Turut menarik minat penulis adalah kenyataan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menasihati ahli-ahli Parlimen agar mementingkan etika dalam Parlimen mengatasi kepentingan politik peribadi masing-masing. Sememangnya ahli Parlimen mempunyai tanggungjawab besar kerana membawa suara rakyat yang mengundi mereka sehingga layak untuk duduk di kerusi Parlimen ke Dewan Rakyat.

Selepas ini akan diumumkan pula penetapan tarikh untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Mengikut per­untukan Perkara 55(4) Perlembagaan Persekutuan, PRU-14 haruslah diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran Parlimen iaitu selewat-lewatnya pada 6 Jun depan. Perjalanan PRU-14 akan dimulakan dengan pengeluaran Writ di bawah Seksyen 12 Akta Pilihan Raya 1958 (Akta 19) yang menyatakan tarikh pilihan raya dan juga tarikh penamaan calon.

Sudah semakin banyak yang diperkatakan tentang aspirasi dan tuntutan rakyat dalam memilih calon yang layak untuk diundi. Ada yang meletakkan pegangan parti politik sebagai kayu ukur dan ada pula yang memilih untuk melihat pencapaian terdahulu calon dinamakan.

Pada hemat penulis, antara kaedah terbaik yang pernah dikongsi adalah dengan mengamati prinsip yang dipegang oleh setiap ahli politik itu dan melihat sama ada calon mementingkan hal-hal berkaitan jati diri kebangsaan. Ini termasuklah sama ada calon memartabatkan akidah dan syariah agama Islam yang telah diangkat sebagai agama Persekutuan dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Pegangan inilah yang akan menentukan sama ada seseorang ahli politik itu akan terus memastikan setiap hujah yang dibawa dalam Dewan Rakyat nanti menyantuni etika dan menghormati tanggungjawab yang digalas. ­Kaedah ini amatlah penting diamati generasi muda sebagai pengundi, terutama bagi mereka yang akan membuang undi untuk pertama kali dalam PRU-14.

Generasi muda adalah golongan yang paling gelisah dalam suasana politik yang terlalu menyesakkan apabila banyak parti politik dilihat semakin mengendahkan pegangan prinsip masing-masing, sehinggakan ada yang menghalalkan jalan untuk mencapai tujuan utama: kemenangan tampuk pemerintahan negara. Ramai orang muda yang telah pun mendaftarkan sebagai pengundi namun menyatakan sokongan kepada gerakan #UndiRosak kerana tidak melihat tuntutan mereka boleh digalas oleh mana-mana ahli-ahli politik negara.

Di Malaysia, gerakan #UndiRosak dimulakan selepas pengumuman oleh Pakatan Harapan yang menamakan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Gerakan ini telah pun dimulakan lebih awal lagi di negara luar dan lebih dikenali sebagai undian bantahan. Contohnya, di Amerika Syarikat apabila pada 2012 undian bantahan disuarakan dengan melukis karakter Mickey Mouse pada kertas undian. Sedangkan di Perancis, undian bantahan dipanggil undian kosong pada 2017 yang melihat lebih 9 peratus kertas undian dibiarkan kosong.

Gerakan anak muda ini merisaukan memandangkan majoriti pengundi dalam PRU-14 adalah golongan yang berusia antara 21 hingga 39 tahun. Daripada 14 juta pe­ngundi berdaftar, dianggarkan 7.09 juta adalah dalam lingkungan umur ini. Maka jika #UndiRosak dilihat sebagai gerakan yang layak disokong generasi muda, sudah tentu ini akan menzahirkan permasalahan besar. Tindakan merosakkan undi adalah bersifat kebudak-budakan yang sebetulnya mengecilkan suara golongan muda.

Undian setiap pengundi berdaftar tidak boleh disia-siakan begitu saja. Langkah yang harus dilakukan oleh golongan muda adalah menghakimi kewibawaan setiap ahli politik dan melihat prinsip pegangan mereka sebagai panduan utama dan bukan hanya melihat pada parti politik yang diwakilinya saja.

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ), sebuah NGO gabungan dalam MACSA.