Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Undang-Undang pastikan ibu bapa bertanggungjawab terhadap keselamatan anak-anak

Awal Mei lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun patah tangan kiri selepas tersepit pada rim motosikal yang ditunggang oleh ibunya di Jalan Simpang Kuala, Kuala Kedah. Ketika kejadian, mangsa membonceng motosikal sebelum terjatuh dan tangannya tersepit.

Seminggu selepas itu, juga di Kedah, seorang kanak-kanak perempuan lapan tahun membonceng motosikal yang ditunggang ibunya dalam perjalanan ke sekolah patah kaki kanan juga akibat tersepit pada rim motosikal dalam kejadian di Jalan Sungai Ular, Kulim. 

Pada Februari, tujuh orang kanak-kanak yang dibiarkan berbasikal selepas lewat tengah malam di sekitar bandar Johor Bahru maut selepas dirempuh oleh sebuah kenderaan. 

Kejadian itu amat menyedihkan kerana mereka meninggal dunia dalam keadaan yang menyayat hati. 

Daripada reaksi spontan orang ramai, mereka menyalahkan ibu bapa kerana membiarkan anak-anak berkeliaran bermain basikal di bandar selepas tengah malam.

Di luar negara juga insiden menyayat hati membabitkan kanak-kanak tidak berdosa pun tidak kurangnya. Kebanyakannya akibat kecuaian ibubapa atau penjaga. 

Pada 22 Jun 2016 seorang bayi terselamat daripada maut meskipun tersepit pada rim tayar belakang motosikal yang ditunggang ibunya dalam kejadian di India di mana ibunya meninggal dunia di tempat kejadian. 

Namun begitu, kepala bayi malang tersebut tersangkut pada roda belakang motosikal berkenaan manakala tangan dan kakinya terkulai di celah-celah rim motosikal tersebut. 

Dalam kejadian di Romania pada 26 April 2017, Daniel Pascu, kanak-kanak lelaki berusia dua tahun terjatuh ke dalam perigi selebar 30 sentimeter dan sedalam kira-kira 16 meter dengan operasi menyelamat mengambil masa hampir 12 jam. 

Kisah-kisah yang disebut di atas bukan bertujuan untuk mengimbau kejadian menyayat hati yang membabitkan kanak-kanak yang belum mengerti apa-apa itu, tetapi lebih kepada persoalan siapa yang bertanggungjawab terhadap keselamatan anak-anak tersebut.

Saban hari ada saja tragedi-tragedi yang membabitkan kanak-kanak yang belum mengerti apa-apa ini hingga membawa kepada kematian. Majoritinya akibat kelalaian atau kecuaian ibu bapa atau penjaga.

Tabie kanak-kanak pula mereka sememangnya tidak mengerti apa-apa. Mereka tidak tahu erti bahaya dan tidak tahu jika sesuatu itu boleh mengancam nyawa.

Sebab itu undang-undang digubal bagi melindungi kanak-kanak. Semua negara di dunia ada undang-undang khusus untuk menjaga kepentingan kanak-kanak. Begitu juga di Malaysia. Mendedahkan anak-anak kepada bahaya adalah suatu kesalahan. 

Matlamat undang-undang ini supaya ibu bapa atau penjaga bertanggungjawab sepenuh terhadap anak-anak di bawah jagaan mereka. 

Ini bukan bertujuan meletakkan kesalahan ke atas ibubapa atau penjaga seratus peratus, tetapi selagi anak-anak berada dalam kategori kanak-kanak atau remaja, maka ibu bapa dan penjagalah yang perlu memainkan peranan dalam memastikan keselamatan mereka terjaga dan kanak-kanak tidak terdedah kepada elemen-elemen yang boleh mendatangkan kecederaan atau mengancam nyawa.

Memang, sebagai ibu bapa atau penjaga tidak mungkin mereka mahu melihat anak-anak mereka cedera atau terbunuh. Tetapi, kecuaian atau kesilapan mereka boleh mengundang kepada berlakunya perkara yang tidak diingini. Ketidaksengajaan itu sebenarnya boleh membunuh. 

Sebelum nasi menjadi bubur, maka ibu bapa atau penjaga ini perlu diingatkan supaya sentiasa berjaga-jaga dan peka ketika bersama anak-anak mereka. Inilah peranan undang-undang yang ada.

Apabila sesuatu itu berlaku terutama dalam hal yang melibatkan kanak-kanak yang belum mengerti apa-apa mesti ada pihak yang bertanggungjawab. Bukan meletakkan pada takdir semata-mata.

Sebab itu, ibu bapa atau penjaga perlu mengambil-kira dan mempertimbangkan aspek keselamatan dalam apa juga urusan yang membabitkan anak-anak mereka.

Kerana, jika cuai atau berlaku kesilapan anak- anak mungkin terbunuh atau mengalami kecederaan serius atau juga kecacatan kekal.

Sebab itu peruntukkan undang-undang dalam hal yang membabitkan kesemalatkan kanak-kanak ini agak tegas.

Mungkin ramai yang tidak bersetuju jika ibubapa atau penjaga didakwa atau dikenakan hukuman mahkamah (samada denda atau penjara atau kedua-duanya sekali), memandangkan ibubapa/penjaga turut menderita di atas kejadian yang menimpa anak mereka. 

Namun, faktor kecuaian, kelekaan, pengabaian yang menyumbang kepada insiden-insiden menyayat hati ini juga perlu diambil-kira, Mereka yang lalai, leka dan cuai hingga menyebabkan kanak-kanak cedera malah terkorban perlu bertanggungjawab, dan kemungkinan juga perlu dihukum oleh undang-undang supaya ia menjadi iktibar kepada pihak lain.

Jika ada pihak mengatakan tidak wajar untuk menghukum ibu bapa atau penjaga kerana bukan niat mereka mahu perkara itu berlaku, bagaimana pula dengan keselamatan kanak-kanak terbabit? Siapa yang kena bertanggungjawab dengan keselamatan mereka? Siapakah yang perlu undang-undang utamakan? 

Di Malaysia, kanak-kanak dan remaja yang berumur di bawah 18 tahun diberi perlindungan khas dan dikawal di bawah Akta Kanak-kanak 2001 yang diluluskan bagi tujuan menjaga kepentingan kanak-kanak iaitu kanak-kanak yang memerlukan jagaan, perlindungan dan pemulihan.

Kecuaian, kelalaian dan pengabaian oleh ibu bapa serta penjaga atau pendedahan kepada bahaya sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian ke atas anak-anak boleh dikenakan tindakan di bawah seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001. 

Kesalahan di bawah akta ini membabitkan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan. 

Mahkamah juga mengikut seksyen 31(2) boleh mengenakan hukuman tambahan berbentuk bon dengan penjamin selama tempoh yang difikirkan patut dan dengan apa-apa syarat yang difikirkan patut oleh mahkamah. 

Ibu bapa yang suka meninggalkan anak-anak berseorang tanpa pengawasan sama ada di rumah, dalam kereta dan sebagainya juga perlu beringat bahawa mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 33.

Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. Namun begitu, akta ini hanya untuk anak-anak yang berusia di bawah 18 tahun. 

Ibu bapa atau penjaga sepatutnya melindungi anak dari bahaya dan bukannya mendedahkan mereka kepada bahaya. Maka, apabila kes seperti insiden-insiden yang dinyatakan tadi berlaku, ibu bapa atau penjaga sepatutnya  didakwa dan dihukum di atas kecuaian kerana tidak mengutamakan dan tidak memantau keselamatan anak-anak. 

Pihak berkuasa seharusnya terdorong untuk mengambil tindakan tegas terhadap ibu bapa atau penjaga bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang, terutama insiden yang membabitkan kehilangan nyawa. 

Bagi kes-kes yang jelas dan nyata seperti kes dera hukuman yang lebih berat ke atas mereka yang bertanggungjawab mengakibatkan kecederaan atau kematian ke atas anak-anak yang di bawah lindungan mereka di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika ibu bapa atau penjaga mengetahui yang perbuatannya  boleh mendatangkan kematian, tetapi tidak dengan niat mendatangkan kematian.

Membawa anak-anak membonceng motosikal seperti menghantar mereka ke sekolah tidak salah. Tetapi sebelum memulakan perjalanan pastikan dahulu tidak ada elemen-elemen yang yang boleh menjejaskan keselamatan. Pastikan kain anak-anak, seluar, baju malah tali kasut tidak terjuntai hingga boleh menjejaskan keselamatan.

Hukuman bukanlah bertujuan meletakkan kesalahan semata-semata tetapi lebih kepada menjaga keselamatan dan keamanan. Ibu bapa dan penjaga yang cuai perlu disiasat supaya mereka sedar dan insaf kesan kecuaian itu boleh meragut nyawa.

Hukuman ini juga lebih bersifat sebagai jaminan keselamatan anak-anak dan supaya ibu bapa atau penjaga sentiasa berhati-hati, peka dan berwaspada akan elemen-elemen persekitaran yang boleh mengancam keselamatan dan nyawa anak-anak mereka.


**Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Undang-undang, Universiti Utara Malaysia

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain