Sejak mula perjuangan kemerdekaan oleh nasionalis Melayu lagi bahasa Melayu adalah kepentingan warisan Melayu. Dalam perundingan kemerdekaan, bahasa Me­layu adalah buah catur penting, diterima dan dimaktubkan dalam Perlembagaan sebagai Artikel 152.

Perkara 152. Bahasa kebangsaan.

(1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen.

Malangnya Perkara 152 telah diberi pentafsiran oleh pemimpin Melayu sendiri secara ambil mudah. Ia tidak ditafsirkan dengan mengambil kira kemahuan dan pe­ngorbanan orang Melayu semasa melepas hak mutlak ke atas Tanah Melayu. Orang Melayu yang menganggap diri bertuah mendapat kemerdekaan pada 1957 mahu mentafsirkan peruntukan itu sebagai tanda kejayaan; apa yang diperjuangkan dalam perundingan kemerdekaan telah dimakbulkan.

Orang Melayu menganggap dengan itu bahasa Melayu dalam negara merdeka kekal dikenali sebagai bahasa Me­layu, iaitu bahasa kebangsaan yang diguna sebagai bahasa rasmi dalam urusan negara, bahasa bagi tanah air orang Melayu yang dimerdekakan dengan banyak me­ngorbankan kepentingan orang Melayu, bahasa untuk pentadbir­an dan segala urusan di dalam negara sama ada yang rasmi atau bukan rasmi. Bahasa Melayu disebut-sebut sebagai bahasa rakyat jelata pelbagai kaum, namun pada hari ini jarang disebut.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini mendewakan bahasa kebangsaan. Peruntukan Perkara 152 berbunyi; “Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu” hanya mempunyai satu matlamat yang jelas iaitu bahasa Melayu te­rus dikekalkan sebagai bahasa identiti negara Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka dan bahasa Melayu berdiri sebagai bahasa kebangsaan sebagai mana bahasa Inggeris menjadi bahasa kebangsaan di United Kingdom atau bahasa Arab sebagai bahasa kebangsaan di Arab Saudi.

Di Singapura, bahasa Melayu disebut sebagai Bahasa Melayu, di Brunei bahasa Melayu disebut Bahasa Melayu.

Jiwa Melayu sudah lama didera apabila sekolah Melayu ditukar menjadi sekolah kebangsaan manakala sekolah Cina dan India kekal dengan nama sekolah Cina dan sekolah India. Sentimen yang diwarnai oleh pe­ngalaman dan harapan yang tidak menjadi itu telah mencorakkan pendirian bercelaru sebahagian orang Melayu apabila bersua dengan isu seperti UEC. Minda mereka terperangkap dan tidak dapat melihat masalah dengan jelas.

Isu kedua UEC ialah dasar pendidikan yang digubal pada awal kemerdekaan diketuai oleh Tun Abdul Razak Hussein mahu menggunakan dasar pelajaran dan pendidikan negara menjadi pembentung pembinaan negara bersatu-padu walaupun berbilang kaum. Matlamat itu kekal walaupun selepas Tun Razak ada pindaan di sana-sini mengikut selera menteri.

Orang Melayu mengharapkan dasar kerajaan untuk melihat bahasa Melayu dimartabatkan tetapi dasar pelajaran/pendidikan telah dilaksanakan oleh pemimpin Melayu sendiri mengikut selera masing-masing. Adakala tegas adakala longgar.

Orang Melayu yang telah gagal melihat bahasa Me­layu dimartabatkan sebagai bahasa yang bermain di bibir rak­yat jelata berbilang kaum mengharapkan sistem persekolahan menghidupkan bahasa Melayu sebagai warisan Melayu. Malangnya kepentingan bahasa Me­layu tidak dijaga. Dasar tidak dilaksanakan dengan bijaksana.

Isu ketiga ialah Dong Zong yang semakin lantang de­ngan perjuangan melawan arus nasional. Langkah Dong Zong yang jelas tidak menghiraukan kepentingan negara untuk memupuk penyatuan rakyat berbilang kaum seumpama gerakan ‘antinasional’ dalam erti kata tidak mahu patuh kepada aspirasi dan bimbingan kerajaan dalam perkara sistem pelajaran negara.

Kebelakangan ini Dong Zong pula nampaknya yang memberi syarat kepada kerajaan melalui saluran politik seolah-olah dunia sudah terbalik. Kerajaan sudah memberi laluan istimewa supaya bahasa Mandarin digunakan sebagai bahasa penghantar sekolah Cina, gunakanlah bahasa itu, majukanlah bahasa itu, tetapi sistem pelajaran negara perlu diakui mustahak dipatuhi dan cuba diikuti.

Itu namanya good citizenship. Menjadi tanggungjawab semua rakyat untuk menyesuaikan diri dengan dasar kerajaan. Dalam isu UEC, bukan sukar untuk menyesuaikan sistem yang dipilih oleh Dong Zong dengan sistem negara supaya negara ada hanya satu sistem pelajaran/pendidikan. Sikap Dong Zong yang mahu syarat mereka dipersetujui oleh kerajaan adalah luar biasa.

Justeru, kerajaan perlu berdiri teguh dan tegas atas dasar yang selama ini dipegang tetapi yang tidak mahu diterima oleh Dong Zong. Jangka masa peralihan perlu diberi kepada Dong Zong untuk mengambil langkah transformasi daripada sistem Dong Zong kepada sistem pelajaran negara tanpa menjejaskan kualiti prestasi.

Dalam masa sama, kerajaan perlu mengambil kesempat­an mempertingkatkan kualiti pelajaran supaya transformasi sekolah Cina tidak menjejaskan prestasi mereka. Masa tiga tahun adalah yang dicadangkan. Jika perlu masa itu boleh ditambah sedikit.

Pokoknya selepas itu, Malaysia perlu ada hanya satu sistem pelajaran. Masalah UEC ini tidak perlu dipanjangkan. Dalam pengurusan penyesuaian satu sistem dengan satu sistem yang lain adalah perkara biasa yang boleh dirancang untuk dilakukan dengan baik. Semua kepakaran dalam bidang berkaitan perlu digembleng untuk menjayakan transformasi ini secepat mungkin.

Ini adalah langkah positif yang boleh menghentikan perbalahan. Ini langkah the way forward. Tidak ada lagi helah bagi Dong Zong kerana penyelesaian ini adalah bagi kepentingan negara. Kerajaan mempunyai banyak bidang kuasa untuk bertindak terhadap mereka yang khianat terhadap rancangan dan dasar kerajaan.