Jika tidak, akan bercelarulah kehidupan manusia itu sendiri. Tidak terkecuali para pemimpin. Mereka juga perlu menunaikan hak setiap orang yang dipimpin. Mereka tidak boleh mementingkan diri sendiri kerana itu boleh memberi kesan terhadap kepimpinannya.

Sebagai contoh, hanya kroni sahaja mendapat manfaatnya. Sudah tentu perkara ini akan meningkatkan lagi permasalahan dalam kehidupan bermasyarakat kerana majoriti orang yang dipimpin hidup susah dan sengsara.

Walhal, pemimpin itu sendiri sebenarnya diangkat oleh masyarakat untuk memajukan kehidupan mereka. Dalam hal ini juga amalan kroni kapitalis yang secara terang-terangan diperkenalkan oleh barat sememangnya tidak boleh diterima dalam kehidupan bermasyarakat.

Hakikatnya, amalan kroni kapitalis mendorong banyak kecelaruan yang dialami dalam ekonomi sesebuah negara pada masa kini. Jurang antara kaya dan miskin semakin melebar. Jika ini berlaku, mana mungkin seseorang pe­mimpin yang dipilih oleh rakyat itu dapat menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya dengan baik?

Hanya segelintir golongan sahaja yang menikmati manfaatnya. Kekayaan negara gagal diagihkan secara adil dan saksama. Mereka yang berhak mendapat manfaat dipinggirkan, manakala mereka yang tiada merit terus menikmati manfaat tersebut. Tindakan sebegini merencatkan sama sekali ekonomi bermasyarakat.

Ini sekali gus mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kehidupan majoriti rakyat yang memilih pemimpin berkenaan. Sudah terang lagi bersuluh, amalan kroni kapitalis di negara-negara barat telah merosakkan kehidupan mereka.

Krisis demi krisis ekonomi berlaku dan rata-ratanya berpunca daripada amalan kapitalis yang bersandarkan kepada bantuan terhadap orang-orang tertentu sahaja sama ada memiliki talian kekeluargaan atau hubungan rapat serta istimewa dengan seseorang pemimpin, manakala majoriti rakyat terpaksa menanggung akibatnya.

Apabila hak rakyat tidak ditunaikan dengan baik, maka rakyat berhak menuntutnya daripada pemimpin mereka. Inilah asas keadilan iaitu berprinsipkan hak saksama dan bukan hak sama rata yang bertunjangkan pandangan barat yang membinasakan kehidupan manusia itu sendiri.

Misalnya, apa yang berlaku di Palestin menggambarkan kegagalan sistem barat yang menafikan hak asasi manusia. Rakyat Palestin ‘halal’ menuntut tanah air mereka tetapi dinafikan oleh Israel dan rejim Zionis. Disebabkan itu, Israel dan rejim Zionis sanggup mengenakan pelbagai tindakan terhadap umat Islam Palestin daripada memasuki Masjid Al-Aqsa seperti yang berlaku baru-baru ini.

Bagaimana mungkin golongan sebegini yang disokong oleh barat ingin mengajar manusia sejagat tentang hak asasi manusia sedangkan mereka sendiri terang-terangan tidak mempedulikan hak asasi manusia seperti di Palestin? Inilah dikatakan ketam mengajar anaknya berjalan.

Begitu juga tindakan orang ramai mengutip beras yang bertaburan di jalan raya di Tanjong Karang dalam satu kejadian minggu lalu.

Sudah tentulah beras tersebut tidak boleh dikutip apatah lagi untuk dimakan atau dijual tanpa kebenaran pemilik beras berkenaan. Ini kerana pemilik beras tersebut memiliki hak terhadap barangannya. Malah, dia berhak menuntut kembali berasnya daripada sesiapa yang mengambil beras itu tanpa kebenarannya.

Ini bukan kali pertama terjadi, sudah beberapa kali kes sebegini berlaku dan semuanya ini menggambarkan bahawa ada yang tidak kena dengan masyarakat kita seolah-olah tidak memahami hak masing-masing. Malah, jauh sekali memahami hak orang lain.

Begitu juga dalam kes membuat melibatkan tuntutan palsu. Ramai yang mengetahui bahawa perkara ini salah iaitu bukan setakat dari segi undang-undang negara tetapi juga haram dari segi agama Islam. Bagaimanapun kes tuntutan palsu tetap berlaku.

Direka-rekanya transaksi dalam pelbagai bentuk. Kesannya, wang yang sepatutnya disalurkan kepada yang berhak terpaksa diberikan kepada golongan penipu ini. Ini yang berlaku dalam era sekarang. Lebih-lebih lagi didorong dengan pelbagai faktor seperti ingin hidup bermewah atau kerana faktor kesulitan hidup.

Yang pasti, peningkatan kes berkaitan dengan tuntutan palsu menunjukkan bahawa ramai yang sanggup menuntut sesuatu yang bukan haknya. Dengan kata lain, menuntut sesuatu yang tidak halal dituntut akan merosakkan organisasi dan negara dek kerana terdapat golo­ngan sebegini dalam masyarakat.

Keadaan itu berbeza sama sekali dalam kes wang tidak dituntut (WTD) berjumlah RM5.779 bilion sebagaimana dilaporkan oleh Utusan Malaysia, baru-baru ini. Dalam isu ini, pemilik sebenar wang tersebut berhak menuntut WTD.

Sesiapa sahaja boleh membuat semakan untuk menge­tahui sama ada mereka mempunyai WTD atau tidak dengan pihak Pendaftar WTD, JANM. Apa yang penting di sini, WTD tersebut perlu dikembalikan semula kepada pemilik sebenar. Manfaat wang itu sewajarnya digunakan untuk kebaikan masing-masing dan tidak hanya tersimpan dalam pegangan Pendaftar WTD, JANM.

Tuntutlah hak halal anda dan hindarilah membuat tuntutan palsu yang menggadaikan hak orang lain. De­ngan itu, barulah kehidupan bermasyarakat lebih bermakna dan sejahtera dalam menegakkan apa yang dikatakan sebagai keadilan dan kesaksamaan.