Demikian status Facebook seorang teman yang membuatkan penulis terpinga. Namun yang tidak faham maksud status itu nampaknya hanya penulis seorang.

Ini berdasarkan bukti maya atau muka buku bahawa tidak sampai beberapa minit status itu dimuat naik, ramai sungguh yang memberi komen bahkan turut berkongsi pengalaman mereka ‘terbeli’ karipap oksigen atau O2. Ada juga yang me­ng­aku ‘terbeli’ popia CO2 (karbon dioksida) dan pau angin.

Tidak mahu terus dalam kesamaran membaca perbualan kawan-kawan mengenai karipap oksigen, popia CO2 dan pau angin, penulis melakukan sedikit soal selidik dan nah, akhirnya menemui jawapan!

Rupa-rupanya karipap oksigen, popia CO2 dan pau angin - merujuk kepada juadah jualan di bazar Ramadan sepanjang bulan puasa ini. Namun nama-nama itu bukanlah yang digunakan oleh penjual atau peniaga untuk melariskan jualan masing-ma­sing, sebaliknya diberikan gelaran oleh pembeli atau pengunjung bazar Ramadan sendiri.

Dalam keterujaan mencari juadah untuk berbuka puasa nampaknya ramai yang terkena, apabila makanan terutamanya kuih-muih yang dibeli tidak seperti yang diharapkan.

Ramai yang mengeluh, karipap yang dibeli tidak berinti, kosong, penuh angin atau dalam bahasa Sains hanya ada oksigen (O2). Beli popia pun sama mengecewakan, ke­ring tidak segar macam menyedut karbon dioksida (CO2). Ada pula kawan merungut pau daging yang dibeli langsung tak jumpa daging­nya.

Yang membuatkan tambah ‘bengkak hati’ harga juadah ter­masuk kuih-muih di Lembah Klang ter­uta­manya semua na­ik. Rata-ratanya dijual 50 sen atau 60 sen sebiji. Tidak ada lagi RM1 untuk tiga biji kuih macam dulu-dulu.

Sudahlah harganya naik, saiz kuih semakin kecil, kini inti atau isinya pula kosong. Bayangkan pembeli mana yang tidak makan hati.

Nampaknya seperti yang kerap dibangkitkan dan biasa dirungutkan saban tahun, setiap kali Ramadan, para penjual bazar yang lazimnya umat Islam lebih mementingkan untung daripada mencari barakah.

Mungkin ada yang hanya ambil untung ala kadar daripada hasil jualan, tetapi jumlahnya tidak ramai. Yang ramai itulah yang melebihkan untung walaupun keuntungan diperoleh diiringi rasa kesal dan kecewa kalau tidak pun kutukan pembeli.

Mungkin ada pembeli yang tidak kisah kerana mungkin banyak juadah lain yang boleh dimakan, tetapi bayangkan perasaan mereka yang hanya itu sahajalah hendak dimakan ketika berbuka. Atau yang memang sudah lama teringin menjamah juadah atau kuih tradisional yang muncul setahun sekali ketika Ramadan, atau ibu hamil yang mengidam, tentu sahaja kecewa dan kempunan.

Disebabkan sudah sekali terkena juadah yang dibeli tidak seperti diharapkan, pembeli akan cuak hendak membeli lagi. Kalau tetap hendak membeli pun tentu sahaja gerai menjual karipap oksigen, popia CO2 dan pau angin itu tidak lagi menjadi pilihan. Sudah tentu mereka akan mencari gerai peniaga yang jualannya dijamin sedap, bermutu dan berbaloi dengan harga.

Justeru kepada para peniaga terutamanya yang berjual di bazar Ramadan, fikir-fikirkanlah. Janganlah hanya kerana hendak untung sehari, anda rugi 28 hari lagi.

Lagipun cubaan mengaut untung secara melam­pau apatah lagi ‘menipu’ pembeli bertentangan de­ngan ajaran agama suci kita. Sudahlah rugi kerana pelanggan lari, pahala pun tak dapat.

Dalam pada itu, Islam menuntut umatnya berkasih sayang. Bukan sahaja sesama saudara Islam, bahkan dengan masyarakat dan jiran yang mungkin berlainan agama malahan dengan haiwan.

Justeru janganlah kerana kita beragama Islam, kita mendabik dada dan berlagak angkuh bahawa kita lebih suci dan tinggi darjat daripada orang lain. Lebih-lebih lagi tidak Islamik jika dalam bulan Rama­dan yang mulia ini, kita menunjukkan aksi tidak semenggah dengan menghina atau menjerkah orang yang bukan beragama Islam.

Sebagai umat Islam, inilah ketikanya untuk kita mempromosikan amalan murni dan baik sepanjang Ramadan kepada orang bukan Islam. Ketepikanlah sementara perbezaan politik atau sentimen kepartian sebaliknya bertoleransi dan dakaplah sesiapa pun yang cuba berjinak-jinak dengan budaya dan amalan umat Islam.

Mudah-mudahan mereka yang sebelum ini kurang celik tentang Islam akan lebih memahami cabaran dihadapi umat Islam menunaikan ibadah puasa di negara majmuk Malaysia, belajar menghormati Islam dan penganutnya dan tertarik untuk mendalami agama suci ini.

Jadi berbuat baiklah sesama makhluk Tuhan ke­rana kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan. Mana tahu kalau sudah sampai seru dan turun hidayah Allah, orang yang kita hina itu mungkin lebih warak dan tinggi darjatnya daripada kita yang dilahirkan sebagai Muslim.

Selamat beribadat dan mencari keberkatan!