Ribuan orang tanpa mengira fahaman politik dan latar belakang orga­nisasi bergabung di Putrajaya bagi mengecam kebiadaban Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Beberapa jam sebelum perhimpunan Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis itu bermula, khabar gembira diterima dari New York apabila 128 buah negara membuat keputusan menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa AS menarik balik pengiktirafannya.

Keputusan pengundian itu membuktikan tindakan Trump untuk tunjuk samseng dan mahu menjadi pembuli dengan mengugut menyekat bantuan kewangan kepada negara yang menyokong draf resolusi beberapa jam sebelum pengundian dijalankan tidak menggentarkan 128 buah negara berkenaan.

Kalau mengikut senarai PBB berdasarkan susunan abjad, Malaysia merupakan negara ke-71 mengundi menyokong resolusi tersebut. Sebelumnya 70 buah negara termasuk sebahagian besar negara kecil tidak gentar melakukan tindakan sama dengan diikuti oleh negara-negara lain sehingga ia mencapai 128 negara.

Walaupun AS melalui Dutanya Ke PBB, Nikki Harley dengan angkuh dan bongkak mengedarkan surat ancaman serta bertindak bagaikan ‘pengawas sekolah’ untuk mengambil nama negara yang menyokong mengundi resolusi itu tetapi ia sama sekali tidak mengubah pendirian 128 negara tersebut.

Biarpun resolusi itu tidak terikat tetapi ia membuktikan pendekatan ugut dan buli AS sudah tidak lagi menggentarkan negara-negara lain termasuklah negara kecil yang ada antaranya termiskin di dunia.

Tetapi pengundian di PBB bukan soal ekonomi mahupun perdagangan, ia tidak menyentuh soal memberi bantuan atau tidak, sebaliknya ia berkaitan menzahirkan satu resolusi menentang tindakan biadab seorang pemimpin untuk mencabul kedaulatan sebuah negara dengan memberikan kuasa kepada sebuah negara penjajah. Itulah kesimpulan tindakan Trump apabila beliau mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Tindakan Trump tiada beza­nya dengan kegilaan kumpulan pengganas Daesh yang cuba mencabul kedaulatan dan keselamatan sesebuah negara dengan memperalatkan nama Islam.

Trump tahu apa yang beliau lakukan akan mewujudkan kemarahan umat Islam dan masyarakat dunia, tetapi disebabkan mahu mencari populariti dan meneruskan ‘perangai gilanya’ dalam memimpin AS, beliau sengaja membuat tindakan sedemikian.

Bagaimanapun kebiadaban dan keangkuhan serta perangai samseng tidak bertempat beliau ter­nyata tidak menakutkan 128 buah negara termasuk Malaysia untuk menyokong resolusi PBB itu.

Malah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dengan tegas menyatakan, Malaysia tidak akan terjejas dengan ugutan AS untuk menghentikan bantuan kepada negara-negara yang menentang hasratnya menjadikan Baitulmuqaddis ibu negara Israel.

Dalam bahasa mudahnya, Malaysia bukanlah negara pengemis yang perlu menyembah AS bagi mendapat bantuan kuasa besar itu. Lagipun kalaulah negara-negara yang jauh lebih kecil dari Malaysia berani bangun menentang keceluparan dan kebiadaban AS dalam isu Baitulmuqaddis, kenapa Malaysia tidak boleh lebih berani lagi?

Umat Islam di negara ini perlu bersatu dalam isu mempertahankan Baitulmuqaddis. Ia bukan soal politik dan tiada kaitan dengan usa­ha untuk mempopularkan mana-mana pemimpin tetapi inilah adalah jihad yang wajib dilaksanakan oleh kita sebagai umat Islam.

Kita tidak perlu membuang masa melayan kenyataan jahil dan jumud sesetengah pemimpin politik tertentu yang memberi seribu satu alasan untuk tidak menyertai perhimpunan berkenaan.

Biarlah mereka terus dalam ‘tempurung politik’ sehingga menutup minda dan hati mereka untuk menilai bila masa mahu berpolitik dan bila masa pula perlu bersatu atas nama Islam.

Lagipun kalau melihat kepada pemimpin yang bercakap itu, kita pun tahu bagaimana pendirian parti yang diwakilinya dan bagaimana parti itu wujud serta peranannya sekadar ‘pak turut’ kepada sebuah parti dominan lain.

Jadi, biarlah mereka dengan kejahilan tersebut. Apa yang penting Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis semalam telah mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan umat Islam.

Dalam laman-laman sosial, umat Islam seluruh negara menyatakan sokongan terhadap himpunan berkenaan. Mereka tidak melihat ia dari sudut politik tetapi menganggap satu perjuangan bagi menyuarakan penentangan terhadap AS yang terus berhasrat memberi ‘le­sen lebih besar’ kepada rejim Zionis untuk membasahi tangan mereka dengan darah rakyat Palestin.

Pada masa sama, buanglah sikap hangat-hangat tahi ayam mahu memboikot barangan keluaran AS atau mendesak kerajaan memutuskan hubungan diplomatik dengan negara tersebut. Seperti mana kata Ahmad Zahid isu Baitulmuqaddis tidak akan merencat hubungan antara Malaysia dan AS terutama dalam soal keselamatan, ketente­raan dan perdagangan kerana ke­dua-dua negara cukup matang untuk membezakan kepentingan setiap hubungan yang dijalinkan.

Sementara kita sememangnya perlu menunjukkan ketegasan da­lam menyatakan pendirian tetapi jangan terlalu beremosi sehingga apa sahaja perkara berkaitan de­ngan AS mahu diburuk-burukkan.

Biarlah Trump sahaja tidak matang walaupun sudah menjadi Presiden AS. Lagipun memimpin negara besar tidak semestinya seorang pemimpin itu bijak, sebab itulah Trump berperangai se­perti budak-budak apabila menggunakan pendekatan mengugut bagi mencapai hasratnya. Apa yang penting kita terus berjihad mem­bela nasib rakyat Palestin dan mempertahankan Baitulmuqaddis.