Detik bermakna itu tercatat dalam majlis Perjumpaan Khas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bersama pimpinan UMNO Pasir Salak di Dewan Orang Ramai Pekan Rabu, Chenderong Balai kelmarin.

Dalam ucapannya di majlis tersebut, Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak secara terbuka mengalu-alukan kehadiran semula Khairul Azwan dalam UMNO bahagian itu.

Sebaik sahaja Tajuddin mengumumkan perkara itu, Khairul Azwan terus naik ke pentas dan memeluk erat Tajuddin

lalu disambut tepukan gemuruh daripada ahli UMNO yang hadir.

Umum mengetahui hubungan dingin Khairul Azwan dengan Tajuddin bermula selepas pemilihan bahagian itu pada tahun 2013 yang menyaksikan Khairul Azwan menentang anak Tajuddin, Dr. Faizal Tajuddin untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian.

Dalam pemilihan itu, Khairul Azwan tewas menyebabkan beliau tidak memegang sebarang jawatan signifikan dalam

bahagian berkenaan.

Tajuddin menjelaskan kehadiran semula Khairul Azwan akan menguatkan lagi UMNO bahagian itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)

“Dalam menghadapi PRU-14, semua mesti bekerja

kuat dengan penuh semangat kesatuan dan perpaduan untuk

memastikan Parlimen Pasir Salak mendapat kemenangan

besar,” katanya.

Berdamainya Tajuddin dan Khairul Azwan merupakan satu lagi perkembangan positif untuk UMNO Bahagian Pasir Salak.

Sebelum ini Tajuddin turut mengakhiri hubungan dingin dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Hubungan mereka juga sebelum ini dingin ekoran Zainol Fadzi menentang Tajuddin dalam pemilihan bahagian itu pada 2013 yang menyaksikan Zainol tewas apabila meraih 256 undi berbanding Tajuddin, 435 undi.

Sebagai tanda perdamaian, Zainol Fadzi bersetuju menerima tawaran Tajuddin yang melantik beliau sebagai ahli jawatankuasa UMNO bahagian baru-baru ini.

Episod dingin dalam kalangan kepimpinan UMNO di Bahagian Pasir Salak sudah berakhir dan ia berlaku di saat Barisan Nasional (BN) bakal berdepan ‘bapa segala pilihan raya’ tidak lama lagi.

Ini sudah tentunya memberi kelebihan buat BN apatah lagi Parlimen Pasir Salak merupakan kubu kuat BN. - UTUSAN ONLINE