Benar saya membesar di Kuching tetapi kawasan tersebut adalah jauh iaitu hampir 80 kilometer dan asing sama sekali. Menggunakan orang tengah, saya diperkenalkan kepada seorang lelaki tempatan. Sebenarnya, orang tengah pun tidak berapa pasti kebolehan lelaki ini. Tangkap muat saja.

Berusia awal 40-an, dia mengaku tahu selok-belok kawasan Tebedu, di mana sempadan Malaysia dan laluan rondaan Tentera Nasional Indonesia (TNI). Masa yang diperuntukkan agak terhad untuk merekrut orang lain, maka kami memulakan perjalanan.

Makan tengahari di Serian, lelaki ini berulang-ulang kali mahu meyakinkan saya bahawa dia mengenali ramai orang di situ. Saya angguk saja sambil menyuap nasi. Pada masa yang sama, lelaki ini menegur menyapa orang lalu lalang. Yang lawaknya, tidak seorang pun membalas sapaannya. Bukan kerana tidak kenal tetapi lebih kepada pandangan 'ah, orang ini tidak boleh didekati, dipercayai.'

Dalam kepala saya terus terfikir, apakah lelaki ini con man yang modus operandi suka name dropping (menjaja nama orang supaya dikagumi atau mengaut untung). Benar sangatlah telahan itu, sesampainya di pekan Tebedu, dia memberi pelbagai alasan untuk tidak mengikuti saya masuk hutan sempadan. Saya tidak mahu bergaduh di situ tetapi saya minta dia datang balik di situ keesokan harinya untuk membawa saya pulang ke Kuching.

Peristiwa lelaki yang suka name dropping ini sentiasa berlegar di benak kepala saya sepanjang kerjaya menjadi wartawan. Boleh dikatakan hampir saban masa akan muncul individu-individu yang mahu bertemu, dengan alasan mengenali VIP itu, VIP ini. Walhal saya bukan ada perniagaan atau memiliki bank. Ketahuilah, sekelip mata itu juga ia mematikan minat saya untuk berurusan.

Mengapakah ada kalangan kita tidak boleh hadir sebagai diri mereka sendiri tetapi sibuk menjaja nama orang lain? Ini semua sindrom kemaruk hendak buat orang kagum pada diri mereka. Kagum apa? Kagum kenal VIP. Kagumkah? Apakah jika tidak dilayan permintaan mereka, maka VIP itu akan memarahi kita? Percayalah, VIP itu pun tidak tahu namanya dijaja. Kalau tahu pun, pasti VIP itu tidak bersetuju namanya dijaja. Tapi orang masih buat juga.

Selain name dropping, berikut adalah kegilaan yang dibuat orang untuk menunjukkan diri mereka handal dan pandai serta berpengaruh, walhal penilaian orang terhadapnya tidak mungkin sama:

» Gila pangkat

Perihal mengejar, berebut dan gila pangkat ini, saya telah baca sejak di sekolah menengah lagi. Dalam subjek Sejarah Melayu, dikisahkan pembesar-pembesar negeri melakukan konspirasi terhadap panglima - Hang Tuah dilaga-lagakan dengan panglima neo-liberal zaman purba, Hang Jebat. Benar, jika sudah berpangkat, kuasa di tangan anda. Zaman ini, perkara pertama dibuat ialah 'balas dendam' pada orang yang ditumbangkan. Tragis.

Kisah orang gilakan pangkat 'Datuk' sudah kerap dibincangkan dan diketawakan bila muncul menjadi kes mahkamah orang ditipu spesies name dropping yang kononnya boleh menjual gelaran. Dan kes seumpamanya masih wujud ke hari ini. Kenapa?

» Gelaran Doktor

Satu lagi yang jadi pemerhatian ialah berkaitan pangkat Ph.D atau Doktor Falsafah. Dalam kebanyakan situasi, kita merujuk kepada amalan di Barat. Tetapi dalam soal Ph.D ini nampaknya tidak. Di Barat, individu meletakkan gelaran Dr. atau Doktor di depan nama, hanya bagi mereka yang dalam bidang perubatan. Kalau Ph.D kesusasteraan atau Ir. untuk kejuruteraan, mereka sekadar letak Ph.D atau Ir. di belakang nama. Tidak apalah di Malaysia galak gunakan Dr. di hadapan nama. Lagipun, bukan calang-calang orang dapat Ph.D. Kena lulus ijazah pertama dan Sarjana baharu dapat Ph.D. Jauh lebih susah daripada meraih pangkat lain.

» Pamer nama universiti pada cermin belakang kereta

Lagi jauh belajar, lagi gagah rasanya jika nama universiti dilekat pada cermin belakang kereta. Tidak mengapalah kereta sekadar Perodua Kancil sekali pun. Nak bagi tahu bahawa walaupun kereta kecil, pemiliknya otak bergeliga, belajar luar negara. Tapi kalau berani sila tanya. Mana tahu dia jawab, masa beli kereta (terpakai), pelekat itu sudah memang ada.

» Kongsi artikel bijaksana

Lihat posting dalam Facebook. Bila sudah bosan mengutus pernyataan lokasi melancong, ada spesies yang akan share atau berkongsi artikel yang bertema subjek yang kompleks dan pintar, agar orang lain kagum terhadap tahap pembacaannya. Tengok pautan artikel, rupa-rupanya daripada Wikipedia. Sumber yang sahih, sangat-sangat.

» Merungut pasal kebodohan orang lain

Ironinya, anda mungkin akan berkata, bukankah artikel ini menepati tajuk nombor 5 ini? Bahawa saya merungut tentang perlakuan tidak pandai orang lain. Mungkin benar. Tetapi saya merungut perlakuan terlampau tidak pandai yang orang buat demi mendapat pujian orang lain. Berpada-padalah dalam semua perkara, termasuk dalam usaha meraih pujian. Nanti yang dapat bukan pujian tetapi kejian.