Sungguhpun begitu, saingan Pas terutama di beberapa kawasan majoriti Melayu tidak wajar diperlekehkan ke­rana parti itu turut mempunyai kekuatan sendiri. Kalam secara peribadi amat berharapkan BN menang dalam pilihan raya umum tersebut kerana sedar akan akibatnya jika Pakatan Harapan diberi peluang memerintah.

Sudah terang lagi bersuluh yang pakatan ini diketuai oleh DAP walaupun jawatan calon Perdana Menterinya telah diserahkan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Baru-baru ini Kalam telah dijemput menghadiri satu majlis. Tetamu kenamaannya adalah seorang pemimpin UMNO yang petah bercakap dan mempunyai pemikiran yang cukup tajam terutama isu membabitkan politik dan kewangan.

Dalam majlis tersebut pelbagai isu dibincangkan khususnya berkaitan dengan PRU-14. Kalam agak tertarik dengan satu kenyataan realistik yang diucapkan oleh pemimpin berkenaan yang jelas menggambarkan situasi terkini pengundi.

Menurutnya, pengundi sekarang lebih bijak kerana mereka berpendidikan selain mempunyai akses maklumat yang begitu luas. Justeru, cara serta pendekatan BN dan UMNO untuk meraih sokongan rakyat perlu berubah 360 darjah agar kempen yang dijalankan mampu menarik minat mereka terutama golongan muda.

Hakikatnya beliau berkata, khususnya dalam konteks politik orang Melayu, UMNO selama-lamanya tidak boleh menganggap orang Melayu amat bergantung kepada parti itu seperti mana era nenek moyang kita dahulu.

Sebaliknya UMNO yang memerlukan sokongan mereka agar parti ini tidak menerima nasib buruk seperti mana parti-parti seangkatan, antaranya Golkar di Indonesia, Kongres (India), Parti Demokratik Liberal (LDP) di Jepun dan Kuomintang di Taiwan yang akhirnya disingkirkan sebagai pemerintah apabila kalah dalam pilihan raya.

Apa yang diperkatakan oleh pemimpin ini ada asasnya, ada sandarannya. Kerana apa? Kerana rakyat sekarang telah berubah. Rakyat sekarang mempunyai pilihan lain. Oleh itu usah dihairankan jika pengundi-pengundi yang `berkecil hati’ dengan BN dan UMNO boleh beralih arah.

Mahu tidak mahu, BN dan UMNO perlu menggandakan usaha mendekati rakyat mulai saat ini. Jangan perlecehkan mereka. Dekati mereka dengan rasa hormat dan kasih sayang.

Seperkara lagi, di saat-saat genting ini jangan ada di antara pemimpin-pemimpin BN dan UMNO khususnya bertaraf menteri mengeluarkan satu-satu polisi atau me­lakukan sesuatu yang boleh mencemarkan nama parti dan paling penting boleh menjejaskan nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dengan kata lain dalam tempoh tiga bulan ini, masing-masing perlu jaga nama baik parti kerana pihak lawan sentiasa mengintai peluang untuk membuat serangan. Jika timbul satu-satu isu, lebih-lebih lagi melibatkan kepen­tingan rakyat dan negara, pihak kerajaan perlu mena­nganinya dengan segera.

Contohnya, penetapan harga minyak petrol dan diesel secara mingguan. Dalam isu ini, kerajaan perlu mena­nganinya dengan bijak kerana setiap kali berlaku kenaikan bahan api, kos sara hidup rakyat turut meningkat. Kalam khuatir sekiranya trend kenaikan minyak terus berlaku tanpa terkawal, mungkin isu itu akan digunakan sebagai senjata oleh Pakatan Harapan dalam kempen mereka.

Terbaharu, larangan memakai tudung oleh pihak hotel terhadap wanita Islam yang bekerja di bahagian hadapan (frontline). Isu ini juga perlu dita­ngani segera sebagai bukti ketegasan kerajaan BN terhadap segala yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Diharap kerajaan bertindak proaktif dengan tidak membiarkan satu-satu isu seperti itu terus berlarutan tanpa tindakan sewajarnya. Jangan beri sedikit ruang walau seinci kepada Pakatan Harapan untuk lancarkan sera­ngan. Fikir-fikirkanlah.