“Acara sudah bermula Pak Datuk!”

“Ohh yaa..?”

“Bapak Ibnu Sina sedang berucap!” kata penyambut tamu. ‘‘Terus saja ke Ballroom!”

Anak dan cucu saya mendaftar dan dipandu ke kamarnya. Bagasi saya dititipkan ke kaunter saja.

Saya mengambil tempat di meja khas bersalaman dengan tamu lain.

Saya nampak Abdul Hadi WM, Iberamsyah, Faisal dan Maman Mahayana yang lain tentulah penyair dengan peserta Temu Puisi Indonesia Banjarmasin Disember 2017.

Sungguh berghairah semuanya mendengar ucapan Bapak Ibnu Sina Wali Kota Banjarmasin yang mahu membudayakan Kota Banjarmasin dengan acara kesenian yang mendunia.

“Kita mahu dikenal bukan dengan Martapura dan jung­kung saja,” ucapnya sambil menatap yang hadir, ada yang bertepuk ringan, “Tapi juga dengan festival budaya, seni puisi dan view tentang kehebatan sungai. Biar para penyair dunia menimba ilham darinya.”

Nah, tepukan yang gamat. Menimba ilham? Memang benar ilham datang satu demi satu. Saya sendiri sempat menulis dua puisi untuk anak dan cucu saya:

Inikah cinta pertama? Dia menyapa Martapura dalam

Diamnya, di sisi Ibunya dengan setulus cintanya.

(Qasidah Jernih Mata Farhana)

Kita hanya sehembus nafas, anakku, kita hanya

Detik yang mohon redo dan belas kasih-Nya

Martapura itu anakku, mengalir dalam uratsarafmu.

(Untuk Farhana Inilah Jawaban Ainin)

“Wah sayangnya...”

“Ada apa Datuk...”

“Dalam program tak tercatat ziarah ke makam Syeikh”

“Paduka Syeikh Arsyad al-Banjari?” Pintas Hikmah Wati. Dia pensyarah di sebuah Kolej Islam Banjarmasin dan penyair yang sedang meningkat namanya.

Suaminya Drs. Basrian juga seorang pensyarah, dan khabarnya seorang sufi. Kedua suami isteri yang budiman ini pada keesokan harinya membawa saya dan sahabat saya Dr. Nashuha, Widodo dan isterinya Iyez menuju Kelampayan.

Memang Kelampayan terangkat namanya kerana di situlah bersemadi Syeikh Haji Muhammad Arshad al-Banjari, ulama unggul terbilang di Nusantara Melayu Raya.

Di hadapan makamnya tersergam Masjid Kelampayan. Pada waktu kami bersolat zuhur, panitia sayembara Quiz Rukun Islam baru selesai menguji peserta.

Alhamdulillah niat utama yang terpendam berpuluh tahun mahu menziarahi makam Syeikh sudah dikabulkan Allah.

Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah bin Abdul Rahman al-Banjari lahir di Lok Gabang pada 17 Mac 1710. Paduka Syeikh dikenal sebagai Ulama Fekah Mazhab Shafie.

Beliau sinonim dengan kitab karangannya yang terkenal Sabilal Muhtadin menjadi kitab pegangan yang menjadi rujukan di seluruh masjid di Malaysia dan di Nusantara Melayu Raya.

Syeikh Arsyad al-Banjari salasilahnya sampai kepada Rasulullah daripada jurai Sayidina Hussain anakanda Saiyidah Fatimah Az-Zahra.

Sejak kecil lagi Arsyad tampak pintar berbanding rakan sepermainannya. Dia berbakat melukis. Lukisannya diambil oleh Sultan Tahilullah. Baginda membawa Arsyad dengan persetujuan ayahnya ke istana. Dia belajar dengan anak-anak di istana.

Syeikh Al-Banjari menikah dengan Tuan Bajut. Pada usianya 30 tahun, dia minta izin kepada Sultan dan isterinya mahu berangkat ke Mekah belajar selok-belok agama Islam.

Selama 35 tahun beliau menuntut ilmu di Mekah dan Madinah. Dia berguru dengan Syeikh Athaillah Ahmad al-Mishry, Syeikh Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi dan Syeikh Muhammad Abdul Karim as-Samani. Guru bangsa Melayunya : Syeikh Abdul Rahman bin Abdul Mubin Pauh, dan Syeikh Muhamamad Zin Fakih Jalaluddin al-Fatani dan Syeikh Muhammad Aqib Hasanuddin al-Filembani.

Sahabat seperguruannya ialah Syeikh Abdul Samad al-Filembani, Syeikh AbdurRahman Misri al-Jawi, Syeikh Abdul Wahab Bugis. Syeikh Abdul Wahab menikah dengan puteri Syeikh Arsyad al-Banjari bernama Fatimah.

“Anda mesti segera pulang ke Jawi, mengajar...” kata mursyidnya apabila dia mahu pergi ke Mesir. “Selesaikan masalah...” Jadi pulanglah al-Banjari dengan sahabatnya itu.

Mereka singgah di Betawi dan sempat membetulkan arah kiblat Masjid Jembatan Lima, Luar Batang dan Pekojan.

Pada tahun 1772, beliau pulang ke Martapura disambut oleh Sultan Tahmidullah dan menggelarnya Shamsud-Din (Matahari Agama). “Dalam Pagar” adalah nama desa dia menyampaikan kuliah.

Rakyat daripada semua peringkat datang berbondong menimba ilmu agama dari Paduka Syeikh.

Selain Sabilal Muhtadin, beliau mengarang Tuhfaqquh Raghibin (Bahasan Iktikad-Kesesatan); Nuqtatul Ajilan (Wanita dan Tata-Tertib Suami Isteri), Kitabul Faraidh dan Kanzul Makrifah.

Paduka Syeikh kemudiannya menikah dengan Puteri Aminah anak Pengiran Taha sepupu Sultan Tamjidillah I (1745-78).

Dalam ziarah saya di Kelempayan , saya menulis puisi dalam Qasidah Pelangi Dinihari:

Berada di tengah jamaah. Titis ilmu

Bagai embun dinihari

Basahi kalbumu. Basahi adabmu.

Paduka Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, Ulama Unggul Terbilang yang digelar Matahari Agama ini meninggal dunia di Desa Dalam Pagar, Kalimantan Selatan pada 3 Oktober 1710 dalam usia 102 tahun.