Maksud firman Allah SWT dalam surah Al-Anfal ayat 63, penulis terima sebaik sahaja Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan diisytiharkan menang besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Sabtu lalu. Sahabat penulis itu merujuk ayat ini kepada kerjasama UMNO-Pas yang kini ternyata memberi impak besar kepada arena politik negara.

Kemenangan Barisan Nasional (BN) dipimpin Mohamad yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO di tiga PRK iaitu di Parlimen Cameron Highlands, DUN Semenyih dan terkini Rantau telah membuktikan kerjasama dua parti utama orang Melayu itu bakal menjadi ancaman politik kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pemimpin-pemimpin PH amat menyedari bahaya tersebut, sebab itulah mereka berusaha memburuk-burukkan kerjasama berkenaan dengan hujah-hujah yang boleh dianggap sudah sampai ke tahap tidak masuk akal. Mereka cuba meracuni fikiran pengundi-pengundi bukan Melayu kononnya kerjasama UMNO-Pas akan membahayakan negara. Semua itu berlaku kerana memetik kata-kata Mohamad, ia mimpi ngeri kepada PH.

Sikap pemimpin-pemimpin Melayu dalam PH yang turut menyerang kerjasama berkenaan sehingga menggunakan istilah ‘bekerjasama dengan parti kafir’ – biarpun dengan nada sindiran telah memberi semangat kepada pemimpin bukan Melayu dalam pakatan itu ‘tumpang semangkuk’ mengecam penyatuan ummah berkenaan.

Berikutan itu dalam ceramah di Rantau, pemimpin bukan Melayu tanpa rasa gentar dan hormat mengkritik UMNO-Pas dengan menggunakan istilah yang boleh dikategorikan biadab. Mereka tidak takut berbuat demikian kerana atas sebab politik ada pemimpin Melayu sendiri memburuk-burukkan langkah demi penyatuan ummah tersebut.

Bagaimanapun serangan PH ternyata tidak menggugat jentera BN dan Pas untuk bergabung tenaga bersama-sama memenangkan Mohamad. Siang malam mereka bertungkus lumus mendekati pengundi. Selain kegigihan jentera BN, komitmen yang ditunjukkan oleh jentera Pas terutamanya Muslimat cukup mengagumkan sehingga seorang pemimpin UMNO berkata, “mereka ada semangat luar biasa.”

Seperti mana kata Mohamad ketika berceramah bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Khamis lalu, apa yang berlaku dalam PRU-14 lalu ada rahmatnya apabila ia akhirnya menyatukan kekuatan dua buah parti terbesar orang Melayu.

“Saya cakap kepada Datuk Seri Abdul Hadi, kita tak boleh selama-lama berbalah, kita perlu bersatu demi masa depan negara dan ummah, Alhamdulillah pandangan saya diterima oleh beliau dan kini kita akan bersama-sama meranapkan Pakatan Harapan dalam PRU-15 nanti,” kata Mohamad ketika berucap dalam kempennya.

Kesediaan Pas menerima salam persaudaraan daripada UMNO ternyata menjadi ‘mimpi ngeri’ kepada PH. Pakatan itu melihat ia ancaman yang pada pandangan politik sempit mereka boleh merosakkan negara yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Aneh sekali, kerjasama dua parti Melayu dianggap ancaman sedangkan Abdul Hadi menegaskan, apa yang dilakukan oleh UMNO dan Pas berdasarkan kepada firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 104 yang bermaksud: 
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang berjaya.”

Oleh itu dengan apa yang berlaku dalam tiga PRK, ia harus memberi peringatan kepada pemimpin-pemimpin PH supaya jangan terlalu jahil untuk menyerang kerjasama UMNO-Pas dengan taktik menakut-nakutkan bukan Melayu.

Jika kerjasama UMNO-Pas adalah ancaman kepada kaum tersebut sudah pasti MCA, MIC, Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) dan Makkal Sakti tidak akan bersama dengan BN. Berdasarkan sejarah politik negara, kerjasama itu tidak akan menggugat bukan Melayu apatah lagi mewujudkan pemerintahan Taliban.

Orang bukan Melayu tidak akan tergugat dengan kerjasama UMNO-Pas, orang bukan Melayu tidak akan terancam apabila Mohamad dan Abdul Hadi bergabung dan orang bukan Melayu tidak akan terganggu apabila kedua-dua parti bersatu dalam pilihan raya.

Tetapi orang bukan Melayu akan terancam, tergugat dan terganggu jika pemimpin-pemimpin PH terutamanya DAP masih terus menggunakan hujah-hujah dangkal bagi memburuk-burukkan kerjasama tersebut sehingga membangkitkan kemarahan orang Melayu. Dan dalam PRK Cameron Highlands, Rantau dan Semenyih, orang Melayu termasuk pengundi muda sudah memberi isyarat kepada PH.

Oleh itu pemimpin-pemimpin UMNO-Pas perlu memperkukuhkan kerjasama tersebut. Penulis difahamkan, kemenangan di Rantau memperteguhkan lagi iltizam Pas untuk bersama-sama UMNO bagi menyelamatkan negara yang semakin ‘haru-biru’ di bawah kerajaan PH.

Sememangnya pemimpin-pemimpin PH boleh sahaja meneruskan politiking mereka untuk memburuk-burukkan kerjasama UMNO-Pas. Sekadar hiburan di atas pentas ceramah boleh sahaja, tetapi mereka tidak akan mendapat apa-apa dalam peti undi, itulah yang terbukti di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau.