Sudah pastilah mereka akan berbincang mengenai apa yang sudah terjadi pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lalu. Mereka juga ingin tahu hala tuju UMNO bagi membolehkan parti terus relevan dalam landskap politik negara.

Wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL dan SAIFULIZAM MOHAMAD menemubual Presiden UMNO, DATUK SERI DR. AHMAD ZAHID HAMIDI semalam untuk menyelami pemikirannya berhadapan cabaran getir semasa.
 


UTUSAN: UMNO kini dianggap lemah. Pemimpin-pemimpinnya dilihat tidak bersatu hati, apa tindakan Datuk Seri sebagai Presiden untuk memulihkan keadaan termasuk mengelakkan ahli atau pemimpin keluar, lompat parti?

AHMAD ZAHID: Konotasi lemah itu boleh dilihat dari pelbagai sudut. Ramai menganggap UMNO dilihat lemah selepas tidak dapat bentuk kerajaan pada 9 Mei lalu kerana kekurangan kerusi. Persoalannya sekarang adakah UMNO lemah dan boleh membawa kepada kemusnahan?

Mungkin jawapannya ya atau sebaliknya. Tetapi kalau dilihat secara menyeluruh, UMNO masih kuat. Lihat jumlah kerusi dalam Dewan Rakyat, Dewan Negara dari dua negeri yang masih dikuasai iaitu Perlis dan Pahang serta kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di beberapa negeri lain yang memungkinkan UMNO sudah bersiap sedia untuk mengambil alih.

Adakah itu dikatakan lemah? Bagaimana pula konteks lemah itu dapat dilihat dengan kerusi terbanyak tetapi tidak dipilih peneraju kerajaan mempunyai jumlah kerusi yang kecil dalam Dewan Rakyat. Siapa yang lemah dan siapa yang kuat?

Soalnya di sini ialah manusia mempunyai persepsi yang berbeza antara satu sama lain. Sebab itu juga ada pemimpin yang keluar parti tetapi melompat semula ke parti asal. Ini lumrah dalam politik. Namun dalam politik kita harus mempunyai prinsip, integriti dan amanah. Kita adalah pemimpin atau wakil rakyat yang diberikan tanggungjawab, maka berfikirlah dua kali sebelum bertindak.

Dalam UMNO kita bersikap terbuka dan berlapang dada. Masing-masing mempunyai hak untuk melakukan demi kebaikan mereka namun dalam soal kepartian, saya percaya peraturan tetap ada dan UMNO melihat perkara ini secara serius sebelum bertindak lebih jauh.


KEDATANGAN ahli-ahli pada Perhimpunan Agung UMNO adalah tanda kasih mereka kepada parti. – GAMBAR HI
 

UMNO juga dilihat seperti tidak ada keberanian untuk mengkritik kerajaan termasuk dalam soal kegagalan laksana janji manifesto PRU-14. Kenapa?

Itu tidak benar. UMNO bersama-sama rakyat sentiasa mengkritik secara berfakta dan bermaklumat. Ini kerana kita mempunyai pengalaman sebagai pentadbir selama 61 tahun. Kita mengetahui selok belok perjalanan dasar kerajaan dasar kewangan dan ekonomi negara dengan lebih baik. Dalam tempoh 100 hari Kerajaan Pakatan Harapan memerintah, kita memberi teguran dan kritikan secara berhemah dan bijaksana.

UMNO tidak pernah putus asa, malahan pentas Parlimen juga digunakan sehabis baik dalam membuat teguran. Keberanian itu masih berterusan dan cuma cara pendekatan untuk menegur. Kita ada cara tersendiri. Kita mengamalkan adab sopan ketika berhujah. Rakyat memerhati UMNO dan ramai sudah mula bersetuju dengan tindakan berani UMNO seperti mempersoalkan pelantikan Peguam Negara, The Rule Of Law, memberi kata dua kepada pihak pemerintah, yang selalu U-Turn dan flip-flop dalam soal ekonomi.

Kita membidas mereka yang menyentuh soal hak keistimewaan orang Melayu Bumiputera seperti kewujudan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Bahasa Melayu dan peluang pekerjaan. Apatah lagi soal kepentingan rakyat.

Datuk Seri sendiri dianggap lebih banyak berdiam diri, tidak bertindak sebagai pembangkang yang sepatutnya berperanan sebagai check and balance untuk kerajaan hari ini, apakah Datuk Seri bersetuju dengan pandangan itu?

Berkata elok atau diam, itu pesanan Rasulullah SAW. Imam Syafie pula mengikut sudut pandangannya menerangkan bahawa apabila seseorang itu hendak berbicara, maka hendaklah berfikir terlebih dahulu. Jika jelas bahawa kata-katanya itu akan membawa kemaslahatan, maka berbicaralah. Namun jika sebaliknya maka eloklah berdiam diri.

Tetapi tidak benar juga dakwaan yang saya berdiam semata-mata. Diam itu emas, bertindak itu berlian. Mereka yang melihat sebegitu rupa, nampaknya pihak yang iri hati, dendam dan resah melihat tiada reaksi di pihak UMNO termasuk daripada saya sendiri. Kita menyedari dan muhasabah sejak 9 Mei lalu banyak perkara perlu diselesaikan secara dalaman. Ia bukan sesuatu yang mudah kerana apabila sebuah kapal itu di tengah gelora lautan serta dibadai dengan ribut taufan, ia memerlukan satu kesabaran yang luar biasa. Gelora dalaman dan luaran. Nakhoda dan kelasi berpengalaman mampu menghadapinya dengan bijak.

Kita selesai satu persatu termasuk menukar minda atau mind-set dari perjuangan politik perkhidmatan kepada perjuangan politik yang berlandaskan isu-isu rakyat dan isu-isu semasa. Buktinya di Parlimen, kita berperanan sebagai pembangkang yang konstruktif dan dinamik mengenai suara dan keluhan rakyat, nasib masa depan ekonomi dan pembangunan negara.

Pihak pemerintah pula alpa dan terkial-kial di atas perubahan yang besar itu. Malahan kita turut dilantik dan menerajui Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara sebagai check and balance (semak dan imbang) itu.

Maknanya, pengaruh dan kedudukan UMNO-BN kuat dan dapat memberi impak kepada setiap apa yang dicaturkan oleh pihak pemerintah. 


Benarkah dakwaan bahawa tindakan berdiam diri UMNO itu ada kaitan dengan siasatan PDRM dan SPRM terhadap beberapa orang pemimpin parti?

Hal-hal membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah tugas mereka. Mengapa perlu UMNO takut jika tidak melakukan apa-apa kesalahan? Saya sendiri serta pemimpin UMNO lain telah tampil ke depan serta memberi kerjasama yang baik.

Tiada masalah. Oleh itu, tidak timbul soal berdiam diri kerana sebab-sebab tertentu. Yang berdiam diri tidak melakukan apa-apa perubahan dan pembaharuan ialah pihak pemerintah sendiri.

Apa sudah jadi dengan janji-janji manifesto yang ditawarkan oleh mereka sewaktu PRU-14 lalu. Di mana janji-janji 100 hari mereka? Apakah pembaharuan yang mereka lakukan?

Pemerintah sebenarnya berdiam diri kerana tidak melakukan apa-apa kecuali masih berterusan dengan retorik dan politik kebencian yang dimanipulasikan pasukan media mereka secara tersusun dan berterusan meracuni pemikiran rakyat. Daripada cerita ikan di laut sehingga kepada kasut hitam.

UMNO terus dikaitkan dengan dakwaan tidak ada hala tuju yang jelas, kewibawaan Datuk Seri sebagai Presiden turut dipersoalkan. Apa komen Datuk Seri?

Selepas menjadi Presiden, saya banyak memberi tumpuan kepada kerja-kerja dalaman parti bagi mengekang usaha pihak-pihak tertentu melemahkan UMNO. Harta UMNO disita dan akaun dibekukan. Malah, kita ditekan dengan pelbagai siasatan di Pusat dan negeri.

Dalam pada itu, hasil pertemuan saya dengan ahli-ahli dan beberapa pemimpin UMNO seluruh negara, saya menerima banyak syor dan maklum balas. Inilah perkara-perkara yang dirasakan perlu diberi penekanan untuk menghadapi PRU-15. Saya ada menyentuh hala tuju UMNO itu bersama dengan teras yang perlu dilaksanakan bagi menjayakannya.

Oleh itu, Perhimpunan Agung UMNO 2018 adalah pentas terbaik untuk menterjemahkan secara terperinci dan difikirkan secara bersama oleh setiap perwakilan kali ini. Perhimpunan kali ini memang berlainan kerana kita bukan kerajaan lagi, tetapi pengaruh kebersamaan yang masih kuat dalam UMNO, boleh memberi kesan kepada landskap politik negara. Kita tidak boleh tidur lagi dalam keselesaan. UMNO perlu bangkit berubah agar terus relevan. Bangkit memperkasakan parti. Bangkit untuk turun bertemu rakyat.


Kerjasama dengan Pas-UMNO, ada kalangan pemimpin UMNO tidak bersetuju dengan kerjasama ini, UMNO sepatutnya memperkukuhkan dulu kedudukannya sebelum bersama Pas, malah kerjasama ini juga dikatakan boleh menjejaskan hubungan UMNO dengan komponen lain. Apa pandangan Datuk Seri?

Seperti yang saya katakan awal tadi, gerak kerja dalaman parti sudah disusun dan diperkemaskan. Sehingga saat ini (lebih empat bulan) dari keputusan PRU-14 dan hampir 100 hari saya (30 September - genap 100 hari) menerajui parti sebagai Presiden UMNO, banyak perkara telah dicapai dalam memantapkan parti.

Soal setuju atau tidak setuju, kalau dari kenyataan individu, ia adalah bersifat pandangan peribadi. UMNO tidak menghalangnya selagi tidak melanggar disiplin parti. Kita meraikan pendapat atau perbezaan dan kemudiannya kita menguruskan pandangan itu mengikut kesesuaian dan solusinya.

Soal UMNO-Pas, ia bukan sesuatu yang luar biasa kerana kedua-dua parti ini sudah menjalinkan hubungan dari dulu lagi. Malah kami pernah bersama-sama. Sewaktu UMNO menjadi pemerintah, Pas pun pernah bersetuju dalam beberapa perkara terutama soal Islam dan kesepakatan ummah.

Kini apabila sudah berada di platform bersama iaitu blok pembangkang, sudah tentu keakraban UMNO-Pas semakin terjalin. Adakah pihak lain sudah mula berasakan kepanasan dengan gabungan politik UMNO-Pas? Ada juga yang cuba mengaitkan dengan keluh-kesah rakan komponen dalam BN. Tidakkah Pas sendiri bersama-sama dengan MCA di PRK Balakong tempoh hari?

 

Malahan MIC juga berada di Muktamar Pas Pusat di Gong Badak, Terengganu, tempoh hari. Inilah yang dinamakan permuafakatan politik yang bijak dan matang.

Sejauh mana kerjasama ini boleh membantu UMNO apabila Melayu dalam Pas dikatakan menolak UMNO?

Kerjasama UMNO-Pas adalah jelas, iaitu sebagai saf gagasan pembangkang. Di Parlimen, kita saling membantu dan berpakat. Atas dasar ‘taawun’ yang mana saling memanfaatkan, ia tidak ada masalah.

Saya faham isu penolakan ini di mana; iaitu ketika PRK Sungai Kandis kononnya pengundi Pas tidak keluar mengundi untuk menyokong calon UMNO dan Barisan Nasional. Ini hanyalah spekulasi. Namun sekalipun ia benar, kita tidak menyesal kerana ini adalah jalinan kali pertama kita antara UMNO dan Pas.

Sebaliknya dalam PRK Seri Setia pengundi UMNO telah memberikan sokongan padu kepada calon Pas. Jalinan kerjasama ini masih panjang. Sudah tentu, ia dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

 

Pemimpin mahupun ahli UMNO masih tertanya-tanya apa perancangan Datuk Seri untuk parti yang kini dilihat tiada wawasan, matlamat yang jelas?

Saya tidak merasakan UMNO sebuah parti yang tidak punya wawasan. Kita sudah berjuang 72 tahun dan sudah pasti UMNO itu sebuah perjuangan untuk rakyat Malaysia. Sebaliknya senario politik hari ini yang diterajui oleh Kerajaan PH sebenarnya yang tidak stabil.

Ini adalah sejarah terburuk pencapaian sebuah kerajaan yang memerintah. Mereka menekan dan membeli pemimpin UMNO untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil. Oleh kerana UMNO parti dominan, maka wakil rakyat tinggi harganya. Mereka mengamalkan hukum rimba. Mereka menodai undang-undang dan rakyat sedang menyaksikan semua kerosakan ini. 

Pada saya UMNO mempunyai matlamat dan wawasan yang jelas dari dulu sehingga kini. Mereka yang menganggap bahawa UMNO sudah tidak ada wawasan, mereka harus bertanya pada diri mereka adakah layak mereka menjadi ahli UMNO selama ini? 

Dalam politik, wawasan, matlamat atau visi yang mana apa sahaja istilah yang hendak kita pakai ialah kemenangan parti sekali gus untuk menubuhkan kerajaan. Soal ini jelas terutama untuk menghadapi PRU-15. Ahli-ahli parti seharusnya ada mindset pada hari pertama lagi selepas kekalahan besar itu iaitu menjadi pembangkang yang konsruktif dan dinamik. Pembangkang yang membawa keluh-kesah rakyat, melaksanakan check and balance yang berkesan. 

Semua negeri perlu berfikiran sebegitu supaya ada gelombang kebangkitan itu.

PENTAS Parlimen telah diguna sehabis baik oleh wakil rakyat BN daripada UMNO dalam membuat teguran t

PENTAS Parlimen telah diguna sehabis baik oleh wakil rakyat BN daripada UMNO dalam membuat teguran terhadap kerajaan yang dilihat gagal melaksanakan janji dalam
manifesto PRU-14. – GAMBAR HIASAN/BERNAMA

Bagi memantapkan gerak kerja parti, UMNO telah menubuhkan 10 majlis dan jawatankuasa serta lapan sekretariat dalam parti. Ini termasuk membabitkan Islam, Hal-Ehwal Perlembagaan dan Perundangan, Hal-Ehwal Kedaulatan Raja-raja Dasar Awam serta Kepentingan Melayu/Bumiputera di samping pemantapan semula Jawatankuasa Politik, Pengurusan, Pengkaderan dan Komunikasi Media. Perkara-perkara ini adalah teras kepada matlamat atau visi itu yang akhirnya untuk menang dan menubuhkan kerajaan. 

Sudah tentu gerak kerja itu akan disebar-luaskan di setiap jentera dan lapisan parti. 
Semua ahli parti adalah jentera bagi pemerkasaan. Yang kita perlukan ialah orang parti UMNO yang setia atau loyalist. Kesetiaan dalam perjuangan tidak berbelah-bahagi sama ada waktu senang waima pada waktu susah. Jangan lari waktu susah. Ini kerana ia menampakkan pegangan politik rapuh. Apa yang diperjuangkan itu sia-sia sahaja. Ia bukan satu langkah terpuji pada ketika ini.

Apa agenda Perhimpunan Agung UMNO kali ini? Apa harapan Datuk Seri pada perhimpunan yang diadakan ketika UMNO sedang berdepan cabaran getir? 

Kedatangan ahli-ahli parti pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini menunjukkan mereka adalah orang UMNO yang menyayangi parti berusia 72 tahun ini. Mereka adalah kelompok loyalist pada saat parti berada dalam kesengsaraan, keperitan dan kesusahan ini. 

Marilah beramai-ramai, saya menyeru kepada semua ahli-ahli di seluruh pelosok negara, datang beramai-ramai ke Dewan Merdeka ini. Mari kita tunjukkan solidariti, mari kita tunjuk kebersamaan kita, mari kita tunjuk kekuatan perjuangan kita yang tidak pernah putus.

Sekali lagi, saya sebagai Presiden bersama pucuk pimpinan tertinggi, dengan rasa rendah diri mengajak orang UMNO datang  beramai-ramai dengan satu tekad dan nekad bahawa UMNO pasti bangkit dan bangkit. Kedatangan ahli-ahli di seluruh negara adalah tanda kasih kepada parti. Kali ini, biarlah tubuh badan itu dibawa ke Dewan Merdeka. Usah lagi berada di depan kaca televisyen atau memerhati sahaja di telefon pintar. Ayuh kedatangan saudara-saudari dan sahabat perjuangan amat dialu-alukan. Jadikan peristiwa kebangkitan menentang Malayan Union sebagai kebangkitan era ini.

Bagaimana Datuk Seri melihat cabaran UMNO pada masa depan, mampukah UMNO terus bertahan, bangkit semula pada PRU-15?

UMNO menggunakan pendekatan pragmatik dalam memantapkan semula keyakinan dalaman parti, luaran parti serta memberi keyakinan semula kepada pengundi dan rakyat. Setiap gerak kerja UMNO yang sudah dan sedang dilaksanakan terutama di bawah kepimpinan saya sebagai Presiden adalah menjurus kepada cabaran UMNO untuk kembali semula sebagai kerajaan.

Kita menetapkan PRU-15 sebagai matlamat utama. Sepanjang tempoh itu, UMNO juga bersiap sedia menjadi kerajaan. Kita mampu menerajui semula pada bila-bila masa sahaja bergantung kepada landskap politik sekarang

Kekuatan UMNO sekarang ialah mempunyai jumlah kerusi yang boleh mengimbangi kepada kestabilan politik. Kerjasama dengan pihak-pihak lain adalah terbuka. UMNO boleh berdiri di atas kaki sendiri, tetapi andainya ada pihak lain yang dapat berkompromi dengan lebih baik, apa salahnya untuk berunding kerana ia memberi manfaat kepada UMNO dan rakyat secara keseluruhannya. Moga Allah SWT mempermudahkan perjalanan UMNO untuk bangkit.