Bagi mereka yang berasal dari kampung mungkin pengalaman itu sudah biasa, tetapi yang lahir dan dibesarkan di bandar, suasana tersebut hanya satu imiginasi.

Terletak kira-kira 50 kilometer dari bandar raya Ipoh, Perak Agrotourism Resort (Patro) yang diusahakan oleh Kumpulan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) merupakan satu tarikan pelancongan baharu berkonsep desa di kawasan Perak Tengah.

Mula dibangunkan sebagai kawasan penanaman pokok mangga pada 2013, kini Patro yang diusahakan di kawasan seluas 259 hektar dilihat mampu menarik pelancong ke negeri ini.

“Patro turut mengusahakan tanaman kelapa mataq serta produk hiliran iaitu tanaman herba dan ulam-ulaman seperti misai kucing, kunyit, rosella, nenas serta daun kesum,” ujarnya.

Selain itu, kawasan tersebut juga menjalankan penternakan itik telur yang kini mencecah 1,300 ekor dan madu kelulut.

Pengurus Besar Patro, Azhar Md. Radzi berkata, keunikan di sini cukup berbeza kerana menggabungkan elemen pertanian dan pelancongan yang memberikan satu kelainan kepada pengunjung.

“Datang ke Patro umpama ‘balik kampung’. Ini kerana semua yang ditawarkan menepati ciri-ciri tersebut baik dari segi penginapan, makanan, tanaman, selain kewujudan lima buah tasik untuk memancing dan trek berkuda. Pendek kata, semuanya ada di sini yang memenuhi kehendak semua peringkat usia.

“Tujuannya, kami mahu pengunjung gembira kerana dapat mengimbau semula nostalgia kehidupan ketika kanak-kanak yang kini mungkin tidak dapat dirasai generasi muda ketika ini,” katanya kepada S2.

Semua itu boleh dinikmati dengan bayaran penginapan berpatutan, antara RM350 hingga RM1,200 berdasarkan pakej.

Apa yang menarik, pengunjung yang tidak bermalam tetapi mahu melawat kawasan ladang hanya dikenakan bayaran RM15, manakala kanak-kanak separuh harga.

Azhar berkata, terdapat pelbagai aktiviti lain ditawarkan antaranya sukan lasak seperti menunggang ATV, berbasikal, paintball, bot kayuh dan kenu.

Selain itu, mereka berpeluang melihat sendiri tanaman yang dihasilkan di kawasan tersebut seperti cili, kunyit dan daun kesum, perusahaan madu kelulut serta telur masin.

“Jika mahu, mereka boleh membuat telur masin sendiri. Kami menyediakan tenaga pengajar serta bahan diperlukan seperti tanah liat dan sekam padi.

“Pakej ini terbuka untuk semua aktiviti pertanian dan penternakan. Semua yang ada di sini ‘kepunyaan sendiri’. Pengunjung boleh memetik dan memakan ulam di sini,’’ katanya.

Katanya, pihaknya turut menyediakan pakej permainan dan seni hiburan tradisional sekiranya diminta pengunjung.

Selain itu, kata Azhar, bagi pengunjung yang ingin belajar menunggang kuda, pihaknya menyediakan kelas dengan dibantu jurulatih bertauliah.

“Patro merupakan satu-satunya hotel dan resort di negara ini yang ‘dibenarkan’ membawa tempoyak dan durian sebagai menu utama untuk disajikan kepada pengunjung.

“95 peratus sajian di sini adalah masakan asli daerah Perak Tengah seperti gulai tempoyak.

“Kami turut mempromosikan masakan berasaskan udang galah yang terdapat di Tanjung