LAKARAN artis antara projek pembangunan tanah wakaf yang akan
 

Dalam wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM dan jurugambar, GHAZALI BASRI di Kuala Lumpur baru-baru ini; Pengerusi UDA, DATUK SERI DR. MOHD. SHAFEI ABDU LLAH menjelaskan mengenai kepentingan projek pembangunan tanah wakaf bagi membolehkan bumiputera Islam memiliki hartanah.

UTUSAN: Benarkah tohmahan UDA tidak menyokong agenda bumiputera?

MOHD. SHAFEI: Itu tidak benar kerana kita banyak membina rumah mampu milik untuk golo­ngan itu termasuk di Kuala Lumpur seperti di Kampung Baru dan Cochrane.

Dari segi menyediakan lot-lot kedai, bumiputera tidak boleh mengharapkan kita menawarkan harga jualan dan sewa terlalu rendah khususnya di bandar-bandar besar kerana harga tanah tinggi dan kos penyelenggaraan ba­ngunan yang semakin meningkat. Tindakan sedemikian hanya akan menyebabkan UDA rugi dan ak­hirnya mati.

Kita kena seimbangkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu bumiputera dengan meraih keuntungan. Langkah menetapkan harga jualan dan sewa berpatutan yang sebenarnya lebih rendah berbanding pemaju lain akan membolehkan UDA te­rus hidup untuk membantu orang Melayu.

Satu hakikat tidak diketahui ra­mai bumiputera adalah sejak 1996, UDA bukan lagi agensi kerajaan. Syarikat ini terpaksa berdikari untuk mencari sumber kewangan kerana tidak mendapat geran daripada kerajaan dan tidak diberikan sebarang keistimewaan bagi mendapatkan tanah kerajaan untuk dibangunkan.

Walaupun menghadapi pelbagai kekangan, kita tetap memberikan diskaun bagi memastikan antara 50 hingga 80 peratus projek kita dijual atau disewa kepada bumiputera.

Di negeri-negeri, walaupun hanya disyaratkan 30 peratus dijual kepada bumiputera, kita tetap mengamalkan penjualan 80 peratus kepada golongan itu. Ini adalah CSR UDA yang ramai orang tak tahu.

Boleh jelaskan mengenai projek tanah wakaf yang dilaksanakan?

Pembangunan tanah wakaf dibuat dengan kerjasama Majlis Agama Islam di negeri-negeri. Tanah wakaf ini adalah bagi membina kediaman, kedai dan pejabat yang dijual kepada orang Islam sahaja. Ini secara tidak langsung memberi peluang kepada umat Islam kita untuk memiliki hartanah. Biasanya harga jualan 20 hingga 30 peratus lebih rendah daripada kadar pasaran.

Projek yang telah dibangunkan atau sedang dijalankan adalah di Pulau Pinang, Perak dan Kedah dengan keluasan keseluruhan 24.8 hektar. Kita juga sedang meninjau kawasan lain termasuk di Lembah Klang.

Apa halangan yang dihadapi dalam membangunkan tanah wakaf?

Sebenarnya wujud potensi cukup besar untuk membangunkan tanah wakaf kerana di Malaysia terdapat kira-kira 30,400 hektar tanah jenis itu yang belum dimajukan. Sebagai syarikat yang telah terbukti berjaya membangunkan tanah wakaf, UDA boleh membina lebih banyak rumah dan kedai dalam masa singkat jika mendapat sokongan daripada pihak bank dan kerajaan.

Malangnya, setakat ini hanya dua bank yang memberi sokongan iaitu Bank Muamalat Malaysia Berhad yang memberikan pembiayaan kepada UDA dan pembeli rumah. Bank Islam Malaysia Berhad pula hanya menyediakan pembiayaan kepada pembeli rumah.

Kedua-dua bank ini mempunyai dana terhad bagi membolehkan tanah wakaf dibangunkan secara besar-besaran dan dalam tempoh pantas. Untuk mengharapkan bank-bank lain yang lebih besar, mereka takut untuk melibatkan diri dengan projek seperti ini kerana tidak boleh melelong tanah jika pembeli rumah gagal membayar hutang bank.

Adakah cara untuk menyelesaikan masalah ini?

Terdapat beberapa cara yang boleh dibuat termasuk bank mengadakan perjanjian sampingan dengan Majlis Agama Islam di ne­geri-negeri yang menyatakan secara jelas kalau pembeli tidak membayar hutang, maka bank diberikan hak untuk menjual kepada individu lain yang beragama Islam.

Saya berharap kerajaan khususnya Bank Negara Malaysia (BNM) dapat mengeluarkan satu garis panduan baharu berhubung pembangunan tanah wakaf bagi membolehkan perubahan dari aspek teknikal seperti ini dilaksanakan.

Satu lagi yang boleh dibuat oleh BNM adalah mengarah setiap bank mematuhi kuota tertentu dalam menawarkan pakej sewa beli kepada umat Islam untuk mendapatkan unit-unit rumah dan kedai yang dibangunkan di tanah wakaf.

BNM juga perlu mensyaratkan bank menetapkan peratusan tertentu daripada perbelanjaan modal mereka untuk membiayai pembangunan tanah wakaf.