Mereka bersorak menyokong pasukan pilihan masing-masing. Tetapi sampai bilakah mereka perlu bersorak untuk pasukan negara lain?

Sekiranya skuad kebangsaan beraksi di pentas Piala Dunia, sudah tentu mereka akan bersorak menyokong pasukan Malaysia.

Tetapi bilakah impian untuk menyaksikan skuad kebangsaan beraksi di kejohanan bola sepak paling berprestij di dunia itu akan menjadi realiti?

Bagi membincangkan persoalan itu, wartawan Mingguan Malaysia, AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI mewancara Ketua Pegawai Eksekutif Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia, (FMLLP), Kevin Ramalin gam di Damansara Perdana, Kuala Lumpur baru-baru ini.

MINGGUAN: Sekarang adalah musim Piala Dunia. Croatia yang mempunyai populasi penduduk empat juta orang pun berjaya masuk ke perlawanan akhir. Apakah yang perlu dilakukan untuk melihat Malaysia beraksi di pentas Piala Dunia suatu hari nanti?

KEVIN: Saya rasa kita selalu buat perbandingan dengan populasi Iceland, Croatia dan negara-negara lain yang mempunyai populasi kecil. Kita terlalu obses dengan populasi. Apa yang penting, pemain negara-negara berkenaan setanding dengan pemain bertaraf dunia dan boleh bermain dalam liga-liga utama di dunia.

Misalnya, pasukan Croatia. Ramai pemain negara itu bermain dalam liga-liga utama dunia termasuk Liga Perdana Inggeris (EPL) dan La Liga. Mereka bukan pemain-pemain yang kecil. Kita kena sedar bahawa pencapaian Liga Super, kita boleh cuba memberikan landasan terbaik tetapi kita jauh sekali daripada Piala Dunia kerana kualiti pemain-pemain kita. Sepatutnya kita melihat kepada mereka untuk keluar menimba pengalaman dalam liga negara-negara lain.

Kita tidak boleh kata liga Thailand tidak bagus. Liga Thailand bagus tetapi pemain-pemain utama Thailand beraksi di luar. Misalnya Chanathip Songkrasin dan Teerasil Dangda bermain dan menimba pengalaman di Jepun. Kita perlu melihat jauh ke hadapan dengan memastikan pemain-pemain kita diberikan atau dapat peluang bermain. Sekarang ini, mendapatkan peluang itu adalah berdasarkan kualiti mereka. Jadi, kita kena pastikan mereka mempunyai kualiti yang secukupnya untuk beraksi di luar negara.

Dalam bola sepak, aspek fizikal dan program pembangunan termasuk infrastruktur amat penting. Di mana kedudukan Malaysia dalam dua aspek ini?

KEVIN: Kita masih jauh sekali. Sebab di Malaysia, kita terlalu obses dengan program peringkat akar umbi. Program akar umbi itu bagus tetapi kelestarian program itu perlu diberikan perhatian.

Seorang pemain itu bila sudah dewasa, ada setengah benda yang dia kena bawa daripada program akar umbi. Misalnya sains sukan yang diterapkan ke dalam dirinya menjadi budaya kepada dirinya sewaktu jadi pemain kanak-kanak.

Kita dapat lihat aspek fizikal pada pasukan Jepun yang jauh lain daripada pasukan Jepun dahulu. Ini semua kerana sains sukan. Pemain-pemain ini dikenal pasti semasa umur muda dan diterapkan segala aspek terbaik. Oleh sebab pemain-pemain ini dari negara-negara yang berdisiplin macam Jepun, Thailand dan sebagainya maka mereka boleh bertahan dengan program yang tegas.

Di sini, kita belum lagi mencapai tahap disiplin yang ada untuk menerapkan apa yang diajar itu sebagai budaya. Contohnya, kena tinggalkan makanan yang digemari.

Pada 2015, FAM ada menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Liga Bolasepak Profesional Jepun (J-League) dan baru-baru ini dengan La Liga Sepanyol. Bagaimana kerjasama itu dapat meningkatkan mutu profesionalisme Liga Super?

KEVIN: Antara kebaikan MoU dengan J-League adalah pemain-pemain dari Malaysia tidak dianggap sebagai pemain import jika bermain di J-League. Itu satu perkara yang amat besar sekali tetapi adakah kelab bola sepak Jepun mahu mengambil pemain Malaysia walaupun tidak dikira sebagai import. Jadi, kita kena kagumkan kelab-kelab bola sepak Jepun secukupnya untuk mereka mengambil pemain Malaysia, sebab mereka tidak perlu mengambil pemain Malaysia yang setanding dengan pemain import mereka.

Tetapi mereka boleh mengambil pemain Malaysia yang setanding dengan pemain tempatan mereka. Jadi, kita kena bersaing untuk tempat itu kerana tempat itu sudah ada. Itu merupakan satu peluang yang amat baik sekali dan pemain tempatan perlu memanfaatkan peluang itu.

Antara intipati MoU dengan La Liga Sepanyol ialah mewujudkan blueprint untuk 50 tahun. Apakah fokus dalam blueprint tersebut?

KEVIN: Fokus dalam blueprint itu lebih kepada penstrukturan pasukan-pasukan dalam liga, kelestarian mereka untuk jangka panjang termasuk dari segi ekonomi, promosi liga dan aspek-aspek lain. Tidak semestinya hanya aspek pembangunan teknikal sahaja. Buat masa ini, La Liga belum terlibat dalam akademi tetapi lebih kepada struktur dan pengurusan liga.

Apakah antara matlamat yang ingin dicapai menerusi blueprint tersebut?

KEVIN: Dari segi ekonomi kita mahu nilai liga kita mencapai satu nilai bernas yang kita boleh berikan sumbangan ekonomi besar kepada negara. Kita juga mahu membesarkan kelompok pemain bola sepak tempatan. Kita boleh bercerita tentang sesuatu negara mempunyai populasi penduduk sedikit. Kita mempunyai 30 juta rakyat tetapi pemain profesional di Malaysia cuma 700 orang.

Itu yang kita kena sedar. Jadi, kelompok pemain profesional itu perlu diperbesarkan. Kita hendak cuba mencapai sekurang-kurangnya 1,500 orang pemain bola sepak profesional di Malaysia.

Untuk mencapai sasaran itu, nilai liga perlu bertambah dan kita perlu mencari jalan untuk memperbanyakkan lagi pasukan-pasukan dalam liga profesional.

Tetapi itu sasaran jangka panjang. Buat masa sekarang, hendak kata kita ada 24 pasukan profesional pun belum ada.

Walaupun liga bola sepak Malaysia sudah profesional tetapi kita masih menghadapi gaji pemain dan jurulatih tidak dibayar. Bagaimana saudara melihat hal itu?

KEVIN: Sebab itu saya kata, kita belum ada 24 pasukan profesional. Kita mungkin ada sekitar lima atau enam pasukan profesional sahaja dalam liga kita. Kebanyakan pasukan tidak diuruskan dengan profesional dan banyak bergantung kepada subsidi dan bukan mengkomersialkan diri mereka.

Berapa lama agaknya diperlukan Malaysia untuk mempunyai skuad kebangsaan yang boleh bersaing di peringkat Asia sekurang-kurangnya dan kemudian ke Piala Dunia?

KEVIN: Bagi saya, itu isu mindset dan disiplin. Kalau di Jepun atau Thailand, ia cuma mengambil masa antara tiga dan empat tahun sahaja kerana mereka boleh menerapkan dengan sepenuhnya apa yang mahu dilaksanakan dan akan patuh kepada apa yang sepatutnya.

Di Malaysia, kita ada cara kita sendiri. Kalau ada sesuatu peraturan, kita cuba hendak pusing atau melanggar peraturan itu tanpa dikesan. Jadi, untuk kita, perlu mengambil masa lebih panjang lagi.

Rakan kita di J-League mengatakan sampai kasihan tengok kita. Sebab segala aspek yang kecil pun orang hendak melawan. Di Jepun, kalau sesuatu keputusan sudah dibuat atau sesuatu peraturan mahu diterapkan oleh liga, semua ikut. Oleh sebab itu, mereka boleh fokus kepada kemajuan dan tidak perlu fokus kepada troubleshooting (penyelesaian masalah) sahaja setiap bulan.

Bagi saya, kalau kita serius dengan golongan bawah 14 dan 15 tahun sekarang dan kita betul-betul fokus dengan program sains sukan, dalam masa lima hingga 10 tahun kita boleh mencapai satu keputusan baik.

Selepas itu kita boleh bersaing di peringkat Asia dan dunia. Tetapi kita perlu menggabungkan tenaga semua sekali termasuk Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), FAM dan liga.