Sejak bertapaknya UiTM ,institut pengajian tinggi untuk bumiputera tersebut terutama orang Melayu, bumiputera Sabah dan Sarawak telah mencipta kejayaan demi kejayaan dalam bidang kejuruteraan, pentadbiran, kesetiausahaan dan terbaru bidang perubatan.

Adakah kita sedar bahawa Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri kita hari ini adalah seorang doktor. Maka bertepatan juga hebatnya UiTM apabila berjaya mempunyai pakar bedah robotik dalam kalangan orang Me­layu dan beragama Islam.

Insan bernama Dr. Ahmad Ku­syairi Khalid telah mencipta nama sebagai pakar bedah menggunakan robot bernilai RM14 juta di Pusat Pakar UiTM Kampus Sungai Buloh. Lulusan dari Universiti College Cork, Republik Ireland itu bukan sahaja masih muda sebagai pakar tetapi turut mencurah bakti sebagai pensyarah di dalam bidang Telinga, Hidung dan Tekak (ENT).

Pembedahan menggunakan robot tersebut telah berlangsung empat kali. Namun pada kali ke empat beliau telah melakukan pembedahan hampir mustahil dilakukan secara normal.

Pembedahan robotik melalui mulut tanpa melibatkan parut luar untuk membuang tisu tonsil pa­da pangkal lidah bukan sahaja sempurna tanpa parut malahan tempoh pemulihan amat singkat. Oleh kerana lengan robot itu kecil dan panjang, di samping kamera yang boleh berputar 360 darjah dengan mudah kerja-kerja pembedahan dilakukan.

Kejayaan tersebut perlu diuar-uarkan kerana di negara ini hanya beliau dan seorang lagi pakar di sebuah pusat perubatan swasta yang mampu melakukan ­prosedur perubatan tersebut.

Sebelum ini pembedahan memerlukan potongan pada bibir, tulang rahang dan melalui depan lidah sehingga boleh sampai ke kawasan pembedahan di tekak dan ini amat menyeksakan pesakit.

Berbicara tentang skil mengendalikan robot Da Vinci yang mengambil sempena nama pelukis tersohor dunia Leonardo Da Vinci ia bukan tugas yang mudah. Ia ibarat melakar potret Monalisa yang penuh artistik, sempurna dan klasik.

Ahmad Kusyairi perlu berguru dalam bidang pembedahan secara robotik tersebut di Korea Selatan dalam tempoh yang panjang hingga mampu melakukan pembedahan dengan kaedah mutakhir tersebut.

Menurut Ahmad Kusyairi yang merupakan alumni Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) kejayaan beliau adalah hasil sistem pendidikan negara yang terbaik sejak beliau di bangku sekolah lagi. 
Jelasnya lagi, kejayaan di dalam melakukan pembedahan serba canggih baru-baru ini di bulan Ramadan amat mencabar sekali. Ini disebabkan pesakit perlu dirawat dan dipantau rapi sebelum dan sesudah kerja-kerja pembedahan dijalankan.

Pesakit yang mempunyai ma­salah sakit jantung misalnya, memerlukan prosedur pembedahan berlaku sejak awal sebelum pesakit dibedah dengan hanya me­nganga sahaja. Bukan semudah ABC untuk meletakkan pesakit di ‘tangan’ robot yang dikendalikan oleh dirinya. Segala rawatan dari aspek ujian darah, tekanan darah tinggi dan lain-lain dilakukan de­ngan penuh profesional.

Begitu juga selepas operasi, bagaimana pesakit dipantau de­ngan rapi. Dibimbangi berlaku kesan sampingan yang boleh mem­beri kesan kepada kawasan anggota yang dibedah.

Kehebatan anak Melayu ini yang muda belia berusia 34 tahun ini, sewajarnya diberi penghargaan setaraf pakar-pakar perubatan negara mahupun individu yang menaikkan nama Malaysia di mata dunia. Bayangkan beliau perlu membedah menggunakan robot di sudut paling sukar di pangkal lidah yang selama ini dilakukan dengan kaedah membedah rahang atau menebuk leher.

Bukankah kejayaan beliau membedah pesakit kanser tekak tanpa merosakkan pitar suara pesakit wajar dibanggakan kerana ia membuktikan UiTM mampu me­lahirkan warga yang setaraf tokoh perubatan di dunia.

Pasca Pakatan Harapan sebagai Kerajaan Pusat, orang muda seharusnya diberi pengiktirafan yang gah di semua sektor di negara ini.

Seorang muslim dan anak Melayu dari Terengganu perlu diiktiraf atas pencapaiannya mengharumkan bukan sahaja nama UiTM malah menaikkan nama bumiputera dalam bidang tersebut.

Syabas Dr. Ahmad Kusyairi, syabas UiTM.