Begitu pantas tersebar. Kenapa begitu? Siapakah yang bertanggungjawab menyebarkannya? Apakah tujuannya? Mahu jadi ‘wartawan’ yang pertama tiba di lokasi untuk melaporkan? Bagi yang menyebarkannya mungkin satu kepuasan kerana berjaya mendahului orang lain, termasuk media cetak dan elektronik.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyifatkan penyebaran itu sebagai tidak beretika dan adalah satu kesalahan undang-undang. Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 dan/atau tidak lebih satu tahun penjara. Adakah masyarakat peduli semua itu? Atau dalam era teknologi maklumat ini, undang-undang dan peraturan amalan media selama ini sudah tidak relevan?

Kelmarin, Sabtu tersebar pula senarai nama serta gambar mereka yang didakwa terlibat dengan kes ini. Polis belum keluar kenyataan rasmi, ‘fakta’ sudah diketahui umum. Apa sudah jadi dengan undang-undang dan peraturan yang ada?

Sekali lagi media sosial mendahului tanpa sebarang tapisan sedangkan mereka yang didakwa terlibat itu adalah remaja bawah umur. Kecuali mereka ini menjadi buruan polis untuk membantu siasatan, gambar dan nama mereka boleh disebarkan. Sebaliknya mereka sudah ditahan untuk proses reman. Penularan ‘laporan’ seumpama ini tidak mampu dihalang lagi sama ada di pihak yang mencari kebenaran atau mereka yang didakwa menjadi punca kejadian.

Berhubung isu ini, masyarakat berada dalam dua isu - melahirkan insan yang dapat mempertahankan agama Islam dan mereka yang hanyut dalam masalah sosial, khususnya terlibat dalam gejala penyalahgunaan dadah. Kita simpati kepada anak-anak yang sedang membesar ini. Simpati kepada ibu bapa mereka. Ibu bapa dan masyarakat hilang anak-anak yang suatu masa nanti diharap menjadi umat yang soleh yang bakal meneruskan syiar Islam dan tidak akan membiarkan masjid dan surau lengang.

Kita juga simpati kepada ibu bapa dan anak-anak yang rosak akhlak dan tertanya-tanya kenapa mereka dibiarkan ‘hanyut’ begitu. Kenapa hidup mereka tidak seperti anak-anak tahfiz. Biar apa keadaan sekali pun, undang-undang yang akan menentukan segala-gala­nya.

Merujuk isu penularan foto yang tidak sepatutnya berlaku, inilah perbezaan ketara yang wujud antara media sosial dan media konvensional. Pengamal media cetak khususnya lebih profesional dan patuh undang-undang ketika menyiarkan gambar ngeri sebegini. Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memantau dan bersedia mengeluarkan surat teguran atau amaran sekiranya garis panduan berkaitan tidak dipatuhi. Itu situasi yang berlaku kepada media cetak. Sebaliknya KDN tidak mampu mengawal penularan berita atau foto yang disebarkan media sosial walaupun ada ‘kebenaran’ fakta mengenainya. Di sini terpulanglah kepada pihak yang ‘memiliki’ bahan-bahan itu, maksudnya orang pertama ‘di tempat kejadian’ dan merakam peristiwa berkenaan.

Mungkin sikap untuk memaklumkan kepada masyarakat apa yang berlaku mendorong pemilik pertama maklumat ini mendedahkan kepada umum. Hakikatnya tindakan itu bukan sahaja mengundang simpati tetapi juga kecaman. Begitulah jadinya apabila telefon pintar sentiasa di tangan. Naluri manusia akan merakam dan menyebar dengan pelbagai tujuan yang sama ada disedari atau tidak mempunyai kesan baik dan buruk.

Lebih memudaratkan apabila ia dikaitkan dengan dosa pahala khusus bagi beragama Islam. Sedar atau tidak, ramai yang di tangan mereka mempunyai telefon pintar berpotensi menjadi penyebar fitnah atau sebagai ‘batu api’ yang boleh mengadu domba sehingga mencetus kemarahan pelbagai pihak. Apatah lagi rakyat Malaysia memang hebat dalam penggunaan WhatsApp ini, antara ­tertinggi di dunia mengikut laporan The Digital News Report 2017. Mungkin boleh dibuat kajian, bagaimana pengguna memanfaatkan WhatsApp itu sama ada untuk kebaikan atau lebih kepada bahan-bahan dianggap sampah, sarat dengan berita palsu, karut dan fitnah.

Lebih malang apabila keghairahan ‘bermain’ telefon ini menjejaskan ibadah kita atau mengurangkan ganjaran pahala. Selak pernah membincangkan isu ini pada 2 Mei 2016 di bawah tajuk ‘Hati-hati perangkap dosa halimunan di dalam poket’. Begitu juga kolumnis ruangan agama Mega, Abdullah Bukhari Abdul Rahim yang menulis di bawah tajuk ‘Dosa halimunan media sosial’

Kita tidak boleh menyekat penggunaan telefon pintar. Isu utama ialah berhati-hati dan berhemahlah dengan penggunaannya. Bagi orang Islam, jangan sampai mengganggu atau menjejaskan ibadah. Bukan sesuatu yang luar biasa apabila ketika solat, kedengaran pelbagai ‘muzik’ nada dering. Ada ayam berkokok, bayi menangis, orang bercakap, lagu rock dan macam-macam lagi. Sudah menjadi tugas imam pula mengingatkan makmum mematikan telefon atau biarkan dalam mod senyap. Salah satu penggunaan yang tidak kena pada tempatnya ialah ketika beribadah. Contoh­nya ketika melakukan tawaf dan saie di Masjiidlharam. Ada pantang larangnya bagi mengelakkan ganjaran pahala berkurangan.

Memerhati gelagat manusia di hadapan Kaabah, ada yang sambil tawaf menjawab panggilan telefon atau mengadakan siaran langsung untuk tontonan awam. Begitu juga bergambar. Bukan tidak boleh tetapi biarlah berpada. Ada ketika anggota keselamatan di Masjidilharam menegur jemaah supaya berdoa bukan sibuk bergambar. Dulu, tidak mustahil kamera diambil dan diminta memadamkan gambar berkenaan. Kini keadaan sudah berubah. Kemasukan ­telefon tidak mampu dihalang.

Baru-baru ini, ketika taklimat kepada jemaah haji yang bakal melakukan tawaf selamat tinggal, seorang penceramah Tabung Haji menasihatkan jemaah meninggalkan telefon dan wang di dalam bilik. Tujuannya supaya jemaah tidak terambil gambar atau bersedekah selepas tawaf wada’.

Dalam hal ini, eloklah difahami ‘pantang larang’ ketika beribadah kerana kejahilan akan menjejaskan ibadah itu. Teguran juga dibuat berhubung tindakan ­melahirkan keluh kesah mengenai kemudahan di Mina dan Arafah melalui media sosial. Tindakan mendedahkan ‘keburukan dan kesusahan’ bagi menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kemudahan TH boleh mengundang risiko yang tidak baik.

Jemaah perlu faham, situasi yang berlaku adalah disebabkan peningkatan kuota secara mendadak yang tidak memungkinkan penyediaan kemudahan secukupnya. Bagaimana jika pihak kerajaan Arab Saudi mengurangkan kuota yang ada jika isu keselesaan menjadi keutamaan? Apa kata kerana terlalu mengejar keselesaan, jumlah jemaah bakal dikurangkan?

Jangan tular sesuatu yang boleh menjejaskan ibadah kita dan orang lain. Hakikatnya tidak semua orang ‘sengsara’ dengan kemudahan sedia ada. Bukan mahu menyembunyikan kelemahan atau ‘kesengsaraan’ tetapi pendedahan yang melampau mengenai perkara berkaitan boleh menjejaskan peluang orang lain beribadah. Justeru berhati-hatilah ketika menggunakan media sosial untuk meluahkan sesuatu sama ada yang berbentuk makluman atau rungutan.