Paling tampak ialah agenda pemerkasaan bumiputera de­ngan menurunkan kadar kemiskinan melibatkan golongan itu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil contoh paling mudah success story ini dengan menarik perhatian mengenai kadar kemiskinan.

“Pada 1970, kadar kemiskinan yang dahulunya pada kedudukan 49.3 peratus telah berkurangan kepada 3.8 peratus pada 2009 dan terus menyusut 0.6 peratus pada 2014.

“Pencapaian kejayaan ini bukannya mudah,” kata beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia dalam satu pertemuan ba­ru-baru ini, Ismail Sabri ba­gaimanapun berpesan kepada seluruh ahli UMNO supaya jangan hanya menyimpan kisah kejayaan UMNO itu dalam laci pejabat atau rak almari. Jangan letak dalam fail-fail sehingga sudah berkepuk dengan habuk.

Di peringkat akar umbi mesti serlahkannya, kata beliau.

“Sebilangan rakyat mungkin kurang terbaca di akhbar atau mengikutinya sekali lalu sahaja. Perkara yang baik mesti diingatkan, diulang-ulang.

“Macam iklan produklah, kalau sekali sahaja iklannya, orang akan lupa. Ya, macam Petronas... semua orang tahu tapi Petronas masih buat iklan setiap masa supaya orang ingat minyak Petronas. Kalau lupa, orang tidak har­gai apa yang kerajaan buat,” katanya.

Ismail Sabri mengingatkan, kejayaan yang dicapai melalui komitmen UMNO bukan sekelumit cabaran getirnya.

Felda contohnya, memerlukan kepemimpinan politik beriltizam yang sehingga kini seramai 112,000 peneroka Felda telah berjaya dibawa keluar daripada garis kemiskinan.

Pada awal kewujudannya, kemiskinan dalam kalangan pe­neroka adalah 70 peratus tapi sekarang empat peratus.

“Peneroka Felda dah tak ada rupa orang miskin sekarang. Bahkan, usaha negara luar untuk meniru konsep pembangunan dan reformasi tanah yang dilakukan oleh Felda tidak pernah berjaya,” kata beliau.

Tidak setakat Felda atau pe­ringkat domestik semata-mata, keupayaan kerajaan hari ini yang diketuai seorang presiden UMNO harus digilap satu persatu cabaran pencapaiannya.

“Kepemimpinan UMNO me­nonggak kemakmuran ekonomi. Lawatan-lawatan kerja pe­mim­pin­nya ke seberang laut mem­buahkan hasil. Ke Jerman se­belum ini, dimeterai pelaburan ber­nilai 1 bi­lion Euro atau hampir RM5 bilion melalui syarikat Osram.

“Selepas itu melalui lawatan ke China pula, kita mencipta sejarah apabila berjaya memeterai perjanjian pelaburan bernilai hampir RM144 bilion, yang Insya-Allah akan memberikan pulangan lumayan kepada negara,” kata Ismail Sabri.

Kata beliau: “Ini semua hasil usaha siapa? Kalau bukan inisiatif kerajaan yang diinduki oleh UMNO. Begitupun ada juga segelintir pihak yang tak suka dengan apa pun yang telah kita lakukan.

“Bila tiada pelaburan, mereka kata kita gagal. Bila kita bawa masuk pelaburan, mereka kata kita gadai negara. Lebih teruk lagi, tuduhan mengatakan Malaysia akan bankrap amatlah tidak berasas dan dusta semata-mata.”

Bagaimanapun, Ismail Sabri me­nyifatkan itu semua cabaran yang perlu dilalui oleh mana-mana parti.

“Pihak pembangkang biasalah, sengaja buat-buat tak faham tentang kedudukan sesebuah negara yang dianggap muflis sedangkan penarafan yang dibuat. Tidak oleh pihak sebarang-sebarang, bu­kan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan atau DAP atau PKR atau sesiapapun kalangan orang mereka, tetapi rating atau penarafan rekod kejayaan mana-mana negara telah dipersahihkan oleh badan-badan serta agensi antarabangsa yang teriktiraf akan kewibawaannya di serata dunia,” kata beliau.

Justeru, tegas Ismail Sabri, tempoh beberapa bulan mendatang menjelang mandat berakhir Jun 2018 nanti, cabaran amat getir.

“Ini terutamanya tohmahan dan fitnah di saat-saat akhir sebelum pengundian. Semua orang sekarang ada grup WhatsApp... jika kita (UMNO) menang di me­dan tempur siber, Insya-Allah, tidak mustahil mandat rakyat boleh dikekalkan,” kata Ismail Sabri.