Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

APA yang menarik ahli-ahli Perkasa daripada pelbagai latar belakang
APA yang menarik ahli-ahli Perkasa daripada pelbagai latar belakang parti politik, tetapi mereka bersatu demi memperjuangkan Islam dan orang Melayu. GAMBAR HIASAN/UTUSAN

BARU-BARU ini penulis berbual dengan seorang bekas pemimpin UMNO. Kami bercakap soal survival parti itu dan bagaimana UMNO perlu mengumpulkan sokongan orang Melayu sebanyak mungkin bagi membolehkannya terus menjadi tunjang pemerintahan negara dan tonggak kekuatan Barisan Nasional (BN).

Apa yang berlaku dalam kalang­an orang Melayu ketika ini, khususnya dari segi percakaran politik telah menyebabkan kekuatan kuasa politik mereka boleh dianggap semakin tidak stabil dan berada dalam kedudukan tidak selamat.

Selain UMNO, orang Melayu juga berada dalam PKR, PAN, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Itu tidak termasuk kelompok atas pagar dan kumpulan yang beranggapan siapa pun memerintah sama sahaja.

UMNO perlu sedar dan tidak boleh berasa selesa atau menganggap tidak ada apa-apa apabila parti-parti pembangkang bercakap soal tsunami Melayu.

“UMNO tidak boleh terlalu yakin bahawa tsunami Melayu tidak akan berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Ini memandangkan situasi politik pada masa ini sudah berbeza,” kata bekas pemimpin tersebut.

Sememangnya kalau mahu mengikut jumlah keahlian, UMNO adalah parti paling kuat kerana mempunyai lebih tiga juta ahli. Terkini jumlah pendaftaran secara atas talian menyaksikan sebanyak 15,201 permohonan lengkap telah diterima dari 20 April hingga 31 Mei lalu.

Begitu juga apabila lebih 100,000 ahli parti itu hadir pada Hari Ulang Tahun UMNO Ke-71 lalu. Ini melambangkan kekuatan, solidariti dan semangat UMNO. Tetapi persoalannya kenapa dalam pilihan raya UMNO tidak mampu mencatatkan kejayaan sehebat jumlah ahlinya?

Mungkin apa yang diperkatakan ini tidak menyenangkan sesetengah pihak termasuklah pemimpin yang masih bernostalgia dengan sejarah silam berhubung jasa UMNO membela nasib orang Melayu. Penulis tidak menafikan tiada parti yang boleh menggantikan UMNO dalam soal berkenaan, tetapi situasi politik sekarang tidak mengizinkan parti itu untuk terus dibuai dengan jasa-jasa lama, khususnya dalam meyakinkan generasi muda menyokong parti berkenaan.

Justeru bagi memastikan UMNO mampu bertahan dan mencatatkan kejayaan cemerlang dalam pilihan raya umum akan datang, antara yang harus dilakukan oleh parti tersebut ialah menjalinkan hubungan rapat de­ngan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu. Dalam perkara ini bukanlah semua NGO Me­layu perlu didekati oleh UMNO, sebaliknya menentukan NGO manakah yang paling sesuai untuk didekati. Ini berpandukan kepada kekuatan ahli dan pengaruh NGO tersebut.

Ketika ini orang Melayu mempunyai banyak NGO. Ada sesete­ngahnya dilihat begitu berpenga­ruh seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang dipimpin oleh bekas Ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Dr. Ibrahim Ali. Ada pula NGO sekadar nama atau melakukan tindakan untuk mencari publisiti semata-mata.

Oleh itu UMNO perlu memilih NGO yang tepat untuk bekerjasama. Selain Majlis Perunding­an Melayu (MPM) yang dilihat mengetengahkan pelbagai isu nasional dan kemasyarakatan, Perkasa antara NGO yang harus diberi perhatian oleh UMNO.

Ini memandangkan Perkasa mempunyai ahli berdaftar me­lebihi 500,000 orang dan mempunyai cawangan di hampir seluruh kawasan Parlimen. Setakat ini, seperti mana kata Dr. Ibrahim, pertubuhan itu tidak terlibat menyokong mana-mana parti politik. Apa yang menarik ahli-ahli Perkasa daripada pelbagai latar belakang parti politik, tetapi mereka bersatu demi memperjuangkan Islam dan orang Melayu.

Kelebihan inilah yang harus dimanfaatkan oleh UMNO untuk mendekati NGO seumpama itu. UMNO tidak boleh mengamalkan sikap meminggirkan mana-mana NGO Melayu apatah lagi yang mempunyai kekuatan seperti Perkasa.

UMNO perlu ingat bahawa apa yang berlaku dalam parti itu sehingga terlahirnya PPBM tidak boleh dipandang sepi, begitu juga apabila Pas membuat keputusan meninggalkan Pakatan Harapan diketuai DAP. Sedikit-sebanyak memberi kesan terhadap tahap sokongan orang Melayu termasuk dalam kalangan ahli UMNO kepada parti itu.

Faktanya, ada orang Mela_yu dalam UMNO yang masih setia menyokong pemimpin-pe­mimpin PPBM dan ada orang Melayu yang berpendapat oleh kerana Pas tidak lagi menjadi sekutu DAP maka Pas perlu disokong demi perjuangan Islam.

Dalam kalangan mereka pasti ada yang menyokong UMNO dalam pilihan raya umum lalu, bagaimana jika mereka beralih arah? Tidakkah ini boleh mengurangkan jumlah undi UMNO di sesetengah kawasan? Bagaimana UMNO mampu menampung kehilangan itu?

Hakikatnya tiada cara lain, selain UMNO perlu merangkul dan menjalin persahabatan dengan NGO Melayu termasuk Perkasa. Janganlah sesetengah pemimpin UMNO berasa terancam jika hubungan ini terjalin khusus­nya apabila melibatkan Dr. Ibrahim yang pernah menjadi Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas.

Penulis percaya melalui persahabatan tersebut, akan memberi manfaat besar kepada UMNO dalam memperkukuhkan kedudukannya pada pilihan raya umum akan datang khususnya bagi mendapat sokongan orang Melayu. Jika perkara itu dilakukan pasti memberikan kekuatan tambahan kepada UMNO.

Oleh itu diharapkan pemim­pin-pemimpin UMNO akan memahami kepentingan menjalinkan kerjasama berkenaan dan bukannya terus dibuai de­ngan nostalgia perjuangan silam yang mungkin sudah tidak lagi dipedulikan oleh sesetengah orang Melayu.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain