Namun 9 Mei lalu, Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) telah memberi teladan berguna kepada UMNO untuk bangkit semula selepas melalui kekalahan mengejut yang menumbangkan Barisan Nasional dalam sejarah penguasaan 61 tahun sebagai pemerintah.

Derita hidup sebagai pembangkang Tuhanlah yang tahu seriknya terutama setelah berasa kedudukan empuk berpuluh-puluh tahun lamanya dalam kerajaan.

Maka, pemimpin dan orang UMNO harus tabah mengharunginya. Ada kalangan kawan-kawan lama akan enggan kelihatan dengan anda di khalayak ramai. Malah, ada kawan rapat yang sampai tidak gamak menjemput anda suami isteri ke majlis perkahwinan anaknya kerana takutkan bayang-bayang.

Pendeknya, dunia pembang­kang, walaupun masih dalam lingkungan kepartian yang sama, bukan dunia mudah di Malaysia. Sebab itu ramai yang tak tahan, lalu melompat ke sebelah sana.

Kalau ikut kata Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan tempoh hari, terdapat terlalu banyak pemimpin yang diibaratkan sebagai ‘tikus’ di dalam UMNO, termasuk wakil rakyat yang melompat parti.

Turut disamakan dengan tikus, adalah pemimpin UMNO tertentu di peringkat bahagian yang mengambil kesempatan untuk menonjolkan diri dengan mendesak pemimpin lain meletak jawatan bagi melindungi kelemahan sendiri.

“Apabila kapal pecah, maka bertempiaranlah tikus lari menyelamatkan diri. Bagus juga jadi seperti ini, kita tak mahu tikus ini ada lagi dalam UMNO, kita mahu pejuang yang setia dan bersatu hati.

“Kita mahu orang yang masuk UMNO bukan kerana mengejar peluang sebab ramai yang masuk UMNO sebelum ini sebab hendakkan peluang. UMNO perlu buat pembersihan dalaman," kata beliau.

Kerana itu, pemilihan parti ini yang akan dilangsungkan 30 Jun ini akan menjadi petunjuk hala tuju UMNO yang baharu. Meskipun UMNO dijangka hilang banyak ahli atau pemimpin dalam tahun-tahun mendatang ini, dek tak mampu menahan diri himpitan hidup yang mencengkam politik sebagai bangkangan, tapi biarlah - sekurang-kurangnya yang tinggal itu adalah teras.

Ada yang barangkali akan bergolok bergadai untuk survive melalui gadaian dan jualan aset seperti rumah, tanah, kereta dan saham. Himpitan cukai pendapatan, cukai hartanah yang tiba-tiba ditaksir semula, fasiliti perbankan yang ditarik balik, pelanggan korporat yang tiba-tiba enggan menempah firma anda – ini semua dan banyak lagi dugaan sedia mendatang tanpa henti dalam tempoh lima tahun ini.

Jika jiwa tidak teguh, memang lekas mengalami patah hati. Hanya pemimpin berjiwa besar yang berupaya menempuhnya.

 

Persaingan

Melalui tempoh pemilihan UMNO kali ini, yang tarikh tutup penyertaan ke persaingan jawatan termasuk Presiden pada 17 Jun ini, keperluan untuk melihat UMNO bangkit dinanti-nantikan oleh orang Melayu. Ini terutama daripada kalangan 46.29 peratus pengundi Melayu yang masih mengundi UMNO/BN dalam PRU-14 berbanding 25.47 peratus Pakatan Harapan dan 28.14 peratus Pas.

Untuk menjadikannya realiti, kepimpinan UMNO lapisan kedua mesti diasah supaya bermanfaat kepada perjuangan mereka. Pergerakan Wanita, Pemuda mahupun Puteri perlu berdayung sama dengan pimpinan UMNO.

Mereka perlu diasuh dengan mengenal perjuangan parti. Kursus formal dan tidak formal mesti melalui amalan untuk membimbing dan mewujudkan anggota pergerakan yang berdedikasi.

Perjuangan UMNO dan sumbangannya untuk bangsa, agama dan negara - tiga sebutan yang mudah dalam retorik politik tetapi sukar dimengertikan dalam bentuk amalan – mesti didahului oleh khidmat, khidmat dan khidmat.

Hakikatnya, setiap ciptaan yang jaya berasal daripada impian. Setiap ciptaan berpunca daripada cita-cita. Teori relativiti Albert Einstein pada awalnya dikatakan cetusan mental yang tidak sempurna. Dan kemudiannya, NASA dan badan-badan penyelidikan angkasa lepas dunia mengakui betapa hebat dan nyata teori itu.

Oleh itu, penting bagi UMNO kini bertungkus-lumus ke arah survival dengan mengadunkan latihan formal dan tidak formal bagi generasi kedua (anak muda). Agenda Melayu, Islam dan institusi raja-raja jangan dilupai. Jika lupa perjuangan bangsa, melalui parti apa pun akan hilang relevannya.

Melayu akan berubah dan terus berubah kerana sesuatu bangsa dan tamadun tidak akan menunggu sesiapa. Melayu tetap berevolusi dan berubah. Budaya berubah, nilai pun berubah. Mana-mana bangsa yang boleh menunggang dan memacu kuda perubahan ini akan selamat. Yang tidak, akan ditinggalkan zaman.

UMNO yang masih mempunyai kedudukan dengan 54 kerusi Parlimen mesti berbuat sesuatu ke arah menjamin keutuhan generasi orang Melayu masa depan. Jika kita yang mewujud dan mengekalkan kesejahteraan ini tidak pula mahu mengadakan pagar penjamin baginya, yang akan dipersalahkan nanti ialah kita sendiri.

Jangan disalai ciku kedondong,

Salailah ikan atas para,

Jangan salahkan ibu mengandung,

Salahkan badan yang buruk pinta.

Pemimpin dan ahli UMNO perlu berjanji akan sokong menyokong dan bantu membantu demi membangunkan parti seperti sifat adik-beradik. Apa yang telah terjadi dalam PRU-14 sudah pun dicatat oleh sejarah.

Nangka dan nanas banyak di ladang

Buah bijan dekat perigi

Disangka panas hingga ke petang

Rupanya hujan di tengah hari.

Kepada mereka yang bakal bersaing merebut jawatan-jawatan utama parti dari peringkat bahagian, 25 Ahli Majlis Tertinggi, Naib-Naib Presiden, Timbalan dan Presiden, tugas mereka bukan mudah andai terpilih kelak.

Bak kata falsafah Inggeris, apabila sesuatu pintu ditutup di hadapanmu, satu lagi pintu besar akan terbuka. Penulis amat mempercayai inti sari falsafah ini. Ukurlah baju di badan sendiri sebelum masuk gelanggang.