Dalam konteks ini sebaiknya kita ambil sikap ukur baju di badan sendiri. Jika ibadah setakat berpuasa tetapi solat fardu di hujung waktu, hentikanlah beraya sakan.

Hari ini seakan suatu pesta apabila pengumuman pemberian bonus dibuat oleh pelbagai pihak yang berkuasa di dunia ini. Memang ia satu keperluan tetapi bukan suatu kewajipan.

Bagi pihak yang tidak mendapat bonus, dunia belum berakhir. Mungkin ada rezeki lain yang menanti.

Justeru, di bulan baik hari baik ini kita sewajarnya berbelanja mengikut keperluan bukan perasaan. Biarlah yang mendapat bonus RM400, RM500, RM1,000 mahupun sebulan gaji beraya dengan meriah.

Ini disebabkan raya bukan untuk kita membazir dan bergaya dengan pelbagai barang berjenama. Cukuplah ada pakaian yang selesa, bersih walaupun murah.

Lagi pun kita selama ini ‘didakwahkan’ dengan nilai moral yang salah bila menyentuh soal hari raya. Kita disogokkan dengan nilai orang berada di dalam tindak-tanduk kita. Sedangkan di luar sana rakyat yang miskin melarat dan masih tinggal di stor dan menumpang rumah mentua sekian lama.

Mengapa perlu terpengaruh dengan orang berada yang mempunyai baju raya berpuluh pasang. Lantakkan sahaja kerana dia ada-ada. Kita yang meniru jangan pula mengada-ngada hendak menjadi pengikut membuta-tuli.

Kembalilah kepada fitrah kita sebagai manusia yang berasal dari kampung. Bukan semua lahir dalam kalangan orang berada. Orang kampung bukannya tiba-tiba hidup senang jika tidak dasar Kerajaan Persekutuan selama ini mengubah takdir hidup mereka.

Maka bersyukur dan berterima kasih lah kepada pihak yang berjasa kepada kita. Bukannya memaparkan rasa ego di media sosial sebab kita sudah mampu memakai telefon pintar dan sudah pandai pula berkata-kata menyakitkan hati orang di laman khayalan tersebut.

Mula dari sekarang didiklah anak kita untuk merayakan Hari Raya Aidilfitri dengan bersederhana dari segala segi. Tak perlu membeli berpasang baju seolah-olah kita anak jutawan mahupun tauke kerepek.

Didiklah anak kita untuk tidak terlalu berharap kepada duit raya kerana itu bukan kewajipan di hari raya. Apa yang paling penting anak-anak diajar untuk bersalam dan mencium ta­ngan orang tua sebagai tanda hormat dan kasih sayang. Tidak kira datuk mereka bekas penoreh getah mahupun bilionair.

Pendek kata dalam menyambut lebaran, ingatlah kepada yang tiada iaitu arwah orang tua kita. Kunjungi saudara-mara, jangan mengharapkan ‘masyuk’ kerana itu bukan budaya kita sebenarnya. Tidak perlu diraikan hingga akhirnya jadi kewajipan pula.

Tepuk dada tanya iman, kita berhari raya untuk mendapatkan keredaan Allah SWT atau manusia. Yang penting ukur baju di badan sendiri. Jika duit habis, sendiri juga kena ingat.