Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Pada Khamis lalu bukan saja Belanda, tetapi juga Eropah dan dunia berasa lega apabila pengundi negara itu menghalang kemenangan calon anti-Islam, Geert Wilders dari Parti Kebebasan (PVV) daripada menjadi Perdana Menteri. Menurut keputusan tidak rasmi, pilihan raya pada 17 Mac itu menunjukkan Perdana Menteri, Mark Rutte dari Parti Rakyat bagi Kebebasan dan Demokrasi (VVD) mengatasi PVV dan mampu menubuhkan kerajaan dengan penyertaan parti-parti lain.

Kelegaan Belanda, Eropah dan dunia berasaskan kepada kebimbangan bahawa gelombang populis yang melanda Barat ekoran kemenangan pihak Brexit di Britain dan Donald Trump di Amerika Syarikat tahun lalu turut merebak ke negara itu. Jika Wilders yang berkempen atas janji untuk menghalang kemasukan pendatang Islam dan mengharamkan al-Quran boleh menambahkan ketegangan bukan saja di Belanda, tetapi juga Eropah serta dunia.

Malah semasa berkempen itu pun, Perdana Menteri Rutte terpaksa berdepan dengan suasana hubungan tegang antara Belanda dan Turki apabila kerajaannya menghalang kemasukan dua menteri dari negara Islam itu. Pada Sabtu minggu lepas, Menteri Luar dan Menteri Hal Ehwal Keluarga Turki dihalang masuk ke Belanda untuk memberi ucapan dalam satu perhimpunan di Rotterdam. Acara itu merupakan kempen untuk suatu referendum meminda Perlembagaan Turki pada 16 April.

Terdapat banyak orang Turki di Belanda yang akan mengundi dalam referundum kontroversi itu. Cadangan pindaan Perlembagaan Turki itu bertujuan untuk memberi kuasa lebih besar pada presidennya, Reccep Tayyip Erdogan. Kerajaan Belanda menyatakan tindakan mereka menghalang kemasukan menteri-menteri Turki itu adalah bagi mengelak berlakunya gangguan awam kerana ada kemungkinan akan tercetus pertempuran antara penyokong Erdogan dan penentangnya. Peristiwa kekacauan seumpama itu sudah berlaku di Jerman, negara yang mempunyai banyak penduduk keturunan Turki.

Erdogan mengecam tindakan The Hague menghalang kemasukan menteri-menterinya dan mengancam akan mengenakan sekatan ekonomi ke atas Belanda sambil menyifatkan kerajaan Rutte sebagai “fasis dan saki-baki Nazi.” Tuduhan sama juga dilemparkan oleh Erdogan kepada Jerman yang turut menghalang kemasukan menteri-menteri Erdogan.

Kata-kata Erdogan itu menimbulkan kemarahan pemimpin-pemimpin Kesatuan Eropah (EU) yang menyifatkan Presiden Turki itu 'sebagai terkeluar daripada realiti'. Brussels juga menyifatkan komen Erdogan tidak selaras dengan cita-cita negara itu hendak menyertai EU. Namun begitu, penganalisis menyifatkan sifat keras Erdogan itu adalah cara beliau mengeksploit suasana populis anti-imigran dan anti-Islam bagi meraih lebih banyak undi daripada sentimen nasionalis bukan saja daripada kalangan orang Turki di Eropah tetapi juga rakyatnya di negara sendiri.

Rombak sistem

Pada waktu sama ada penganalisis menyatakan bahawa tindakan pemimpin Belanda menghalang kemasukan menteri-menteri Turki itu adalah untuk meraih mata politik dalam persaingannya menentang pihak Wilders dalam pilihan raya negara itu. Begitu juga di Jerman yang mana canselornya, Angela Merkel menghadapi persaingan dengan golongan yang anti-imigran dan anti-Islam. Keadaan sama berlaku di Perancis di mana republik akan menghadapi Pilihan Raya Presiden.

Tetapi dari tahun lalu, hubungan antara Barat dengan Turki dalam keadaan yang tidak baik sejak Erdogan berjaya menumpaskan satu rampasan kuasa dengan diikuti tindakannya menekan pihak penentangnya secara tidak demokratik termasuk menyekat kebebasan akhbar, tangkapan-tangkapan politik dan pemecatan ahli-ahli akademik. Banyak penentang Erdogan yang lari ke Eropah, dan di situlah persaingan antara dua kumpulan ini merebak.

Erdogan menuduh Fethullah Gulen yang menetap di Amerika Syarikat sebagai dalang rampasan kuasa dan membayangkan bahawa Barat mahu menjatuhkannya. Dalam keadaan begitu, Ankara mengeratkan hubungannya dengan Moscow. Hubungan tegang Barat-Turki dan Eropah-Turki ini berlaku ketika gelombang populis yang bersifat nasionalis, kanan jauh (far right), anti-imigran dan anti-Islam meningkat dengan mampu menaikkan pemimpin-pemimpin yang boleh merombak sistem politik sedia ada, serentak merungkai EU.

Kejayaan Trump menjadi presiden dan pengundi Britain keluar daripada EU meningkatkan kemungkinan kemenangan golongan kanan jauh ini. Buat masa ini kemaraan mereka terhalang dengan kegagalan parti-parti seumpama itu dalam pilihan raya di Austria dan Belanda walaupun mereka menunjukkan kekuatannya dalam satu referendum di Itali. Namun, kedua-dua negara itu kecil berbanding Jerman dan Perancis yang bakal hadapi pilihan raya.

Sentimen anti-imigran dan anti-Islam adalah antaranya dipupuk melalui reaksi daripada serangan-serangan oleh pengganas Daesh di samping kebanjiran pendatang dan pelarian dari negara-negara Islam, khususnya Syria, Afrika dan Afghanistan. Di Syria pula, perang saudara di sana menarik penglibatan Turki, Amerika dan Perancis yang memihak golongan yang menentang rejim Bashar Assad. Dalam waktu sama Daesh pula turut terlibat dengan perang itu, menjadikannya tiga penjuru.

Bagi Erdogan pula, beliau melihat bahawa Barat menyokong pihak tentera Mesir menggulingkan Presiden Mohamed Morsi yang datang dari kalangan gerakan Islam pada tahun 2013. Baginya perkara sama boleh berlaku padanya. Walaupun beliau bersama Barat mendokong Arab Spring untuk mengubah rejim di Tunisia, Libya, Mesir, Yaman dan Syria. Kini corak Barat sedang berubah dengan kepimpinan Trump di Amerika menimbulkan suasana berlainan di Timur Tengah. Maka suatu penyusunan semula sedang berlaku yang akan turut melibatkan Turki, Iran dan Rusia.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Belanda, Rutte menyatakan bahawa ketegangan diplomatik antara negaranya adalah suatu yang paling buruk pernah berlaku sejak bertahun-tahun lalu. Beliau berazam memperbaiki hubungan antara kedua-dua negara. Tetapi sebarang langkah keras Turki akan dibalas dengan tindakan sepadan.

Belanda dan Turki wajar memulihkan hubungannya demi kebaikan kedua-duanya, dan Eropah sendiri. Benua itu sedang menghadapi cabaran hebat daripada golongan kanan jauh dan sebarang sentimen anti-imigran dan anti-Islam tidak baik bagi Eropah, Barat dan dunia. Walaupun EU masih tidak mahu menerima Turki sebagai anggotanya tetapi sifat republik itu sebagai sebahagian daripada Eropah tidak boleh dinafikan bukan saja dari segi sejarah dan geografi, malah dalam bentuk tamadun.

Orang Islam, walaupun minoriti di Eropah, ia sudah menjadi sebahagian daripada benua itu, dari dulu mahupun akan datang. Islam dan umatnya bukannya tamadun asing bagi Eropah khususnya, dan Barat amnya. Ada sebahagian golongan di Eropah yang melihat nilai-nilai Islam adalah berbeza daripada Barat. Ini kerana antara asas Barat adalah agama Kristian. Tetapi hakikatnya nilai-nilai Barat tidaklah beku, begitu juga dengan Islam. Ada nilai-nilai yang serupa. Tetapi tentulah terdapat perbezaan. Barat pun sudah tidak berasaskan pada Kristian.

Mereka sudah mengambil nilai-nilai sekular, yang antaranya tidak selaras dengan Kristian tradisional. Begitu juga dengan Turki. Ia juga merupakan negara sekular walaupun majoriti penduduknya beragama Islam.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain