen. Sekiranya didapati melanggar syarat tersebut maka PP-KPR boleh menurunkan bahan kempen seperti bendera atau gambar pemimpin tidak berkaitan yang digunakan dengan tujuan buruk dan negatif atau melanggar peruntukan undang-undang pilihan raya.

Poster atau banner yang mengandungi perkataan-perkataan yang boleh mengembangkan perasaan jahat atau yang boleh mendatangkan permusuhan tidak dibenarkan.

Saya juga menyeru agar setiap calon/parti yang bertanding supaya tidak berkempen dengan cara yang boleh menimbulkan hasutan dan sebagainya. Seksyen 4A, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 jelas menyatakan tentang kesalahan mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan sepanjang tempoh kempen berlangsung dan jika didapati ia berlaku, tindakan tegas boleh diambil.

Undang-undang dan peraturan berkaitannya adalah sama dan tidak berubah. Cuma SPR membuat sedikit penyelarasan bagi menyesuaikan dengan situasi semasa.

Saya percaya semua pihak telah mengetahui dan memahaminya kerana ia telah diamalkan sejak lama dulu dan ia diterima baik selama ini, tetapi kenapa kali ini ia cuba dipertikaikan.

Pru-14 dianggap Mother of Elections. Mungkin ada banyak keputusan yang akan dipertikai/dicabar untuk pengiraan semula. Bilakah paling awal rakyat boleh mengetahui keputusan penuh pru-14. Dan apakah ada kemungkinan sekiranya ia begitu sengit, keputusan akan lewat? Paling lewat bila boleh tahu keputusan?

MOHD HASHIM: Keputusan paling awal dijangka diperolehi seawal pukul 9 malam dan paling lewat adalah bergantung pada kepantasan sistem kita menerima maklumat berkaitan.

Sekiranya tidak berlaku gangguan atau masalah kepada sistem yang kita gunakan, mungkin pukul 11 malam kita boleh mendapat keputusan sepenuhnya.

Jika berlaku bantahan dan pengiraan semula ia mungkin akan melambatkan lagi tempoh masa untuk mendapat keputusan dengan lebih pantas kerana sudah pasti ia akan memakan masa.

Rakyat boleh mengetahui dengan pantas semua keputusan melalui laman web SPR atau melalui aplikasi mySPRSemak. SPR akan melakukan yang terbaik untuk memberikan maklumat keputusan pilihan raya yang terpantas dan tepat kepada semua.

Akhir sekali, apakah nasihat Tan Sri kepada semua calon/parti bertanding dan pengundi?

MOHD HASHIM: Kepada semua calon dan parti yang bertanding, saya berharap semua pihak dapat meneruskan kempen yang masih berbaki dengan aman dan tenteram serta mematuhi semua syarat dan peraturan yang ditetapkan SPR. Tarikh 9 Mei 2018 merupakan tarikh penting kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya kepada warganegara yang telah menjadi pemilih berdaftar.

Ini kerana pada hari tersebut semua pemilih berdaftar akan menunaikan hak mengundi yang diberikan oleh Perlembagaan negara untuk memilih pemimpin dan menentukan kerajaan yang akan memerintah dengan mandat selama lima tahun kepada mana-mana parti politik yang diyakini dan dipercayai.

Untuk itu adalah sangat penting kepada semua pemilih berdaftar untuk keluar mengundi pada 9 Mei 2018 bersamaan hari Rabu kerana ia akan menentukan masa depan generasi dan negara kita.

Kepada semua pemilih yang layak mengundi pada PRU-14, saya berharap anda semua keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. Marilah kita bersama-sama menjadi warganegara yang bertanggungjawab.

Mengundilah dengan bijaksana dan buat pilihan anda dengan menggunakan penandaan yang betul serta berhati-hati supaya undi anda diterima. Jangan persiakan hak anda untuk memilih wakil anda ke Parlimen atau DUN dan memilih kerajaan yang anda yakin untuk membela nasib anda dan generasi akan datang.

Jangan khuatir untuk mengundi sesiapa sahaja kerana undi anda adalah rahsia. Semak tempat mengundi anda dan rancang perjalanan untuk keluar mengundi supaya anda tidak terlepas peluang menunaikan tanggungjawab kepada negara.