Tidak salah untuk menyambut ulang tahun secara besar-besaran, apatah lagi sejak penubuhan parti keramat ini, UMNO sentiasa memainkan peranan penting dalam pemerintahan negara dan telah melalui pelbagai ranjau dan duri. Namun perlu diingatkan kepada ahli-ahli UMNO supaya jangan lalai dan hilang fokus perjuangan apabila meraikan sesuatu itu de­ngan begitu gah.

Beberapa tahun lalu, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah meng­ingatkan kepada ahli UMNO supaya sentiasa bermuhasabah diri dan melakukan usaha untuk penambahbaikan agar parti UMNO akan terus relevan. Inilah nasihat yang sebaik-baiknya bagi ahli UMNO dan juga para pe­mimpinnya.

Bahkan beliau pernah menjelaskan lagi bahawa kesetiaan ahli yang digabungkan dengan kemahiran mengikuti peredaran zaman dan keupayaan intelektual adalah elemen utama untuk memastikan parti keramat ini lebih unggul dan gagah pada masa hadapan.

Penulis juga tertarik dengan kenyataan Presiden UMNO dalam menegaskan betapa pentingnya sifat kesederhanaan untuk terus memenangi hati rakyat Malaysia. Dalam temubual yang disiarkan oleh salah satu stesen televisyen pada tahun lepas, Najib menegaskan bahawa selain mengamalkan dasar yang sederhana, UMNO terus mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat, dan akan terus membawa pembangunan dan perubahan untuk kesejahte­raan rakyat Malaysia tanpa me­ngira kaum.

Jika nasihat dan saranan ini terus dipraktikkan oleh ahli-ahli, maka UMNO akan sentiasa relevan dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Namun begitu, apa yang lebih penting ialah ahli UMNO mestilah bersedia untuk bekerja dengan lebih kuat lagi.

Itu sebabnya cabaran terhadap kepemimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi pilihan raya akan datang jangan dianggap mudah. Biarpun pihak pembangkang tidak sehebat mana dengan pelbagai masalah yang melanda, namun ahli UMNO jangan lalai dengan kelemahan yang ada pada pihak pembangkang. Ini disebabkan kuasa yang ada pada rakyat boleh mengubah segalanya.

Statistik menunjukkan bahawa 198 daripada 222 kerusi Parlimen yang dimenangi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-11 merosot kepada 140 kerusi pada 2008 dan menurun kepada 134 kerusi pada 2013 sebelum tinggal 132 kerusi pada masa ini selepas Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, Ahli Parlimen Semporna meninggalkan parti itu.

Jika cabaran ini tidak disahut maka jangan terkejut jika angka kerusi Parlimen BN akan terus merosot. Itu sebabnya, Naib Pre­siden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah menegaskan berulang kali betapa pentingnya UMNO sebagai sebuah parti yang menunjangi kerajaan perlu sentiasa berusaha dan menjelaskan kepada rakyat bahawa agenda utama kerajaan pimpinan BN ialah untuk terus meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat di negara ini.

Salah satu cara untuk menyam­paikan usaha ini ialah dengan menguasai ruang siber. Ini bukanlah satu isu baharu dan Ahmad Zahid telah mengingatkan kepada semua anggota sayap UMNO supaya menggunakan dengan bijak dan sebaik-baiknya ruang siber untuk melawan dan menangkis serangan fitnah dan tohmahan daripada musuh UMNO.

Usia 71 tahun adalah satu usia yang kaya dengan pengalaman dan kematangan dalam mena­ngani pelbagai isu. Dengan berbekalkan segala kematangan dan pengalaman itu, maka UMNO mesti terus membuktikan kepada rakyat Malaysia bahawa parti keramat ini adalah sebuah parti yang terus relevan, utuh dan gagah dalam menunjangi kerajaan hari ini.

PENULIS ialah Pengerusi Biro Politik Majlis Perundingan Melayu Malaysia (MPM).