Kekuatan Amerika Syarikat misalnya diukur sejak zaman Presiden Abraham Lincoln (1861-1865) sehingga ke hari ini yang menjangkau 150 tahun. Dalam pengamatan ramai, bangsa Amerika dianggap memiliki jati diri bangsa yang cukup hebat selain British.

Meneliti jati diri bangsa di ta­nah air tercinta ini, Melaka boleh diambil iktibar. Tetapi bukankah Melaka suatu ciptaan penjajah?

Diimbau sejarah, Melaka bukanlah sebuah negeri seperti hari ini. Persempadanan Melaka pada abad ke-14 dan 15 tidak terjangkau. Sempadannya merentasi Siam dan Riau yang dipanggil Empayar Kesultanan Melayu Melaka.

Disebabkan kehebatan orang Melayu yang menguruskan sebuah empayar yang begitu besar, ia dicemburui oleh barat yang melihatnya ‘berbahaya’ kerana begitu seiring dengan perkembang­an Islam.

Siapa yang menguruskan pe­­­labuhan Melaka ketika itu? Pelabuhannya yang cukup hebat dikendalikan pihak pengurusan terdiri daripada cerdik pandai Melayu. Siapa yang membina bandar Kesultanan Melayu Melaka de­ngan seni binanya yang menarik dan istananya yang memukau. Pastinya orang Melayu.

Jelas, orang Melayu terbukti cukup hebat. Disebabkan kehebatan itulah maka keagungan itu dipecah-belah dan diracik-racik oleh penjajah sehingga membunuh kedaulatan Ke­sultanan Melayu Melaka. Akibatnya Melaka tidak beraja sehingga hari ini.

Rekod sejarah penjajahan selama 446 tahun dari 1511 hingga 1957 membuktikan pihak penjajah yang bersilih ganti begitu mencemburui kehebatan Melayu.

Tanpa kelibat penjajah hari ini, apakah kedaulatan bangsa yang dibina oleh UMNO ini pun cuba dihancur-lumatkan oleh bangsa­nya sendiri, si ‘penjajah’?

Berkongsi pengamatan yang dibangkitkan Utusan Malaysia tadi dalam satu pertemuan di ibu negara baru-baru ini, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh mengakui orang Melayu pada zaman Empayar Melaka merupakan bangsa yang hebat.

“Kalau orang muda kaji kekuatan bangsa terdahulu, mereka saya yakin akan menjadi manusia yang tidak buta sejarah. Mereka tidak akan menjadi manusia li­beral yang tak ambil kisah keadaan sekeliling…cukup apa yang ada, terima apa yang nampak.

“Orang yang hendak mewarisi perjuangan hendaklah mewarisi sejarahnya, barulah mereka faham. Mana boleh nak mewarisi UMNO tapi tak tahu macam mana perjuangan UMNO sehingga hari ini,” kata Ab. Rauf.

Bersempena sambutan ulang tahun UMNO ke-71 pada 11 Mei depan, Ab. Rauf yang juga Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah menarik perhatian mengenai keramat UMNO yang telah bertungkus-lumus membina Malaysia dalam tempoh 60 tahun sejak merdeka.

“Ini dipelopori pada peringkat awalnya daripada aspirasi presiden UMNO pertama, kemudian presiden UMNO kedua dan terus menerajui kemerdekaan dan menguruskan Tanah Me­layu untuk orang Melayu. Pada waktu merdeka itulah diberi syarat kepada kaum Cina dan India untuk menjadi warganegara,” katanya.

Kata beliau: “Pe­ngurusan Tanah Me­layu ini diterima oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman dalam membentuk sebuah kerajaan yang ada di dalamnya pelbagai bangsa tanpa mengetepikan hak kaum-kaum lain. Namun, hak orang Melayu ini diberikan sebagai satu kelebihan yang perlu dilindungi di bawah naungan sebuah parti Perikatan.”

Dalam aspek ini katanya, Presi­den UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak telah meletakkan asas perjuangan itu di bawah pentadbirannya bagi memastikan UMNO terus menaungi orang Melayu pada 70 tahun akan datang.

Gagasan Najib yang baharu, Transformasi Nasional 2050 (TN50) merupakan gagasan yang cukup besar bersesuaian dengan zaman yang sudah berubah daripada 71 tahun terdahulu. Perdana Menteri menerusi daya kepimpinannya memikirkan cabaran getir di era dunia digital dari dunia konvensional orang naik basikal yang tiada kemudahan.

“Untuk meletakkan asas masa depan, Datuk Seri Najib mereali­sasikan impiannya dengan membina sebuah mercu tanda baharu iaitu Pusat Dagangan Dunia KL Putra.

“Menara 70 tingkat ini merupakan satu mercu tanda berpandang­an jauh ke hadapan seperti mana terbinanya Menara Dato’ Onn 36 tahun lalu (1981),” kata Ab. Rauf.

Kata beliau, mercu tanda itu yang akan melibatkan kerja-kerja fizikal pembinaannya pada 11 Mei nanti melambangkan segala titik perubahan hidup masyarakat Malaysia dalam tempoh 71 tahun ini - yang menikmati manfaat peme­rin­tahan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO.

“Perjuangan UMNO yang telah berkongsi bersama rakan-rakan komponennya menghasilkan sebuah negara yang cukup dibanggakan oleh rakyatnya,” kata beliau.

Bagi Ab. Rauf, roh perjuangan UMNO mes­ti diterapkan pada setiap generasi supaya inspirasi perjuangan itu seiring dengan perjuangan yang bermula pada tahun 1946 parti itu ditubuhkan.

Beliau turut meng­ingatkan orang muda ba­hawa setiap pemimpin yang ada di atas pentas perjuangan UMNO hari ini merupakan pemim­pin yang telah diasuh melalui kilang-kilang perjuangan sejak zaman muda mereka.

“Ini kerana zaman yang membentuk pemimpin ini adalah zaman di mana mereka belajar mengenal erti perjuangan sebuah bangsa dan membina sebuah negara.

“Perjuangan sebuah bangsa adalah perjuangan untuk orang Melayu dengan membina Malaysia yang di dalamnya ada kepelbagaian bangsa.

“Yakni membina bersama Malaysia tanpa mengetepikan hak lain-lain kaum sekali gus memperjuangkan hak bangsa Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan,” kata beliau.

Ab. Rauf turut melontarkan persoalan: “Apakah dengan kemunculan satu semangat kekuatan Melayu diterajui UMNO berusia 71 tahun ini pun sedang dicemburui untuk dipecahbelahkan?”.