Buktinya, kejayaan UiTM dengan kerjasama Kyushu Institute of Technology (Kyutech) melancarkan nano satelit ke angkasa lepas yang kini menjadi penanda aras kepada manamana universiti tempatan di negara ini untuk menceburi bidang tersebut pada masa depan.

Wartawan Utusan Malaysia, ABDUL RAZAK IDRIS menemubual ‘arkitek’ kepada program tersebut, iaitu Naib Canselor UiTM, PROF. EMERITUS DATUK DR. HASSAN SAID bagi mengupas kejayaan tersebut.

UTUSAN: Tahniah atas pelancaran nano-satelit. Boleh Datuk ceritakan serba sedikit tentang kejayaan bersejarah ini?

HASSAN:
Terima kasih. UiTM mencipta sejarah sebagai universiti pertama di negara ini yang melancarkan nano-satelit, UiTMSAT-1 pada kira-kira pukul 6 petang waktu tempatan 29 Jun lalu.

Ia dilancarkan dari Pusat Pelancaran Fort Canaveral Florida ke Stesen Angkasa Antarabangsa (International Space Station/ISS). UiTMSAT-1 adalah hasil produk daripada projek kerjasama 'BIRDS-2 (Joint Global Multi-Nation)' dengan Bhutan dan Filipina yang diterajui oleh Kyutech.

Dua pelajar pascasiswazah Malaysia dari UiTM ialah antara 10 orang pelajar yang menjadi ahli kerjasama BIRDS-2 ini.

Mereka adalah pelajar yang bertanggungjawab dalam merealisasikan pembinaan dan pelancaran tiga buah nano-satelit BIRDS-2: UiTMSAT-1, BHUTAN-1 (bagi negara Bhutan) dan MAYA-1 (bagi negara Filipina).

Apakah signifikan pelancaran UiTMSAT 1 kepada pihak UiTM?

Dengan wujudnya projek kerjasama BIRDS-2 dan kesungguhan setiap ahli dan pihak terlibat dalam perlaksanaannya, UiTM menjadi universiti pertama di Malaysia yang melancarkan satelit buatan sendiri dengan kos yang lebih rendah berbanding satelit komersil yang mana ia adalah objektif utama UiTM dalam kerjasama ini.

Pelancaran nano-satelit ini menyumbang kepada rancangan jangka panjang UiTM untuk menjadi perintis dalam bidang aeroangkasa seterusnya membolehkan Malaysia menuju ke arah space-faring nation.

Projek kerjasama BIRDS-2 ini membawa kepada penubuhan Pusat Satelit Komunikasi (UiTMSAT) di Fakulti Kejuruteraan Elektrik, UiTM Shah Alam bagi menjalankan kerja-kerja penyelidikan berkaitan satelit dan teknologi angkasa.

Sehubungan itu, sebuah stesen bumi (ground station) telah didirikan di UiTM bagi tujuan hubungan dan komunikasi dengan satelit.

Selain itu, UiTMSAT juga mendokong cita-cita untuk menjadi platform atau hab negara bagi penyelidikan satelit komunikasi dan bidang seumpamanya, juga dalam bahagian latihan dan konsultasi bersama kerjasama-kerjasama industri.

Justeru, tidak dinafikan projek BIRDS-2 ini menjanjikan pelbagai peluang dari aspek teknologi, pendidikan dan komersial menjana kemajuan Malaysia pada masa depan.

Berapa kos yang terlibat, bagi memastikan projek nano satelit ini berhasil?

UiTM telah melahirkan ramai lulusan dan pakar dalam pelbagai bidang seperti kejuruteraan, perakaunan, senibina, perundangan dan kewangan.

Maka tercetus idea untuk kita meneroka angkasa lepas dengan melibatkan pensyarah kita di Fakulti Kejuruteraan yang sedang melanjutkan pengajian Sarjana Kyutech.

Dekan dan pensyarah kedua-dua kakitangan UiTM tersebut mencadangkan agar mereka mengambil pengajian Doktor Falsafah (PhD) seandainya ingin membina satelit nano sebagai salah satu syarat-syaratnya.

Seterusnya kira-kira dua tahun lalu saya berusaha mendapatkan biasiswa untuk kedua-duanya bagi menyambung pengajian dalam bidang PhD.

Sejarah yang tercipta tersebut maksudnya bukan dicipta setakat tawaran membina satelit dari Kyutech semata-mata?

Ya, benar. Pencapaian yang dicipta bukan setakat kedua pensyarah kita menjadi pelajar PhD selepas nano satelit dapat dibuat. Ada proses lain yang terlibat seperti mengumpul bajet dan proses membina nano satelit yang begitu kompleks.

Kita mengguna pakai bajet dalaman Fakulti Kejuruteraan sebanyak RM350,000 dan dibantu oleh pihak Agensi Penerokaan Angkasalepas Jepun (JAXA) dan pihak Kyutech.

Apa pun kita telah berjaya melancarkan nano satelit bersama pelajar-pelajar dari Bhutan dan Filipina.

Apa manfaat jangka panjang program aeroangkasa selepas satelit nano dilancarkan?

Kita di UiTM perlu terus ke hadapan dan tidak boleh menoleh ke belakang lagi kerana kita mempunyai tanggung jawab untuk anak-anak bangsa.

Kita merancang untuk membina Pusat Kecemerlangan Aero Angkasa di UiTM Shah Alam atau di mana-mana lokasi untuk memastikan bidang ini dapat dikembangkan bukan setakat melancarkan satelit nano semata-mata, selepas itu berhenti setakat itu.

Bidang satelit ini bukan setakat melancarkan satelit itu sendiri malahan mencakupi kejuruteraan, teknologi dan rekabentuknya. Pada masa depan kita boleh membina satelit yang lebih besar yang mampu memberi faedah lebih besar untuk negara.

Satelit bukan sahaja berfaedah untuk mengumpul data besar malahan ia boleh menyumbang dalam bidang pertanian, pembinaan, komunikasi dan keselamatan negara. Pendek kata manfaat ekonomi juga cukup besar jika kita berupaya mencipta satelit lebih besar.

UiTM kini berada dalam kelas tersendiri setelah kejayaan menghantar UiTMSAT-1. Adakah pihak UiTM mempunyai program berteknologi tinggi yang lain?

Selain pelancaran nano-satelit kita setiap tahun menyertai perlumbaan kereta solar di seluruh dunia termasuk Filipina dan Australia.

Kita juga memajukan teknologi Kenderaan Tanpa Pemandu (UAV) yang melibatkan inovasi dalam industri automotif.

Secara dasarnya setiap fakulti tidak kira kejuruteraan atau perubatan kita sentiasa menggalakkan penggunaan teknologi terbaharu.

Misalnya, di Hospital Pakar UiTM di Sungai Buloh kita mempunyai robot jurubedah yang dikendali oleh pakar perubatan kita yang bertaraf dunia. Semua ini kita lakukan bagi menjadikan UiTM lebih hebat dari sudut akademik dan insaniahnya.

Kita mahu melahirkan pakar dalam bidang teknologi yang lebih mementingkan manusia yang lain, bukannya teknologi bersifat material semata-mata.