Meskipun Pas mengutarakan alasan mendahulukan post-mortem Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) untuk tidak meletakkan calon di kedua-dua kerusi itu, namun ‘tolak ansur’ menjadikan hanya UMNO/Barisan Nasional (BN) selaku calon tunggal pembangkang menampakkan pemimpin-pemimpin UMNO-Pas serius menjalin komitmen tinggi ke arah mewujudkan persefahaman antara dua parti.

Barangkalikah Pas masih mengenang sumbangan UMNO dalam membenarkan pembentangan RUU 355 atau Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016R oleh pre­sidennya yang juga Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen pada April 2017?

Ketika Pena­sihat DAP waktu itu, Lim Kit Siang yang beraut muka amat marah menuding jari telunjuknya menentang keras pembentangan RUU berkenaan, yang diikuti beberapa ahli parlimen Melayu dari pembangkang, komitmen UMNO menyokong RUU itu hanya cenderung ke arah pemerkasaan mahkamah syariah semata-mata.

Pada PRU 1974, BN yang disertai Pas berjaya memenangi 135 daripada 154 kerusi Parlimen, ditambah kemenangan majoriti menyeluruh dalam semua kerusi DUN.

Apa akan berlaku jika UMNO dan Pas bergabung pada PRU-15 akan datang?

Ya, masih terlalu jauh tarikh PRU itu, yang waktu ini pun belum cecah 100 hari kerajaan Pakatan Harapan beroperasi sejak 9 Mei lalu. Begitu pun, orang Melayu boleh renung-renungkan sejarah silam kesepakatan UMNO/Pas.

Pada 1972, Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein mula menyuarakan cadangan bagi Kerajaan Perpaduan Perikatan dalam Perhimpunan Agung UMNO. Perkara serupa disuarakan presiden Pas, Mohd. Asri Muda dalam Mesyuarat Agung Pas pada tahun sama.

Ada beberapa sebab kenapa Kerajaan Campuran Perikatan-Pas diperlukan termasuklah:

* Untuk menguatkan perpaduan umat Islam dan Melayu selepas peristiwa 13 Mei 1969.

* Perpaduan masyarakat di­per­lukan untuk menghadapi komunis, lebih-lebih lagi apabila Ame­rika Syarikat berundur dari Vietnam.

* Membangunkan bangsa Malaysia dengan pandangan hidup Islam.

* Akibat perpecahan Gerakan Rakyat Malaysia dan DAP pada masa itu membuatkan MCA kuat dan UMNO terpaksa menyatukan Melayu di luar Perikatan untuk mengimbangi MCA.

Banyak reaksi dari perwakilan Pas tentang cadangan itu, ada yang setuju dan ada juga yang membantah. Majoriti perwakilan yang setuju memberi syarat Pas boleh bekerjasama selagi tidak mengorbankan prinsip parti itu.

Setelah cadangan itu dibincang dan diperdebatkan, akhir­nya perwakilan Pas buat keputusan de­ngan 190 undi menyokong, 94 undi membantah dan 19 undi berkecuali. Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat yang ketika itu Ketua Dewan Ulama Pas Pusat ditanya tentang hukum kerjasama ini.

“Sementara berikat (bergabung) dengan orang-orang bukan Islam adalah diharamkan, bercampur adalah diharuskan sekiranya percampuran itu disertai dengan syarat-syarat yang boleh menjamin keutuhan sahsiah (keperibadian) parti-parti yang bercampur itu” - Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz, dipetik dari Pas Dalam Era Mohd. Asri, 1965-1982, p253.

Itu kisahnya yang bagaimanapun akhbar ini tidak dapat mengulas panjang butiran per­kembangan selepas itu yang kemudiannya membawa Pas keluar dari Perikatan.

Biarpun begitu, senario dalam setahun dua ini sebelum PRU-14 lagi jelas menampakkan ikatan kuat Pas-UMNO atas matlamat untuk perpaduan Islam.

Anak Allahyarham Nik Abdul Aziz yang sebelum ini Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohammad Abduh sendiri mengakui wujud kesepakatan UMNO-Pas untuk membawa RUU 355 ke Dewan Rakyat. UMNO-Pas, katanya, tidak akan rugi sekiranya bekerjasama atas nama Islam. Malah, Pas sudah membawa pendekatan politik matang dan sejarah dalam politiknya.

Pas realitinya melalui pengalaman dan pahit jerih yang getir dalam perjuangan politiknya.

Pas dalam turun naik pencapaiannya dalam politik negara ini merakamkan silih ganti interaksi politik dengan parti-parti serpihannya. Parti ini melalui tempoh yang mencabar antara 1978 hingga 1982 di mana Pas terpaksa berhadapan dengan perpecahan dan kehilangan kuasa pemerintahan.

Selepas itu Pas mengambil jalan menggerakkan kepemimpinan ulama dengan Tuan Guru Yusof Rawa diangkat untuk memimpin Pas bagi menggantikan Datuk Mohd. Asri yang meletakkan jawatan.

Era pertama gerakan kepimpinan ulama Pas ini menzahirkan permusuhan hebat dengan UMNO dengan cabaran Debat Terbuka Pas-UMNO pada 1984 dan tercetus pula tragedi Memali 1985 yang mengorbankan 14 orang ahli Pas.

Nasib parti-parti serpihan Pas juga timbul tenggelam. Parti serpihan yang muncul 1970-an dan 1980-an didapati masih bergerak dengan peranan yang tidak signifikan.

Contohnya pada pilihan raya umum 1986, Hamim menjadi parti mesra BN telah bertanding dua kerusi Parlimen dan 4 DUN (menang 1 Parlimen (Bachok) dan 2 DUN (Chetok dan Meranti).

Selepas Mohd. Asri dan kumpulannya gagal dalam usaha untuk membubarkan Parti Hamim dalam muktamar khas, beliau akhirnya bersama kumpulannya (termasuk Ahli Parlimen Bachok dan ADUN Chetok) telah meletak jawatan dan keluar daripada Hamim pada 17 November 1988.

Era yang merakamkan UMNO menghadapi krisis kepemimpinan 1987 sehingga parti tersebut diharamkan telah memberi peluang baik kepada Pas. Yang Dipertua Agung Pas, Datuk Fadzil Noor memanfaatkan kesempatan ini dengan mewujudkan kerjasama politik dengan serpihan UMNO, Semangat 46 yang membolehkan Pas berkuasa semula di Kelantan.

Ketua Dewan Ulama Pas (kemudian Mursyidul Am Pas), Nik Abdul Aziz diberikan kepercayaan untuk memimpin kerajaan Kelantan semenjak 1990 dengan dasar “Membangun Bersama Islam”.

Adakah PRK Sungai Kandis dan Balakong menjadi harapan besar orang Melayu untuk melihat perjuangan UMNO membela mereka di bawah kepemimpinan baharu parti itu menjadi lebih efisien lagi, sambil disokong secara tidak langsung oleh penyokong dan ahli Pas - meskipun tidak menurunkan jentera parti mereka?