Kata Azril, fenomena itu menyebabkan dis­­­­kriminasi yang ti­­dak adil, gangguan dan tindakan me­ngasingkan individu atau kumpulan yang beragama Islam daripada arus perdana kehidupan sosial, ekonomi atau politik.

Seperti yang pernah disebut oleh bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (1997-2006), Kofi Annan istilah Islamofobia sudah wujud sejak akhir tahun 1980-an dan awal tahun 1990-an, namun semakin popular selepas tragedi 11 September 2001.

Ekoran tragedi itu imej Islam tercalar ekoran wujudnya dakwaan bahawa kejadian tersebut di­dalangi oleh kumpulan pengganas al-Qaeda. Sejauh mana kebenaran dakwaan itu sukar dipastikan.

Selepas peristiwa itu, beberapa siri serangan bom bunuh diri telah dilancarkan di beberapa buah negara termasuk Eropah seperti Jerman, Belgium, Perancis dan Turki hingga menyebabkan orang awam turut menjadi mangsa.

Serangan tersebut bukan sahaja melibatkan al-Qaeda tetapi juga membabitkan kumpulan-kum­pulan pengganas yang lebih radikal seperti IS serta ISIS dan kini lebih dikenali dengan nama Daesh. Malangnya, semua kumpulan yang terlibat dengan aktiviti-aktiviti pengganas ini telah dikaitkan agama Islam.

Disebabkan mereka imej Islam semakin lama semakin terjejas dan dalam masa sama ­fenomena Islamofobia turut menular di pelosok dunia.

Mengupas isu ini, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Global Compass berpusat di Perancis, Jean-Christophe Bas (JC Bas) meminta semua orang Islam sama ada pemimpin, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta setiap individu Muslim menunjukkan kepada ­dunia tentang ajaran Islam sebenar.

Ujarnya, masyarakat antarabangsa yang terpengaruh dengan Islamofobio perlu didedahkan dengan asas-asas Islam yang amat mementingkan kesederhanaan, keamanan, kasih sayang dan bukannya berasaskan kepada keganasan seperti mana tanggapan sesetengah pihak.

“Bahkan Islam adalah satu aga­ma yang begitu progresif. Oleh itu, satu gambaran sebenar tentang Islam perlu dipertontonkan kepada masyarakat dunia agar mereka faham tentang Islam yang sebenar sekali gus mampu membezakan Islam dengan perbuatan pengganas,” katanya.

Beliau ditemui selepas ­menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Peningkatan Pengaruh Islamofobia dan Konflik Identiti di Eropah’ anjuran Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) di Putrajaya, baru-baru ini. Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif GMMF, Datuk Dr. Nasharudin Mat Isa bertindak sebagai moderator.

Hakikatnya, JC Bas berkata, Islam telah diasak dengan fakta-fakta yang tidak benar gara-gara beberapa siri serangan pengganas hingga memberi kesan langsung kepada agama tersebut. Justeru, umat Islam di seluruh dunia terutama individu berpengaruh serta pergerakan-pergerakan Islam sederhana perlu tampil di khalayak memberitahu dunia tentang situasi sebenar.

Tidak kurang pentingnya, ujar beliau, jalinan kerjasama dengan pihak media sama ada media arus perdana dan media sosial juga perlu diperhebatkan lagi agar mesej kesederhanaan dan kasih sayang dalam Islam mampu dise­bar luaskan ke seluruh dunia.

“Ini juga salah satu cabaran yang perlu dihadapi dan kita akui terdapat sesetengah media Barat yang cuba mengaitkan Islam dengan keganasan. Fakta ini perlu diperbetulkan dengan menggunakan kaedah yang sama iaitu kenyataan serta pendedahan melalui media.

“Perlu kita akui media adalah antara senjata paling berkesan untuk menyampaikan mesej sebenar tentang Islam. Media juga boleh mempengaruhi fikiran seseorang. Dalam hal ini saya fikir GMMF boleh memainkan ­peranannya kerana GMMF adalah adalah sebuah pertubuhan yang mendokong prinsip-prinsip ­kesederhanaan,” katanya lagi.

Terdahulu dalam syarahan­nya, JC Bas berkongsi dengan para hadirin mengenai hasil tinjauan berhubung persepsi masyarakat Eropah terhadap Islam pada tahun lalu. Jawapannya, situasi bertambah buruk.

Dalam tinjauan itu, 47 peratus penduduk Perancis dan 43 peratus penduduk Jerman menganggap Islam adalah sebagai satu ancaman. Jumlah itu meningkat lima peratus berbanding tinjauan yang sama dibuat pada tahun 2010. Selain itu beliau berkata, 68 peratus penduduk Perancis dan 71 peratus penduduk Jerman beranggapan sukar untuk orang Islam diintegrasikan dalam masyarakat.

“Namun begitu bukan semua penduduk Eropah memandang negatif terhadap orang Islam. Ada juga di antara orang Islam di beberapa negara Eropah dipilih sebagai pemimpin sebagai contoh Menteri Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Penyelidikan Perancis, Najat Valaud Belkacem. Beliau adalah kelahiran Maghribi,’’ katanya.

Kata JC Bas, begitu juga dengan Datuk Bandar London, Sadiq Khan, Berdasarkan kelayakan dan bakat yang ada pada Sadiq, akhirnya anak kepada pemandu bas yang berasal dari Pakistan itu berjaya melakar sejarah apabila menjadi orang Islam pertama di­pilih sebagai Datuk Bandar di ibu negara England itu bermula 7 Mei tahun lalu.

Tidak terkecuali beliau berkata, pemilihan pemimpin kelahiran Maghribi, Ahmed Aboutaleb sebagai Datuk Bandar Rotterdam sejak 5 Januari 2009. Semuanya ini tanda kepercayaan sebahagian penduduk Eropah terhadap keupayaan orang Islam sebagai pemimpin mereka.