UMNO dipimpin Datuk Seri Najib Tun Razak bertembung dengan PPBM dipimpin Tun Dr. Mahathir Mohamad, bekas Presiden UMNO selama 22 tahun. Pertembungan antara kedua-dua tokoh politik Melayu itu dilihat lebih sengit kerana PPBM dijangka melawan UMNO di kawasan-kawasan majoriti pengundi Melayu.

Menurut laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah pemilih berdaftar sehingga 2017 adalah 14.6 juta orang meliputi 62.9 peratus Melayu, Cina (29.5 peratus), India (6.8 peratus) dan lain-lain 0.8 peratus di Semenanjung Malaysia.

Daripada 165 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, 114 kerusi adalah terdiri daripada majoriti pemilih Melayu, manakala 22 kerusi majoriti Cina dan 29 kerusi campuran. Keputusan PRU-13 menunjukkan pakatan pembangkang ketika itu disertai DAP, PKR dan Pas dapat menembusi 37 kerusi majoriti pemilih Melayu dan 21 kerusi campuran.

Persoalannya, apakah Pakatan Harapan (disertai DAP, PKR, PAN dan PPBM) dapat mempertahankan kerusi-kerusi dimenangi mereka dalam PRU-14 tanpa sokongan Pas?

Meskipun PRU-13 diadakan ketika Najib baharu genap empat tahun menjadi Perdana Menteri, beliau berjaya membawa kejayaan kepada UMNO malah menjamin Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan. Kepemimpinan Najib membawa kejayaan besar kepada UMNO kerana parti keramat Melayu itu berjaya menambah kerusi Parlimen daripada 79 pada PRU-12 kepada 88 (PRU-13). Malah me­rampas kembali Kedah daripada pakatan pembangkang.

Pada masa sama, kepimpinan beliau juga membantu BN memenangi beberapa kawasan parlimen daripada pembangkang seperti Parlimen Merbok, Sik, Baling, Padang Terap, Pendang, Kulim-Bandar Baru, Bagan Serai, Kuala Selangor dan Jerai. Kemenangan itu jelas menunjukkan sokongan kaum Melayu dan India merosot dalam PRU-12 sudah kembali menyokong UMNO (BN) pada PRU-13.

Malah, perkembangan terakhir dalam medan politik negara menunjukkan pengundi Melayu kini sudah sedar strategi dan taktik DAP, sebuah parti yang lebih mewakili orang Cina berasaskan demokrasi sosial berpaksikan sekularisme.

DAP didakwa memperkuda Pas dalam menambah 10 kerusi parlimen iaitu menang 38 daripada 28 kerusi sebe­lumnya berbanding dengan Pas hilang dua kerusi iaitu daripada 23 kepada 21, manakala PKR pun hilang satu kerusi daripada 31 kepada 30 kerusi parlimen.

Keputusan PRU-13 jelas menunjukkan DAP bekerjasama dengan parti politik Melayu khasnya Pas semata-mata untuk memperoleh undi Melayu. Menyedari motif politik DAP tersebut, Pas kini sudah memutuskan kerjasama politik (tahaluf siyasi) dengan DAP. Malah, kepimpinan dan penyokong PKR juga mula sedar terhadap niat sebenar DAP dalam terus menjalinkan kerjasama politik.

Apapun, tidak dapat dinafikan kemenangan BN dalam PRU-13 banyak ditunjangi oleh kemenangan besar kerusi dimenangi calon UMNO. Malah peningkatan sokongan pengundi Melayu terhadap UMNO yang dianggarkan mencecah 70 peratus, juga dikatakan menyebabkan memenangi 89 kerusi daripada 117 kerusi yang bertanding.

Jadi, memandangkan sokongan kaum Cina dan India semakin memihak kepada BN pasca PRU-13, tidaklah ­keterlaluan sekiranya membuat unjuran bahawa UMNO akan terus menjadi benteng kepada BN dalam PRU-14 yang dijangka berlangsung awal 2018.

Memandangkan kepemimpinan Najib telah melaksanakan transformasi UMNO dengan jayanya, malah lebih komited melaksanakan dasar-dasar kerajaan termasuk penyediaan bajet tahunan lebih mesra rakyat maka soko­ngan orang Melayu dijangka mengalih kepada UMNO.

Malah pendekatan taawun iaitu menyokong ketua negara berjiwa Islam ditonjolkan kepemimpinan Pas mutakhir ini juga dijangka mendorong orang Melayu bersatu mempertahankan kerajaan BN yang menyerlah dalam membela dan mempertahankan maruah Islam sambil membela kepentingan sah warga bukan Islam.

DATUK M. PERIASAMY ialah penganalisis politik yang juga pensyarah Komunikasi Strategik, Kementerian Komunikasi dan Multimedia.