Awang mengucapkan selamat bersidang kepada semua perwakilan dalam PAU kali ini. Sesungguhnya perhimpunan kali ini adalah amat bersejarah dan akan menjadi ingatan kepada seluruh ahli UMNO yang bersidang sebagai parti pembangkang.

Pelbagai tafsiran pastinya timbul dalam situasi semasa UMNO kini. Namun dengan semangat ‘UMNO Bangkit’, tentunya ada agenda tersurat dan tersirat yang disampaikan oleh Zahid sebagai Presiden dalam usaha memperkasakan semula UMNO.

Sememangnya UMNO berada di persimpangan sama ada untuk bangkit semula daripada keruntuhan dan mendapatkan kembali keyakinan rakyat atau terus menjadi titipan sejarah sepertimana yang dilaungkan oleh mantan-mantan pemimpin UMNO yang keluar daripada UMNO.

Perhimpunan kali ini akan melakarkan hala tuju dan masa depan UMNO dan Awang bersetuju bahawa tanggungjawab memulihkan UMNO tidak hanya terletak kepada Zahid Hamidi, Mohamad Hasan ataupun mana-mana individu tertentu dalam UMNO namun beban dan tanggungjawab ini mestilah dipikul oleh semua ahli UMNO.

Awang teringat tentang cerita helang yang secara semulajadinya di ketika usia 40 tahun mesti mengharungi perubahan untuk terus hidup. Pada usia ini, cakar panjangnya semakin sukar untuk mencengkam mangsa, paruh yang tajam dan panjang menjadi bengkok, kedua sayapnya menua dan bulu yang tebal menyukarkannya untuk terbang. Di situasi itu, helang tersebut mempunyai dua pilihan sama ada mati atau mesti berubah. Proses perubahan selama 150 hari yang sukar, getir dan penuh penyeksaan mesti dilalui bagi memulihkan semula keadaan fizikalnya untuk helang tersebut kembali terbang dan hidup lebih lama.

Awang juga merasakan UMNO mesti berubah demi bangsa Melayu dan agama Islam. UMNO mesti membuang segala kenangan, semua kebiasaan dan meninggalkan setiap tradisi kerja lama yang merosakkan UMNO. UMNO mesti keluar daripada kepompong penafian, salah-menyalah, menagih simpati musuh dan berada dalam persekitaran yang terdesak untuk berkuasa.

Apa yang penting, UMNO perlu menerima yang ia sudah hilang kuasa kerana angkaranya sendiri. UMNO perlu memulakan langkah perubahan untuk kembali menerajui suara agama, bangsa dan tanah air.

UMNO Bangkit Menjadi Realiti.

 

MAHATHIR DI PENTAS DUNIA

Mahathir kembali dan suara Malaysia bergema di pentas dunia. Kelantangan suara berani memperjuangkan yang hak dan tegas menentang kebatilan kuasa-kuasa besar sememangnya menjadi identiti beliau.

Mahathir terkenal sebagai seorang pemimpin yang konsisten memperjuangkan hak rakyat terutamanya daripada negara-negara yang tertindas. Bekas Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd menggelar Mahathir sebagai Perdana Menteri “lama-baharu-baharu-lama”, kerana suaranya tetap sama dahulu dan sekarang.

Jika 15 tahun dahulu, Mahathir di pentas dunia meminta kuasa veto distruktur semula, mengajak dunia menentang Israel dan menjadi pejuang rakyat beragama Islam di seluruh dunia.

Sekali lagi di pentas yang sama semalam, Mahathir kembali mengulanginya.

Keangkuhan Israel yang terus menindas rakyat Palestin dengan restu Amerika dan sikap tidak peduli Aung San Suu Kyi terhadap penderitaan etnik Rohingya di Myanmar terus dikecam oleh Mahathir secara terbuka. Sememangnya semua merindui suara Mahathir di pentas antarabangsa.

Sesungguhnya Awang berasa bangga menjadi rakyat Malaysia apabila melihat pemimpin utama kita dihormati dan dikerumuni oleh pemimpin-pemimpin luar terutamanya dari negara Islam di pentas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-73 di New York, Amerika Syarikat semalam.

Mahathir Yang Tetap Mahathir.

 

PD KE PUTRAJAYA

Hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson semalam menandakan bermulalah secara rasminya langkah Anwar ke Putrajaya. Sudah semestinya persaingan 7 orang calon di PRK Port Dickson ini membawa erti cerita yang amat unik dan menarik untuk diperhalusi. Adalah tidak masuk akal jika penduduk Port Dickson dan pengundinya untuk tidak memilih wakil rakyat yang bakal menjadi Perdana Menteri.

Awang juga rasa pelik apabila Isa Samad juga menawarkan diri menjadi calon bebas untuk bertanding pada PRK kali ini. Isa yang sudah keluar daripada UMNO juga dikhabarkan kini telah bebas daripada dosa yang dikata menghancurkan Felda sebelum ini.

Felda yang pada mulanya mempunyai harta berbilion-bilion ringgit dengan aliran tunai yang tinggi tetapi hari ini dihempap dengan hutang berbilion-bilion ringgit dan kerugian yang amat besar.

Ada yang berbisik kepada Awang mungkin Isa Samad kini dibebaskan sebagai tanda terima kasih PH kerana beliau berjaya menjatuhkan 26 kerusi Felda milik BN pada PRU 14 lalu.

PRK Port Dickson juga memberi gambaran baru kepada hubungan antara UMNO dan PAS. Jika pada tiga PRK lepas yang tidak memberi apa-apa makna kepada pentadbiran negara sebelum ini, UMNO dan PAS boleh sekata tetapi kali ini di Port Dickson yang mana kerusi ini akan menentukan bakal Perdana Menteri akan datang, UMNO dan PAS kembali di haluan sendiri.

Perbedaan inilah yang selalunya menghilangkan keyakinan rakyat bahawa hubungan tahalul siyasi UMNO dan PAS yang baru mencapai 14 hari tidak kekal lama. Hari ini sekali lagi mereka berada di pentas yang sama di Persidangan Agung UMNO. Namun rakyat tertanya-tanya apakah ini sekadar satu sandiwara?

Uniknya PRK Port Dickson kali ini ialah satu pakatan kerajaan seolah-olah dilihat tidak boleh bersatu. Dengan jumlah calon yang menawarkan diri untuk bertanding menentang bakal Perdana Menteri, ia seperti memberi igauan apakah benar terdapatnya desas-desus gerak kerja kumpulan yang dikatakan menyokong Tun Mahathir ingin menyekat kemaraan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri?

Penyertaan Isa Samad dan suara sumbang pemimpin-pemimpin sama ada daripada PKR mahupun PPBM yang bersama dengan Tun Mahathir membuatkan Awang berasa bimbang jika luka lama berdarah kembali.

Awang hanya mendoakan yang terbaik untuk Anwar dan berharap suara keramat rakyat Malaysia yang mahukan Anwar menjadi Perdana Menteri selepas ini tidak dikhianati.