Sebaik mungkin data penyelidikan tersebut diperoleh daripada sumber yang benar agar perbincangan dan keputusan yang akan dibuat kelak adalah keputusan terbaik. Tidak hanya penyelidik, sesebuah kerajaan juga perlu menggunakan data yang benar dan boleh dipercayai serta tepat pada masanya untuk membuat sebarang keputusan.

Misalnya, statistik mengenai ekonomi sesebuah negara. Data yang dipersembahkan mestinya berkualiti agar sebarang keputusan yang dibuat dapat membantu menangani pelbagai isu ekonomi yang timbul dalam negara tersebut.

Begitu juga dalam hal bisnes, ahli perniagaan mahupun pihak pengurusan tertinggi memerlukan data bagi membantu mereka dalam menyelesaikan masalah perniagaan mahupun menentukan hala tuju syarikat pada masa akan datang. Keba­nyakan data yang digunakan adalah dalam bentuk angka.

Malah, statistik itu sendiri dikatakan sebagai satu cabang matematik. Asasnya di sini, penguasaan ilmu matematik dalam masyarakat kita terutamanya umat Islam Malaysia. Melalui matematik, banyak masalah boleh diselesaikan, misalnya bagi seorang pelabur, data yang berkualiti melalui ang­ka-angka terkini amatlah diperlukan dalam analisis pelaburan mereka.

Malah, bagi seseorang akauntan sekali pun mereka perlu mahir dalam ilmu matematik bagi membuat pengiraan me­ngenai sesuatu perkara tentang perakaunan. Penyediaan pe­nyata kewangan juga memerlukan penguasaan asas kemahiran matematik bagi memastikan tiada kesilapan dalam proses penyediaan penyata kewangan. Jadi, dalam hal ini jelas menunjukkan ilmu matematik perlu dikuasai oleh sesiapa sahaja.

Lebih-lebih lagi, umat Islam perlu menguasai ilmu matematik agar mereka tidak mudah ditipu dan dapat membuat keputusan yang memberi manfaat untuk diri mereka dan umat Islam secara keseluruhannya. Penggunaan ilmu matematik merentasi ilmu-ilmu lain terutamanya sains. Mi­salnya, ilmu fizik banyak menggunakan asas ilmu matematik. Namun, kenapakah ilmu matematik ini seolah-seolah menjadi fobia kepada ramai orang sehinggakan ramai pelajar berasakan sukar untuk menguasainya? Walhal, ilmu ini cukup penting dalam menjalani kehidupan seharian.

Penguasaan ilmu matematik bukanlah bermaksud sehingga kita perlu menjadi ahli matematik dan pakar dalam bidang tersebut. Bagi yang benar-benar berminat dalam bidang ini, teruskan niat baik anda sehingga menjadi seorang pakar agar suatu hari nanti boleh menabur bakti buat negara dan rakyat Malaysia seterusnya memperkasakan umat Islam.

Hal ini kerana umat Islam terdahulu ketika zaman kege­milangan Islam amat menguasai ilmu ini sehingga menjadi ahli ilmuwan dalam banyak bidang lain yang menjadi rujukan pelbagai pihak. Justeru, apa yang penting di sini, bidang matematik ini perlu dikuasai sepenuhnya oleh umat Islam bagi mensejahterakan kehidupan mereka.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Profesor Madya Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).