PERJUANGAN golongan ulama dalam membebaskan negara daripada belenggu penjajahan mungkin tidak begitu didendangkan. Malah golongan ini pernah dilabelkan sebagai penderhaka dan pemberontak. Namun sejarah membuktikan betapa tokoh ulama tanah air termasuk individu terpenting dalam meniupkan semangat jihad dan Perang Sabil sehingga masyarakat bangkit menentang penjajahan dan kezaliman. Lebih daripada itu, golongan ini berjaya mendidik masyarakat dengan pendidikan agama bagi mengamalkan ajaran Islam yang sebenar dan membentengkan diri daripada belenggu noda dan nista.
Di Kelantan, Haji Mat Hassan bin Panglima Mat Munas atau dikenali sebagai Tok Janggut kerana mempunyai janggut sampai ke paras dada ialah tokoh ulama yang bangkit memperjuangkan hak dan ketuanan Melayu. Tindakan ini bertitik tolak daripada campur tangan British di Kelantan berikutan Perjanjian Bangkok pada 1909. Kemuncak daripada penentangan ini bermula apabila masyarakat tempatan tidak berpuas hati dengan dasar British yang mengenakan cukai selain terkesan dengan jihad untuk mengembalikan Khalifah Uthmaniyah di bawah pengaruh British di Turki. Dikatakan pada 24 Mei 1915, Tok Janggut bersama kira-kira 1,000 pengikutnya menyerang British di Pasir Puteh, Kelantan.
Bagaimanapun dalam pertempuran tersebut, Tok Janggut telah terkorban syahid bersama Tok Abas dan Tok Hussein serta beberapa orang pengikutnya. Jenazahnya kemudian dibawa ke Kota Bharu dan digantung beberapa hari di Padang Bank (Padang Merdeka) oleh pihak British sebelum dikebumikan di Pasir Pekan.
Selain itu, tokoh ulama Kelantan tersohor iaitu Tok Kenali atau Haji Muhammad Yusof bin Ahmad juga termasuk ulama yang terlibat secara tidak langsung dalam membebaskan negara daripada belenggu penjajahan. Beliau lahir daripada keluarga petani di Kampung Kubang Krian, Kelantan antara 1868-1870. Walaupun tidak terlibat mengangkat senjata menentang penjajah British, sebagai Tok Guru beliau berjaya meniupkan semangat jihad dan perjuangan demi mempertahankan agama dan bangsa Melayu melalui aktiviti penulisan dalam majalah Pengasuh dan majalah al-Hikmah selain berjaya mendidik ramai tokoh ulama dan ilmuwan Islam yang bertebaran di seluruh tanah air.
Di Terengganu pula, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong adalah tokoh ulama yang terlibat secara langsung dalam gerakan menentang penjajahan British. Ini bermula apabila Penasihat British di Terengganu mengenakan pelbagai cukai yang membebankan rakyat. Hal ini menimbulkan perasaan tidak puas hati, seterusnya mencetuskan kebangkitan menentang British pada 1919. Akibatnya beliau dibuang negeri ke Mekah bagi meredakan penentangan terhadap British dan meninggal dunia di Mekah.
Selain itu, Tok Guru Haji Abas atau nama sebenarnya Haji Abas Muhammad juga seorang ulama yang alim dalam ilmu agama dan memainkan peranan besar dalam pendidikan Islam di Terengganu. Beliau turut bertanggungjawab menyebarluaskan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah di masjid dan pondok-pondok selain membahaskan persoalan cabang yang cuba ditimbulkan oleh golongan muda. Walaupun tidak terlibat mengangkat senjata tetapi peranannya dalam melindungi pejuang-pejuang yang hendak dibuang negeri ke Burma oleh British selain menentang kemasukan imigran Cina adalah sumbangan besar dalam mempertahankan tanah air daripada diceroboh oleh musuh dan diperkotak-katikkan oleh Barat.
Nama Tok Ku Paloh atau namanya Sayid Abdul Rahman Muhammad al-Idrus juga tidak asing dalam sejarah penentangan British di Tanah Melayu. Beliau mendapat pendidikan agama daripada ayahnya iaitu Tok Ku Tuan Besar dan melanjutkan pelajaran di Mekah. Beliau mendirikan Pondok di Kampung Paloh sehingga berjaya menarik ramai pelajar dari kawasan sekitar selain dari Pahang dan Kelantan. Penglibatan Tok Ku Paloh dalam meniupkan semangat jihad dan perjuangan dapat dilihat dalam Pemberontakan Pahang di mana orang Melayu di bawah pimpinan Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau telah berundur dan hampir menyerah diri setelah menghadapi serangan pihak British. Di samping itu, beliau memberikan bantuan seramai 200 orang dari Terengganu dan Kelantan untuk menggempur kedudukan British hingga berjaya menawan kubu British di Jeram Ampai, Pahang.
Malah beliau dikatakan mempunyai karamah terutama apabila rundingan dengan British di atas kapal terpaksa ditangguhkan kerana kapal tersebut senget setiap kali To ku Paloh menyengetkan serbannya. Dikatakan juga pihak British terpaksa berundur dalam suatu pertempuran di Terengganu hanya kerana melihat beribu-ribu pahlawan lengkap bersenjata bersedia menyerang kapal British. Beliau kembali ke Rahmatullah ketika berusia 100 tahun. Namun jasa dan perjuangannya tetap dikenang hingga ke hari ini.
Di Batu Pahat, Johor nama Kiyai Haji Salleh atau nama sebenarnya Haji Mohd. Salleh Abdul Karim sangat terkenal. Dilahirkan di Tanjung Olak Batu, Bukit Pasir, Muar, Johor pada 1916 merupakan pencetus kepada perjuangan Orang Melayu menentang kekejaman komunis yang dikenali sebagai Askar Bintang Tiga. Ini berikutan kekalahan tentera Jepun kepada pihak British dan pihak Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA) telah mengambil kesempatan untuk memerintah dan bertindak kejam membunuh mereka yang dianggap bekerjasama dengan Jepun. Kemuncak kepada penentangan itu berlaku apabila pengikut Bintang Tiga mula mengganggu aktiviti solat jemaah dan kesucian surau dicemari dengan penyembelihan babi selain pembunuhan ke atas ramai orang Melayu.
Dengan berbekalkan senjata parang panjang di bawah pimpinan Panglima Salleh, penduduk setempat menyerang kubu-kubu Bintang Tiga di sekitar Muar dan Batu Pahat. Dengan serangan tersebut pihak Bintang Tiga mula membuka mata dan tidak lagi meremehkan kekuatan spiritual orang Melayu yang sanggup bermati-matian mempertahankan agama dan bangsa tanpa kelengkapan senjata canggih. Bermula dari detik itu juga kekejaman terhadap orang Melayu mula berkurangan terutama setelah Kiyai Haji Salleh mengisytiharkan perdamaian dengan Bintang Tiga.
Kini setelah lebih daripada 60 tahun mengecap nikmat kemerdekaan, perjuangan secara fizikal dengan mengangkat senjata untuk mengukuhkan kedudukan agama Islam dan bangsa Melayu tidak lagi relevan. Namun begitu, golongan ulama diajak bersatu menggunakan segala medium yang ada untuk menyebarluaskan ajaran Islam selain mempertahankan survival agama dan bangsa. Usah berkelahi sesama sendiri sehingga menampakkan kelemahan dan kelesuan sendiri.
DR. MOHD. ALI MUHAMAD DON ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Pasir Gudang, Johor.
Belajar atau bekerja?