Begitulah juga Pakatan Harapan diketuai DAP. Kelmarin mereka dengan penuh bangga berkumpul di Shah Alam bagi me­lancarkan manifesto gabu­ngan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Meneliti satu demi satu prakata dan janji-janji di dalam manifesto itu, kita bagaikan berhadapan dengan sekelompok manusia yang merasakan merekalah pa­ling terbaik dan sempurna untuk dipilih me­merintah negara ini.

Seperti biasa, Kerajaan Barisan Nasional (BN) digambarkan seburuk-buruknya manusia dan tidak layak memerintah Malaysia sehingga negara ini perlu diselamatkan daripada parti tersebut.

Tetapi hakikatnya, jika kita mengkaji tingkah laku, corak pentadbiran dan pelbagai isu yang melumuri pemimpin-pe­mimpin Pakatan Harapan, mereka tidaklah sehebat mana dan lebih daripada itu masih banyak janji-janji yang mereka buat pada pilihan raya umum lalu tidak ditunaikan.

Penulis tidak perlu mengulas panjang apa janji-janji yang mereka taburkan dalam manifesto tersebut, biarlah rakyat menilai sama ada ia manifesto populis atau realiti. Apa yang pasti boleh dikatakan hampir kesemua janji mereka bukan sahaja sukar dilaksanakan malah sudah pun dilaksanakan oleh Kerajaan BN.

Sememangnya dalam berhadapan dengan satu pertempuran yang dianggap ‘perjuangan terakhir’ bagi menumbangkan BN, Pakatan Harapan bersedia berjanji apa sahaja malah kalau boleh ‘matahari pun’ mahu dipetik untuk diserahkan kepada rakyat.

Namun begitu rakyat kini sudah bijak menilai. Mungkin bagi penyokong-penyokong taksub me­reka, apapun janji tetap akan disokong tetapi bagi rakyat yang berfikiran rasional, mereka akan mengetahui segala janji Pakatan Harapan dalam manifesto tersebut hanya ‘umpan’ dan ‘janji manis’ semata-mata mahu meraih kuasa.

Tambahan pula, parti-parti dalam pakatan itu sendiri masih bercelaru akibat krisis dalaman dan ia ditambah pula dengan pembahagian kerusi di sesetengah ne­geri yang belum selesai. Bagaimanapun pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan bijak bersandiwara, mereka tampilkan kepada rakyat kononnya mereka adalah alternatif bagi menggantikan BN.

Pada masa sama, semua orang tahu kerjasama antara mereka juga satu sandiwara berlandaskan pendekatan politik matlamat menghalalkan cara. Kalau tidak mana mungkin seorang pemimpin yang cukup mereka benci satu ketika dahulu kini boleh dirangkul berada dalam satu pakatan.

Mereka juga membentangkan fakta-fakta palsu dan tidak benar berkaitan negara selain di­iringi dengan tohmahan dan fitnah terhadap kerajaan. Semua itu dilakukan demi untuk menunjukkan kepada rakyat kononnya negara ini perlu diselamatkan.

Persoalannya, apakah mereka benar-benar pakatan terbaik bagi menggantikan BN yang mentadbir negara ini sejak merdeka? Kalau benar mereka kelompok hebat sudah pastilah dua negeri yang diuruskan oleh mereka menjadi mo­del terbaik seperti mana terkandung dalam manifesto tersebut.

Bagaimanapun keadaan itu tidak berlaku. Pelbagai isu dan masalah timbul termasuklah dari segi integriti. Kalaulah mentadbir dua buah negeri pun tidak sehebat mana, bagaimanakah mahu memerintah negara?

Untuk membuat janji siapapun boleh berjanji, tetapi soalnya adakah ia boleh ditunaikan? Perjalanan politik dan pentadbiran di negeri yang mereka perintah sudah membuktikan mereka tidaklah sehebat mana.

Oleh itu, tidak mungkin segala janji dalam manifesto yang dianggap ‘umpan rakyat’ tersebut mampu ditunaikan. Apa yang mereka papar dan bentangkan adalah semata-mata untuk meraih kuasa, tidak lebih daripada itu. Sebagai organisasi politik boleh sahaja mereka bermain politik tetapi untuk mempe­ngaruhi rakyat dengan janji yang sukar ditunaikan boleh dianggap tidak bertanggungjawab.

Sepatutnya dengan memiliki pemimpin-pemimpin yang dianggap hebat seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad, Pakatan Harapan tidak perlu memperdayakan rakyat dengan janji-janji palsu.

Menggambarkan negara ini berada dalam keadaan teruk dan perlu diselamatkan adalah mainan politik jijik yang hanya tergamak dilakukan oleh kelompok yang tamak kuasa. Tetapi Pakatan Harapan tidak peduli kerana PRU-14 dianggap cukup penting bagi mereka untuk merampas pemerintahan negara.

Bagaimanapun dalam keghairahan membentangkan manifesto yang bagaikan ‘krisis air di Sela­ngor’ - beri air percuma tetapi air tidak ada - pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan cuba mempe­ngaruhi rakyat untuk memberi peluang kepada mereka mentadbir negara dengan janji-janji palsu dan sukar ditunaikan.

Sikap mereka itu bagaikan mahu rakyat mempertaruhkan masa de­pan mereka kepada sebuah pakatan yang cacamarba dan penuh de­ngan masalah serta ketidakpastian. Ini sama seperti mana pemberian air percuma nampak hebat seketika tetapi akhirnya membawa kesengsaraan. Memang sesuai sangatlah manifesto pakatan pembangkang itu dilancarkan di Selangor

Oleh itu, rakyat tidak boleh menggadaikan masa depan mereka kepada kelompok seumpama itu. Sememangnya kita akui Kerajaan BN pun tidak sempurna, lagipun mana ada kerajaan yang betul-betul sempurna di muka bumi Allah ini, tetapi sekurang-kurangnya parti tersebut sudah membuktikan kemampuan dalam memerintah negara.

Justeru janganlah mengejar mimpi yang tidak pasti kerana bimbang, kita khususnya orang Melayu berada dalam kelompok ‘yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran’, ‘menang sorak kampung tergadai’, apa maksudnya? Kajilah ‘siapa paling berkuasa dalam Pakatan Harapan’- di situ ada jawapannya.