Keyakinan berubah menjadi kekecewaan yang amat pahit ditelan dan sukar dipercayai. Perubahan besar melanda sehingga ‘kapal’ BN kini senget dan hampir tenggelam. Siapa sangka BN gagal meneruskan pentadbirannya di Putrajaya walaupun wakilnya memenangi kerusi Putrajaya. Berbanding Pas yang sudah biasa dengan kalah menang, UMNO atau BN tidak pernah merasai kekalahan seumpama ini. Di peringkat negeri, BN hanya tinggal negeri terkecil dan terbesar di Semenanjung Malaysia iaitu Perlis dan Pahang.

Jika diambil kira majoriti pengundi Melayu di Kelantan dan Terengganu, ternyata pengundi turut menolak calon UMNO dan lebih selesa mengekalkan sokongan kepada Pas.

Begitu juga, pengundi Pas masih belum dapat menerima serpihan parti itu PAN walaupun kini mereka yang sebelum ini berada di gelanggang Pas melakar sejarah menganggotai Kabinet. Sama ada BN mampu bangkit atau sebaliknya bergantung kepada apa yang berlaku dalam tempoh lima tahun ini. Rakyat akan menilai sejauh mana kesungguhan PH memenuhi harapan rakyat. Bagaimanapun menyelak kembali prestasi yang ada, ter­nyata kemerosotan melibatkan seluruh negara. BN semakin jauh ditinggalkan di beberapa negeri. Contohnya di Pulau Pinang, BN hanya menang dua kerusi DUN.

Kedudukan ini menjadikan seperti suatu masa dulu di mana DAP hanya ada dua orang wakil rakyat berbanding BN yang menguasai DUN. Begitu juga dengan Selangor. Di Johor negeri yang dianggap sebagai tiang seri UMNO juga boleh dianggap patah atau tumbang. BN atau UMNO perlu bangkit. Terimalah realiti dan berubah secara drastik kerana banyak ‘jambatan’ sudah roboh atau dihanyutkan akibat ‘bah’ yang melanda. Kini kerajaan-kerajaan negeri telah dibentuk dan Kabinet baharu dijadual mengangkat sumpah pada hari ini.

Tahniah kepada mereka yang dilantik menganggotai Kabinet baharu ini yang terdiri daripada empat wakil PPBM, begitu juga DAP dan masing-masing tiga dari PKR dan PAN.

Harapan rakyat, mereka dapat memikul tanggungjawab yang diberi dengan baik sesuai dengan janji-janji yang terkandung di dalam manifesto. Mereka sudah tentu bersedia memainkan peranan untuk memperbaiki kelemahan yang selama ini dibangkitkan ketika bertindak sebagai pembangkang.

Rata-rata anggota Kabinet memperoleh pengalaman pertama sebagai kerajaan kecuali mereka yang pernah menjadi kerajaan di peringkat negeri. Tidak hairanlah pelantikan dalam kalangan mereka menjadi perhatian dan juga kejutan. Siapa sangka Mohamad Sabu akhirnya diamanahkan untuk memimpin angkatan tentera sebagai Menteri Pertahanan. Begitulah tuah yang memihak kepada anak Kampung Guar Petai, Seberang Perai yang pernah mendapat jolokan ‘ayam sabung’ Pas. Selak turut tertarik dengan pelantikan Dr. Maszlee Malik, 44 sebagai Menteri Pendidikan. Bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini mewakili PPBM.

Beliau memenangi kerusi Simpang Renggam, Johor dengan majoriti 3,475 undi mengalahkan calon BN (MCA) dan Pas. Kini masa untuk memenuhi janji berkaitan bidang pendidikan. Semasa PRU lalu, klip video kempen PH turut memberi perhatian terhadap isu-isu berkaitan guru. Di bawah tajuk Pesanan Buat Guru-Guru, antara janji PH ialah untuk mengurangkan beban guru. Intipati video itu ialah mengurangkan beban kerja guru di sekolah yang terpaksa dibawa pulang ke rumah sehingga bebanan itu menyebabkan ada dalam kalangan guru yang diserang sakit jantung, darah tinggi atau strok. Bagi mengelakkan pelbagai tugasan yang sepatutnya dilakukan oleh golongan pentadbiran, PH menawarkan skim guru bantuan bagi membantu guru di dalam pembelajaran di bilik darjah, mengecilkan saiz kelas di seluruh negara, membantu guru fokus kepada anak-anak murid sementara kerja pentadbiran dan pengurusan akan dilakukan oleh kakitangan khusus pentadbiran.

Berhubung isu ini, lapan tahun lalu, tokoh-tokoh akademik pernah mengesyorkan supaya jawatan pembantu guru diwujudkan bagi mengurangkan beban tugas pengkeranian yang semakin bertambah dalam kalangan guru.

Sebelum ini juga terdapat rungutan dalam kalangan guru bahawa pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) juga merupakan satu beban. Guru-guru banyak memperuntukkan masa berharga di rumah untuk menyelesaikan kerja sekolah.

Rintihan ini perlu diberi perhatian. Kerajaan sebelum ini memperkenalkan program guru ‘duka lara’ iaitu mendekatkan guru dengan pasangan masing-masing bekerja di kawasan yang sama. Program ini dapat membantu suami isteri dan keluarga berada di kawasan yang sama tetapi ia tidak bermakna jika guru masih dibebankan dengan kerja sekolah di rumah. Akhirnya, situasi seperti ini boleh menjejaskan keharmonian rumah tangga. Biarlah apabila guru melangkah keluar melepasi pintu pagar sekolah, fikiran mereka tidak diganggu dengan kerja-kerja sekolah yang perlu diselesaikan di rumah.

Dalam temu bual dengan Astro Awani baru-baru ini, Dr. Maszlee mengulangi azam untuk memperbaiki sistem pendidikan termasuk meringankan beban guru. Sistem pendidikan negara juga perlu disuntik dengan kaedah baharu selain tidak harus terlalu tertumpu kepada ranking (kedudukan) dan peperiksaan. Keutamaan adalah bagi membangunkan potensi anak-anak. Isu ini juga pernah dibangkitkan oleh beliau dalam beberapa forum semasa menjadi pensyarah. Baginya apa yang penting ialah sistem pendidikan memasuki era baharu iaitu pembelajaran dan pengajaran akan lebih menyeronokkan dan menggembirakan. Menarik juga apabila timbul konsep pembelajaran dari filem 3 Idiots. Maklumat lanjut boleh tonton filem Hindi ini.

Harapannya biar anak-anak berlari ke sekolah dan guru-guru mengalu-ngalukan kehadiran anak-anak ini. Begitu juga hubungan antara masyarakat terutama ibu bapa dengan pihak sekolah. Semua pihak perlu memainkan peranan bagi mendekatkan sekolah dengan masyarakat. Rapatkan jurang antara sekolah dengan masyarakat supaya sekolah tidak rasa terpencil daripada masyarakat sekeliling.

Rakyat khususnya golongan pendidik amat berharap apa yang dicadangkan itu mencapai kejayaan dan memenuhi keperluan guru. Begitu juga peranan dan tanggungjawab kementerian secara keseluruhannya. Berubah untuk memperbaiki kelemahan atau kekurangan. Bagaimanapun, apa juga perubahan yang bakal dilakukan, Falsafah Pendidikan Negara yang menjadi teras kepada sistem pendidikan tidak seharusnya diabaikan. Matlamat pendidikan negara jangan tersasar untuk melahirkan warganegara yang baik yang memiliki ciri-ciri bersatu padu, berdisiplin dan terlatih. Akhirnya, jangan seperti sekali air bah sekali pantai berubah.

Memang lumrah, setiap kali menteri baharu masuk, akan ada sahaja program atau dasar yang diperkenalkan. Bagus jika ia menambah baik apa yang ada tetapi jangan sampai anak-anak sekolah dijadikan seperti bahan uji kaji.