Syarat kemasukan ini menjadi dasar pengambilan pelajar dan diterima oleh pihak berwajib khususnya kementerian terlibat.

Hal itu bukan rahsia kerana sudah sekian lama masyarakat tahu UiTM hanya untuk bumiputera.

Ini adalah antara beberapa tindakan afirmatif yang mendapat perlindungan Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, tidak sepatutnya mana-mana pihak bersusah payah untuk mencari justifikasi dan mempersoal legitimasi dasar pengambilan pelajar UiTM.

Agak sedih dan malang apabila masih ada pihak tertentu yang menghabiskan masa membuat rujukan dan carian bertujuan mempertikai kesahan dan legitimasi dasar pengambilan yang dikatakan tidak menggambarkan sifat majmuk dan demokratik negara ini.

Malah ada individu yang menggunakan pengetahuan undang-undangnya sebagai asas dan metode justifikasi untuk membuktikan dasar tersebut adalah salah.

Maka diselidiki kelompong undang-undang sebagai sandaran dalil untuk mengukuhkan pandangan peribadi bahawa dasar tersebut adalah pincang seolah-olah suatu dosa dalam landskap sosial masyarakat majmuk. Atas alasan itu maka terbuktilah yang kononnya dasar pengambilan ha­nya bumiputera ini harus ditolak. Rumusannya, UiTM wajar dibuka kepada bukan bumiputera.

Kewujudan UiTM adalah unik. Ia terbentuk bukan seperti keba­nyakan universiti lain yang wujud dari asal baharu. Akta Universiti Teknologi Mara 1976 (Akta 173) adalah statut pembentukan UiTM kesinambungan daripada entiti terdahulu iaitu Institut Teknologi Mara (ITM). Pengiktirafan dan kenaikan taraf ITM kepada universiti penuh iaitu UiTM pada 1999 tidak bermakna dasar dan matlamat asal mengenai kedudukan bumiputera terputus.

Agak malang jika ada individu berhujah melihat peruntukan undang-undang mengenai perkara ini secara tekstual tanpa mengambil kira keseluruhan aspek secara pandangan prismatik. Dalam hal ini sewajarnya peruntukan seksyen 37 Akta 173 dijadikan rujukan. Seksyen ini jelas memperuntukkan mengenai ke­sinambungan dari Maktab RIDA, ITM dan UiTM. Secara holistiknya pengiktirafan dasar bumiputera tidak pernah berubah.

Akta 173 juga memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Canselor melalui seksyen 19A(2). Peruntukan ini tidak bersifat sendirian kerana ia perlu dilihat bersama seksyen 1A yang menyatakan UiTM ditubuhkan menurut dan mengikut Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

Artikel 153 yang menjadi teras dasar bumiputera UiTM jelas menyatakan menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepenti­ngan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.

Jika diteliti pembentukan UiTM iaitu kesinambungan dari kewujudan ITM maka sewajar­nya peruntukan Artikel 153 diberi tafsiran secara kontekstual. De­ngan menjadikan ini sebagai latar belakang, peruntukan 153 perlu dibaca bersama dengan 153(8A) yang memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memberi arahan mengenai perizaban kadar kepada bumiputera.

Perizaban ini sewajarnya diambil kira perkadaran yang bergantung kepada keperluan pendidikan tinggi negara secara menyeluruh dan tidak hanya bertumpu pada sesebuah institusi sahaja.

Sememangnya tidak ada formula perizaban disebut dalam peruntukan itu. Kekaburan ini diambil kesempatan oleh pihak yang mempersoalkan perizaban tempat bumiputera di universiti awam sebagai alasan membolehkan pe­nerimaan bukan bumiputera.

Dalam pada itu persoalan tentang perihal UiTM dan dasarnya bukanlah perkara baharu. Namun mutakhir ini semakin rancak golongan tertentu menimbulkan polemik seolah-olah menangguk di air keruh. Tidak dinafikan kemungkinan peluang perubahan landskap politik negara dengan kerajaan baharu yang tampak terbuka kepada prinsip keadilan sosial menjadi pencetus semangat golongan ini menjentik perihal UiTM.

Golongan ini menuntut supaya bukan bumiputera diberikan tempat dalam sistem UiTM dengan alasan mereka juga adalah rakyat Malaysia. Anehnya, polemik ini berlaku ketika UiTM berada di persada kegemilangan apabila menjadi antara universiti tersohor di negara ini selain berjaya mengukir nama di peringkat antarabangsa.

Memanglah mudah untuk mencari nas-nas perundangan dan kemudian ditafsir mengikut niat dan hasrat mereka yang secara azalinya tidak bersetuju dengan kedudukan istimewa kaum bumiputera dalam Perlembagaan. Mereka sepatutnya lebih terbuka memahami dan menghayati perjalanan sejarah negara supaya sikap toleransi menjadi norma kehidupan dan bukannya kesangsian yang penuh dengan iri hati.

Apa yang lebih malang terdapat segelintir kaum bumiputera khususnya yang membesar dalam suasana kesenangan takjub de­ngan slogan kesamarataan, ke­a­dilan sosial dan seumpamanya turut mempersoalkan keistimewaan bumiputera. Mereka melihat dan menilai UiTM yang telah berjaya.

Mereka lupa tentang keperitan generasi terdahulu ketika ITM ditempatkan di rumah-rumah kedai, bangunan usang serba kekurangan demi menyediakan sedikit ruang dengan prasarana yang daif untuk membangun kaum bumiputera dalam pendidikan tinggi.

Golongan ini ibarat kaduk naik junjung. Mereka tidak mahu menerima UiTM sebagai faktor pengimbangan khususnya dalam bidang profesional yang mana kaum bumiputera masih ketinggalan.

Penulis tidak sama sekali menolak perubahan seandainya ia mendatangkan kebaikan dan keadilan.

Sekiranya suatu masa jurang yang ketara berjaya dirapatkan dan kesangsian di antara kaum dapat ditangani maka tidak mustahil tindakan afirmatif se­perti yang wujud sekarang dinilai semula.

PROFESOR MADYA DR. HAIDAR DZIYAUDDIN ialah pensyarah undang-undang UiTM.