Penawaran itu dibuat ketika UMNO berada di paras yang paling rendah selain mahu menunjukkan kepada masyarakat bahawa masih ada lagi pemimpin UMNO yang betul-betul mahu berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara tanpa memikirkan soal kepentingan diri, mahu berkhidmat selari dengan matlamat parti itu.

Dan atas sebab itu, UMNO perlu berterima kasih kepada orang Melayu. Bukannya orang Melayu perlu berterima kasih kepada UMNO serta bagi menzahirkan rasa terima kasih itu, maka UMNO perlu membuat tawaran baharu kepada orang Melayu.
 Kepada wartawan Utusan Malaysia, LUQMAN HAZIQ ABDULLAH, NURUL HUDA HASSAN dan jurugambar, RAJA JAAFAR ALI, bekas Menteri Besar Johor ini berkongsi pandangan beliau untuk kembali memperkukuhkan UMNO selain keputusannya menawarkan diri untuk bertanding pada pemilihan UMNO kali ini.




UTUSAN: Apa yang membuatkan Datuk Seri menawarkan diri bertanding?

MOHAMED KHALED: Untuk memberi alternatif kepada ahli UMNO membuat pemilihan. Saya berharap perwakilan dapat menilai kekuatan, ke­lebihan, keupayaan dan sumbangan yang dapat diberikan setiap calon. Saya suka untuk me­negaskan bahawa penawaran diri untuk bertan­ding jawatan Naib Presiden itu dilakukan dalam masa dan keadaan UMNO berada pada paras paling rendah. Namun, saya percaya dengan tawaran saya ini merupakan salah satu perjuangan untuk memastikan UMNO kembali mendapat soko­ngan rakyat, dapat memberi khid­mat dan kebaikan khususnya kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia.

Mana-mana kerajaan pun dalam dunia tidak sempurna dan mungkin akan melakukan kesilapan, kecuaian dan sebagainya. Jadi, atas sebab itulah saya tampil menawarkan diri bukan semata-mata kerana kedudukan dan kuasa tetapi untuk tunjukkan kepada masyarakat bahawa masih ada lagi dalam UMNO itu berpegang kepada prinsip perjuangan, iaitu mahu berkhidmat tanpa memikirkan soal kepenti­ngan diri tetapi untuk kepentingan negara dan juga agama, pendek kata, menawarkan diri semata-mata berkhidmat selari dengan matlamat UMNO itu.

Datuk Seri katakan UMNO kini berada pada tahap paling rendah. Adakah kepimpinan ba­haru kelak mampu memulih­kan UMNO?

Pertama kita perlu tahu kenapa kita tidak berjaya, mencari sebab yang merupakan liabiliti kepada parti, dapat kita ketepikan atau kurangkan. UMNO dilihat terlalu perlahan dan lambat untuk lakukan perubahan itu, kita masih lagi bergerak menggunakan amalan berasaskan cara lama. Kita perlu tunjukkan bahawa UMNO sebuah parti yang progresif dan banyak yang kita perlu beri perhatian.


Kita melihat UMNO ini tidak ‘remaja’ dan masih golo­ngan sama. Jadi, adakah proses pemilihan kelak menjadi peluang terbaik untuk meremajakan UMNO?

Proses meremajakan UMNO bukan bermakna kepimpinan itu sepenuhnya terdiri daripada orang muda tetapi UMNO itu sebagai sebuah parti mesti ada usaha mendekatkan diri dengan golongan remaja, maknanya dalam kepimpinan itu juga perlu ada orang muda.
 Yang faham orang muda dan tahu bagaimana mahu mendekati mereka selain membantu parti membuat dasar mahupun pengisian yang memenuhi kehendak golongan itu.

Jadi, di sini parti perlu main peranan mengimbangi perkara tersebut dan kita lihat Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sudah berusia lebih 90 tahun pun masih mendapat sokongan orang muda.
 Sebab apa? Sebab beliau membawa isu yang dekat dengan orang muda seperti isu integriti, akauntabiliti, ketelusan, alam sekitar, kesukarelaan. Ini perkara yang orang muda minat yang mungkin orang lama tidak memahami betapa pentingnya perkara sebegitu.

Jadi, jawapan untuk kembalikan kekuatan UMNO bukan semata-mata kita nak meremajakan UMNO akan dapat soko­ngan rakyat, banyak perkara kita kena buat sebenarnya. Kita kena buang sikap feudalisme, bangsawan, sikap tidak mahu dengar pandangan yang bawah, seperti UMNO Johor sering bangkitkan, UMNO perlu berterima kasih kepada orang Melayu, bukannya orang Melayu perlu berterima kasih kepada UMNO. Untuk kita menunjukkan rasa terima kasih itu, kita perlu buat tawaran baharu kepada orang Melayu. 
 Apabila sudah berubah, kita kena lakukan pengislahan, kita tidak boleh lagi cakap pasal ketuanan Melayu tapi mesti Melayu yang maju, Melayu yang berdikari tetapi pada masa sama tidak tinggalkan juga soal agama.

Mungkin Datuk Seri melihat inilah peluang untuk kepimpinan baharu UMNO?

UMNO perlu balik seperti asal, tujuan UMNO adalah service, perkhid­matan. Kita hendak tunjuk wajah baharu UMNO dan kita hendak pastikan UMNO untuk berjaya mesti mengalami perubahan dan pemimpin yang kita hendak pilih itu adalah pemimpin yang boleh membawa perubahan besar-besaran kepada UMNO. UMNO wajah baharu maknanya terpisah daripada imej yang lama sebab kita tahu kita kalah sebab isu integriti, UMNO mesti melalui proses perubahan. 

UMNO lahir di Johor. Adakah Datuk Seri pernah membayangkan Johor ini akan menjadi ne­geri pembangkang?

Kita terima hakikat dan akan menjadi pembangkang yang berwibawa. Kita akan cuba jadi parti yang akan menyemak dan mengimbangi kerajaan sedia ada bagi memastikan supaya Malaysia menjadi negara maju, menjadi negara yang mempunyai sistem dua parti. Justeru, kita berharap rakyat menerima dan boleh to­lerate dengan UMNO sebab itu peranan kita sekarang. Kita mesti beri pandangan dan input yang kita rasakan tak betul dan sebagainya.