Sementara mengenal dan mengamalkan tuntutan Fasal 3 Perlembagaan parti, para pemimpinnya tidak kira dari aras tingkat mana pun, waima Majlis Kerja Tertinggi (MKT) atau ketua-ketua bahagian, sudahkah membuat penilaian-pasca atau post mortem PRU itu?

Apakah dasar-dasar parti buatan MKT atau perhubungan negeri selepas perhimpunan agung tempoh hari yang masih tidak dilunaskan? Atau jika dilunaskan, tidak pula menepati sasaran perjuangan yang semakin getir ini?

Soalkan - masih ada lagikah ‘ufti’ menjadi dorongan utama untuk gerakkan operasi parti tanpa tercerna sedikit pun dalam jiwa inisiatif sendiri ‘menghidupkan’ semula UMNO?

Adakah habis duit yang disakukan itu maka habislah perjuangannya? Bila habis duit yang disakukan itu akan terlentang dan ranaplah nilai dan perjuangan untuk bangsa, agama dan negara? Lantaran prosesnya memilih duit bukan mengenal pemimpin, UMNO terus lemah dan ranap?

Lantaran kekuatan parti bersandar kepada ‘ufti’ dan bukan sifat-sifat asas kepimpinan, jadilah seperti perumpamaan burung terbang dari genggaman, tahinya tinggal di tangan.

Lupakan suasana politik sogok duit sudah jadi do it di masa-masa lepas. Itu pun jika ada iltizam tinggi mahu harung cabaran amat-amat getir empat tahun enam bulan mendatang ini. Cuba tengok dan uji bakal calon-calon pilihan raya atau pemimpin di kawasan anda - atas kemampuan, kejujuran, pengalamannya, rekod khidmat, budi bahasa dan sumbangannya kepada parti.

Setakat mana dasar ‘calon boleh menang’ atau winnable candidate dapat dilaksanakan. Atau ia hanya sedap didengar tetapi tidak dipraktikkan sebelum ini hingga mengakibatkan Barisan Nasional berkubur habis.

Jangan sudah terhantuk baharu tengadah. Ambil iktibarlah semasa hari pengundian 9 Mei lalu hingga jam 6.30 petang pun khabarnya Pengerusi BN masih dimaklumkan oleh pengerusi perhubungan negeri yang Selangor sudah berjaya dirampas. Tambah haru lagi UMNO ‘disahkan’ menang dua pertiga. Ditanya apa faktor menang, jawabnya berlandaskan reading Jalinan Rakyat (JR) - yang hitam sudah jadi putih, kelabu pun sudah diputihkan.

Bukan itu sahaja. Agensi-agensi ‘risik’ yang terlibat dalam mengatur dan mencongak kemenangan BN, semuanya tak boleh pakai. JASA ‘ke laut’. Cybertrooper BN? Khabarnya yang kendalikannya pun sudah menghilang. Jadi, apa punca tsunami rakyat 9 Mei itu? 1MDB, Najib difitnah, DAP yang cauvinis atau ‘penangan’ Tun Mahathir?

Itu belum lagi masuk ada pemimpin-pemimpin UMNO dari selatan dan Wilayah Persekutuan yang cukup berkecil hati dengan ‘hembusan’ 1MDB hingga mereka hairan boleh longlai - biarpun program khidmat bakti ada kelas tersendiri di mata pengundi.

Pandai main politik tak semestinya pandai memimpin dan pandai mentadbir. Untuk berdepan dengan Pakatan Harapan, pemimpin UMNO mesti bentuk dan kenal pasti calon-calon pilihan raya di cawangan, bahagian, Pemuda, Wanita dan Puteri yang bukan saja pandai membuat percaturan politik atau siasah. Tetapi juga harus cari dan dapatkan pemimpin yang bersifat elok dan bijak.

Kalau mencari tampang belimbing
Cari di teluk, kedua di Cempedak
Kalau mencari seorang pemimpin
Cari yang elok, kedua bijak.

Sebenarnya ramai yang pandai, tetapi tidak ramai yang bijak. Ramai yang dapat markah tertinggi matematik tetapi mereka tak berkebolehan mengira agihan hak dan kepentingan orang ramai.

Pada zaman ini terlalu ramai yang menyebut perihal memilih pemimpin yang berkualiti. Kualiti apa?

Sebelum tahun-tahun 1970-an, orang Melayu tidak menyebut ‘kualiti’. Mereka menyebut sifat-sifat terpuji. Pilih oleh saudara mereka yang bakal membawa kesejahteraan untuk ramai berbanding dengan gelagat tembolok sendiri sahaja. Atau yang hanya menyogok duit bila bertanding jawatan tinggi bahagian.

Memang susah menolak habuan ‘ufti’ sekali pun ia disalahgunakan dalam memilih pemimpin.

Antara ambil dan tak diambil, boleh ambil. Tetapi setelah duitnya diambil, pilihlah pemimpin yang sebenar pemimpin. Bukan pemimpin yang menyuruh kita mengendengnya kerana duitnya diambil.

Lihat wajahnya, lalu lihat air mukanya. Ketahui perangainya. Bilang jasanya, ketahui budinya.

Adakah dia hanya pemimpin semasa cuaca cerah tetapi ketika tengkujuh dia menghilang?

Atau dia hanya pemimpin yang menyogok duit naik ke atas?