Isu Seri Bendahara menampakkan Adly meraih sokongan daripada majoriti penduduk Melaka yang menyifatkan tindakan beliau itu bagus untuk membolehkan rakyat melihat sendiri isi kandu­ngan dalam kediaman rasmi ketua menteri yang sebelum ini tidak pernah dibuka kepada orang awam.

Selama sebulan ia dibuka, Seri Bendahara menerima kunjungan lebih daripada 10,000 pengunjung sehinggakan kerajaan negeri mempertimbangkan cadangan untuk menjadikan ia sebagai rumah atau ataupun hotel butik.

Di sebalik pujian yang diberikan kepada Adly dalam isu Seri Bendahara, muncul pula ujian kedua apabila beliau baru-baru ini mengumumkan pengambilan lulusan UEC akan dilaksanakan sebagai antara syarat perjawatan peringkat negeri kerana ia adalah sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ramai yang membantah langkah kerajaan negeri sehinggakan isu ini kini dibawa ke peringkat nasional. Pas Melaka menyifatkan Adly dibayangi pihak tertentu sebelum membuat keputusan itu dan mendakwa Adly dijadikan ketua menteri boneka oleh parti dominan iaitu DAP.

Pesuruhjaya Pas Melaka, Kamaruddin Sidek membidas Adly kerana cuba mencontohi Pulau Pinang dan Perak yang te­lah melaksanakan peraturan itu sambil membandingkan Melaka adalah negeri yang penduduk­nya majoriti 65 peratus Melayu Islam.

“Janganlah ikut Pulau Pinang dan Perak kerana di negeri itu bilangan kaum majoritinya tidak sama dengan Melaka. Di Melaka, kita ada 65 peratus daripada hampir 900,000 penduduk yang beragama Islam sedangkan kaum Cina hanya mewakili 25 peratus di negeri ini,” kata Kamaruddin ketika berucap dalam perhimpunan aman membantah pengiktirafan UEC di Masjid Al-Azim, Jumaat lalu.

Ternyata keputusan dibuat Adly berhubung isu UEC me­ngundang rasa marah orang Melayu di negeri ini. Bantahan demi bantahan dibuat dan bagi mereka, Adly dikatakan membuat keputusan dengan merujuk kepada pihak yang tidak dinyatakan serta membelakangkan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Langkah diambil kerajaan Pakatan Harapan Melaka mengiktiraf pemegang UEC seolah-olah seperti didalangi pihak tertentu yang mahu menjadikan perjua­ngan mereka sejak sekian lama tercapai dalam menuntut hak sama rata di bidang pendidikan walaupun umum sedia maklum, sistem UEC adalah acuan dari Taiwan.

Namun sehingga kini, Adly belum membuat sebarang ke­nyataan mengulas isu itu selepas mendapat bantahan daripada pelbagai pihak. Adly harus tampil menjelaskan kenapa keputusan itu diambil, apa rasionalnya Me­laka membuka peluang kepada pemegang UEC.

Pada masa sama, Adly perlu menjelaskan pendirian kerajaan negeri bahawa adakah penggunaan UEC ini akan menutup peluang kepada lepasan peperiksaan awam perdana yang lain.

Imej beliau jika sebelum ini disukai oleh rakyat mula dipersoalkan dan Adly perlu menjawab segala persoalan ini. Jangan nanti sampai Adly digelar pemimpin yang tidak mempunyai pendirian serta mengikut telunjuk pihak lain.