Sesungguhnya bila saya berdiri di atas ini dan selepas saya mengelilingi stadium sebentar tadi, saya tidak pernah melihat satu perhimpunan ­seperti perhimpunan kita malam ini. Saya berasa amat teruja perhimpunan besar-besaran UMNO dan umat Melayu bermandikan warna merah menyala dan membara.

Malam ini menjadi bukti yang nyata, tidak lain tidak bukan, perhimpunan kita adalah lambang kekuatan UMNO, lambang kesetiaan, lambang pengorbanan dan api perjuangan orang Melayu dan bumiputera di tanah air tercinta ini.

Walauapapun mendahului se­galanya, marilah kita mengangkat setinggi-tinggi kesyukuran ke had­rat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah perkenan-Nya jua maka kita dapat bersama-sama ber­himpun di satu majlis yang amat bermakna kepada kelangsu­ngan UMNO dan umat Melayu iaitu Sambutan Hari UMNO Kali Ke-71.

Saya difahamkan bahawa sau­dara saudari ramai sudah ber­kumpul di stadium ini sejak awal tengah hari tadi. Saya juga dapat melihat melalui kiriman dalam media sosial bahawa di kebanyakan tempat di R&R di sepanjang lebuh raya menghala ke stadium ini telah ditawan oleh gelombang merah UMNO.

Tuan-tuan dan puan-puan datang dari seluruh pelosok tanah air, ada yang menaiki kereta, ada yang menaiki bas, ada yang bermotor, ada yang naik LRT se­muanya berhimpun untuk ­me­nunjukkan bahawa UMNO par­­ti inilah parti yang terkuat di bu­mi Malaysia ini.

Saya hendak tanya tuan-tuan, kita sudah cukup kuat atau tidak? Kita sudah cukup bersedia? Esok bolehkah bubar Parlimen? Inilah semangat kita, semangat luar biasa UMNO. Siapa kata UMNO tidak kuat? Kalau dia kata UMNO tidak kuat, tengok sajalah perhimpunan ini. Ini baru sebahagian saja, ramai ada di luar sana, di kampung, di pinggir bandar, kawasan perumahan, tiga juta lagi, tiga juta lebih ada lagi.

Tuan-tuan dan puan-puan se­kalian,

Biar gugur bintang dari cake­rawala,

Walau runtuh langit ke bumi,

Obor dan api perjuangan UMNO bumiputera,

Parti berkeramat di tanah air ini akan terus marak lagi menyala, kita pertahankan, kita pertahankan sampai ke titisan darah yang terakhir!

Tuan-tuan dan puan-puan se­kalian,

Sesungguhnya saya rasa semakin bersemangat, rasa lebih yakin kerana apa? Kerana bukan saya seorang ataupun ke­seorangan, I am not alone, I am not lonely. Sebab apa? Sebab di keliling saya ini pemimpin-pe­mimpin UMNO berdiri dalam satu saf yang padu berpegang prinsip taat setia serta berwala’ kepada kepemimpinan parti dan negara.

Sebab itulah, dengan barisan dan saf kepemimpinan yang padu ini kita tidak berasa gentar, kita ti­dak gundah-gu­lana walau apapun cabaran yang mendatang yang cuba dilontarkan oleh pihak lawan kita akan hadapi dengan segala kekuatan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Elok kita merenung kembali 71 tahun ketika UMNO telah ditubuhkan atas keringat, atas air mata dan sumpah setia dalam mempersatukan orang Melayu meskipun 71 tahun sudah berlalu. Melihatkan sambutan yang sungguh meriah pada malam ini, semangat yang berkobar-kobar yang membakar, saya merasakan bahawa seolah-olah UMNO baru kita ditubuhkan malam ini. Oleh itu, sama-samalah ikut saya sekuat-kuatnya, ...

Hidup Melayu! Hidup UMNO!

Hidup Melayu! Hidup UMNO!

Seperkara lagi yang saya ingin sebutkan bahawa UMNO bukanlah parti yang perkauman dan UMNO bukan parti rasis dan UMNO bukan parti pelampau. Kita bukan angkuh. Kita sanggup bermuafakat, kita sanggup bekerjasama. Kita sanggup berkongsi kuasa dengan rakan-rakan kita dalam Barisan Nasional (BN).

Sebab itulah pada malam ini kita menjemput keluarga BN untuk bersama-sama dengan kita. Saya hendak sebut di sini, saya hendak mulakan dengan pim­pinan Malaysian Chinese Association atau MCA. Mana MCA? xie xie, xie xie.

Saya hendak tengok pula pim­pinan Malaysian Indian Congress atau MIC. Rumba nandri, rumba nandri,...Saya seterusnya per­kenalkan barisan pimpinan Malaysian People’s Movement Party atau Gerakan. Mana parti Gerakan?

Seterusnya kita hendak te­ngok People’s Progressive Party, myPPP. Mana dia? Selanjut­nya, kita me­ren­tasi Laut Cina Selatan pu­la, Parti Pesaka Bumiputera Ber­satu Rakyat Sarawak, PBB. Parti Rakyat Sarawak, PRS. Mana PRS?

Sarawak People’s Democratic Party, SP­DP. Mana dia? Sarawak Uni­ted People’s Party atau SUPP. Dia tidak pakai baju kuning malam ini. Lepas Sarawak kita pindah ke Sabah. Parti Bersatu Sabah, PBS. PBS mana? Parti Bersatu Rakyat Sabah, PBRS.

Parti UPKO. Mana UPKO? ­Liberal Democratic Party atau LDP dan akhir sekali, Friends of BN, bangun. Terima kasih kepada rakan-rakan kita dalam BN.

Seterusnya tentu sekali stadium ini dibanjiri dengan keha­diran pimpinan UMNO dari semua pe­ringkat. Pertamanya, saya hendak tengok ahli-ahli, pimpinan Pergerakan Wanita UMNO yang menjadi tulang belakang parti.

Ahli-ahli, pimpinan Pergerakan Pemuda UMNO, pewaris harapan bangsa. Saya hendak tengok pula ahli-ahli Puteri UMNO. Mana dia Puteri? Warna merah jambu.

Kita tidak pernah lupakan, para veteran UMNO yang berjuang selama ini. Mana dia ve­teran UMNO? Begitulah juga saya berbangga dengan kehadiran wakil-wakil dari 191 bahagian UMNO seluruh negara.

Saya ingin dengar suara wakil dari Wilayah Persekutuan? Mana dia? Perwakilan dari Perak. Suara perwakilan Pulau Pinang. Sorakan suara negeri Kedah. Perwakil­an dari Pahang.

Perwakilan dari Terengganu. Wakil dari Kelantan. Saya hendak dengar suara Selangor.

Perwakilan dari Negeri Sembilan. Mana dia? Negeri Melaka pula. Mana dia Melaka? Ahli dan perwakilan negeri Johor. Mana Johor? Suara perwakilan dari Perlis. Mana dia tiga bahagian Perlis. Mana dia?

Kita hendak dengar sorakan ‘urang-urang’ dari Sabah. Mana Sabah? Kita hendak dengar sorakan daripada NGO. Sekarang ini saya hendak dengar suara anak-anak muda, mahasiswa, belia, generasi Transformasi Nasional 50 atau TN50. Mana dia?

Jangan biarkan kita menahan rindu siulan lagu popular sekarang ini. Inilah cerita dia, warga UMNO dan BN yang berhimpun pada malam ini.

Bila kita berkumpul menyambut 71 tahun usia kita, saya tertanya-tanya pada diri saya apakah sebabnya kita masih berkuasa sampai hari ini?

Apakah faktor-faktor yang menyebabkan parti UMNO dan BN merupakan parti yang paling berjaya di dunia dalam sistem demokrasi yang terbuka. Saya dapat simpulkan empat sebab mengapa kita boleh berada pada malam ini dan kita menyambut 71 tahun kelahiran UMNO dengan kekuatan yang luar biasa.

Yang pertama: kita tidak pernah tinggal asas perjuangan parti kita. Asas perjuangan parti kita berpaksikan kepada Islam, Me­layu bumiputera dan negara Malaysia keseluruhannya.

Malah bukan sahaja kita tidak pernah abaikan, kita terus perkasakan lagi. Islam diperkasakan di bumi ini kerana perjuangan UMNO, Melayu bumiputera dimartabatkan kerana perjua­ngan UMNO dan negara Malaysia semakin berjaya kerana perjuangan UMNO dan BN.

Yang kedua: Kerana kita ­me­letakkan perjuangan kita untuk rakyat, dari dulu sampai se­karang. Kita berjuang bukan untuk ahli UMNO sahaja bahkan kita berjuang untuk semua rakyat Malaysia tidak kira kaum, agama atau keturunan. Kita buat pembangunan untuk siapa? Kita buat pembangunan untuk rakyat Malaysia! Kita jaga keselamatan untuk siapa? Kita jaga keselamatan untuk rakyat Malaysia! Kita te­gakkan perpaduan untuk siapa? Untuk rakyat Malaysia! Bila kita meletakkan rakyat dan mendahulukan rakyat, kita terus mendapat keyakinan setiap kali pilihan raya diadakan.

Siapa yang momok kita hilang kekuatan? Tengok sahaja bila kita menang Pilihan Raya Negeri Sarawak, Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Besar, Kuala Kangsar dan Pilihan Raya Kecil Tanjung Datu, dan insya-Allah PRU-14 kita akan menang sekali lagi.

Yang ketiga, tuan-tuan: kita sentiasa relevan kerana dasar perjuangan yang kita amalkan dan kita laksanakan adalah sesuai ikut era dan zaman, sama ada menentang Malayan Union ataupun pascakemerdekaan untuk mengisi kemerdekaan, sama ada membangunkan kawasan luar bandar ataupun kita memasuki era perindustrian.

Ataupun kita laksanakan dasar ekonomi baru mahupun kita menuju 30 tahun lagi ke zaman TN50 dan seterusnya kita bercita-cita menjadi negara top 20 in the world, negara 20 tertinggi. Kita telah mengamalkan dasar yang sesuai kepada setiap zaman dan era.

Dan keempat: kerana visi dan tindakan kita. Wawasan tanpa tindakan sia-sia sahaja, tindakan tanpa wawasan jadi ­cacamarba. Ki­ta bukan ma­­­cam pembangkang, pembangkang memang tidak sehaluan antara satu sama lain tetapi BN, kita dalam satu keluarga dan kita mendukung dasar yang sama.

Namun sayang seribu kali sayang, setelah lebih 70 tahun UMNO ditubuhkan dalam memperjuangkan untung nasib orang Melayu dan rakyat Malaysia, setelah 60 tahun kita meraih kemerdekaan dan dengan segala susah payah kepimpinan UMNO dan BN membina dan membawa kemajuan kepada negara ini, sungguh tidak disangka dan tidak pernah diduga, ada satu dua bekas pimpinan negara termasuk seorang negarawan yang pernah kita sanjung, tergamak dan sanggup bersubahat berbuat khianat terhadap parti kita.

Sanggup menjatuhkan ke­pimpinan kita, sanggup meme­rangi UMNO dan BN. Yang menyedihkan, beliau sanggup menjilat lidah, berdamping dan bercium mulut dengan musuh memerangi parti UMNO yang pernah di­pimpin beliau selama berpuluh tahun kerana agenda peribadi.

Kita tak lupa saudara saudari sekalian, siapa yang mengajar kita selama ini bahawa DAP itu parti perkauman. Kalau bukan itu, siapa orang itu? Siapa yang mendidik kita selama puluhan tahun, menanamkan kebencian terhadap parti DAP sebagai parti cauvinis dan rasis yang membenci Melayu dan Islam?

Sebab itulah parti PAS sudah menganggap DAP menjadi musuh kepada Islam dan bagi UMNO pula, DAP adalah musuh kepada orang Melayu. Sebaliknya, memetik kenyataan Tuan Guru Datuk Seri Haji Hadi Awang:

‘Kerjasama antara parti Pas dan UMNO kini adalah satu amal­an politik yang sungguh matang, kerana politik antara Pas dan UMNO, kita tidak berkelahi, sebaliknya kita berpolitik untuk kepentingan bersama. Haji Hadi turut menyatakan, dalam politik kita boleh berbeza pendapat, tetapi, da­lam isu-isu yang melibatkan kepenti­ngan rakyat dan negara, kita mesti bersatu serta bersama.’

Secara kebe­tulan, saya dapat tahu bahawa hari ini Majlis Syura Ulama telah membatalkan tahaluf siyasi antara Pas dan PKR. Itulah antaranya saya ucap terima kasih malam ini kepada Presiden UMNO keenam tetap setia, Pak Lah tetap setia kepada UMNO dan BN.

Terima kasih Pak Lah, contoh teladan bagaimana seorang bekas presiden harus tunjukkan ke­setiaan berpanjangan kepada parti yang pernah dipimpin. Oleh itu, marilah kita pertahankan parti kita. Saya hendak tahu kepada tuan-tuan dan puan-puan, sanggup atau tidak tuan-tuan dan puan-puan mempertahankan UMNO sehingga ke titisan darah yang terakhir? Sanggup atau tidak?

Kalau inilah semangat yang ditunjukkan, kalau semangat ini bersemarak lagi berkobar-kobar, saya pasti dengan izin Allah SWT, UMNO akan bertahan bukan sekadar untuk 100 tahun, bahkan untuk seribu tahun lagi! Insya-Allah.

Saya mohon agar kita dapat bertenang. Bertenang dan berdiam sejenak kerana saya ingin menyimpulkan amanat saya pada malam ini dengan mengajak saudara saudari sekalian yang jumlahnya begitu ramai untuk sama-sama kita memanjatkan doa dan harapan kepada Allah SWT. Le­bih-lebih lagi malam ini malam nisfu Syaaban, malam Jumaat dan malam hari jadi UMNO. Tiga-tiga sekali berlaku pada malam ini.

BismillahirRahmanirRahim,...

Alhamdulillahi Rabbil A’lamin wa bihi Nastai’n,

Allahumma Solli Ala Saidina Muhammad Wa Ala A’li Saidina Muhammad,

‘Ya Allah yang Maha Ber­kua­sa, bersempe­na malam per­tengahan bulan Syaaban yang penuh ke­mu­liaan ini, kami hamba-ham­ba-Mu me­­nadah dan merafak tangan kepada-Mu jua, agar Dikau selamatkanlah, rahmatilah, berkatilah, bangsa yang bertuah ini.

Wahai Tuhan Yang Maha Pe­nyayang lagi Maha Mengasihani, pada malam yang penuh syah­du ini, kami beramai-ramai merintih dan merayu, agar Dikau lindungilah perjuangan parti UMNO yang keramat lagi berjasa kepada tanah air yang tercinta ini, bersama-sama dengan sa­habat-sahabat kami, daripada seluruh komponen BN, demi me­makmurkan Malaysia, Bah­tera Merdeka ini.

Sesungguhnya Ya Allah, Tuhan Maha Pencipta dan Maha Tahu, di manalah lagi kami akan berbudi, berbakti dan berkorban, kalau bukan kepada bangsa Melayu bumiputera serta tanah tumpah kami sendiri.

Maka, duhai Yang Maha Perkasa, Dikau kurniakanlah keinsafan kepada kami, seluruh ahli parti UMNO, supaya sentiasa beringat-ingat,jika kami lalai dalam medan perjuangan ini, andai kami alpa terhadap tanggungjawab dan amanah yang digalas atas nama bangsa dan negara, pastinya, pastinya satu hari nanti, segala­nya akan musnah,semuanya pas­ti rosak binasa, dan setiapnya tidak berguna lagi.

Ketika itu kelak, segala kesal tidak bererti, tangisan air mata darah sekalipun tak mungkin mampu menjadi galang ganti, hancur lumatlah jiwa dan nurani, seraya tamatlah riwayat Melayu sejati, nobat dan nafiri pun sudah tidak berbunyi lagi.

Kerana itulah, kami bimbang wahai Tuhan, kami bimbang jika itu semua berlaku, nan di mana kami nak membawa diri, ke mana pula perginya hati, di manalah jua hilangnya rasa.

Alangkah berhiba-hiba, sedih dan menyayat rasa di sanubari apabila Melayu menjadi yatim dan piatu. Mengemis, me­larat, me­rem­pat hatta ter­bangsat di ta­nah sendiri.

Kepada siapalah akan umat Melayu in­gin berteduh, me­ngadu dan bermanja, lantaran itu, janganlah sampai hendaknya, janganlah sampai hendaknya, bangsa yang gemilang ini tersungkur rebah umpama melukut di tepi gantang, mengharap ihsan dari orang.

Dari itu juga, Ya Tuhan Maha Pencipta, seandainya Dikau tidak memberi perlindungan dan me­rahmati dengan pertolongan-Mu terhadap perjuangan UMNO ini, agar kami dapat menentang para petualang serta pendurjana bangsa dan negara, demi membela untung nasib bangsa ini.

Justeru, wahai Yang Maha Pe­ngasih lagi Maha Penyayang, biar­pun burung-burung berhenti bersiulan, sekalipun bumi kontang tidak menghijau lagi, hatta alam sekeliling jadi membisu, kami akan terus memohon serta mengadu kepada ihsan-Mu, barang dijauhkanlah, Ya Allah barang dijauhkanlah Ya Allah nasib buruk dan petaka itu, daripada menimpa umat Melayu ini.

Kasihanilah kami Ya Allah, ka­sihanilah UMNO, kasihanilah bangsaku, lindung-lindung kan lah warisan mulia

Dikau payungilah umat Mela­yu dan UMNO ini.

Demi bangsa, demi perjuangan UMNO, dan demi kesatuan ummah.

Satukanlah juga hati-hati kami dalam setia dan ketaatan.

Kerana kami bersumpah dan berjanji Ya Allah, pada malam yang barakah ini, bahawasa­nya, dengan keredaan-Mu, kami bertekad untuk terus berjuang jiwa dan raga, bermati-matian demi Bangsa Melayu! Agama Islam dan nusanya! Walaupun nyawa kami ditukar ganti.

Akhirul doa, datangkanlah bahagia, hindarkanlah derita. Se­sungguhnya tiadalah lagi sebaik-baik pengharapan, me­lainkan segala urusan kami di­persembah dan perserahkan kem­bali kepada-Mu jua.

Kabulkanlah Ya Allah,

Kabulkanlah Ya Allah,

Perkenankanlah doa kami Ya Allah. Amin, Allahumma Amin.

Saudara dan Saudari serta ­rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

Lantaran itu, duhai bangsaku, pendukung dan pejuang UMNO mewakili jutaan yang lain, ayuhlah kita kibarkan dengan megah Sang Saka Bangsa ini, jangan biarkan panji-panji UMNO dan Malaysia tercinta ini, sesekali jatuh ke tangan musuh dan peng­khianat negara.


Walau apa pun aral me­ng­ha­lang,

Para petualang wajib ditentang,

Alang-alang sudah di gelanggang,

No retreat no surrender!

No retreat no surrender!

Pantang undur pendekar berjuang!

 

Hidup UMNO!

Hidup Barisan!

Hidup rakyat!

Negaraku! (Malaysia)

Negaraku! (Malaysia)

Negaraku! (Malaysia)

Terima kasih, Wassalamualaikum Warahmatullahi Waba­ra­ka­tuh.