Bagaimanapun, demi memastikan keamanan dan kestabilan di Tunisia, pemimpin Al-Nahda ini lebih rela berkongsi kuasa dengan membentuk kerajaan campuran dengan parti-parti politik lain dan tidak memegang tampuk kepimpinan.
Sheikh Rached tiba di Malaysia sebagai tetamu negara, telah mengadakan beberapa lawatan yang diatur khas selain pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Seri Perdana kelmarin.
Berikut adalah temubual dalam sidang media khas yang turut disertai oleh wartawan Utusan Malaysia, ZAHARUDDIN MOHD. ALI, SAIFULIZAM MOHAMAD, KAMIL MASLIH dan jurugambar FAUZI BAHARUDIN yang diadakan di Putrajaya, selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri kelmarin.

 

 

Sudah lebih enam tahun selepas Revolusi Arab Spring, Mungkin Sheikh dapat kongsi pengalaman Tunisia mengharungi fasa tersebut berikutan banyak negara yang gagal serta pengalaman Tunisia dalam mewujudkan kerajaan perpaduan?

Rached: Saya amat bersyukur dapat berada di Malaysia, sebuah negara yang indah dan berjaya. Saya telah mendapat jemputan rasmi daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan juga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Mengenai Revolusi Arab Spring, ia bermula di Tunisia dan banyak negara Arab yang terpe­ngaruh. Semua maklum, revolusi tidak mencapai matlamatnya dengan mudah daripada permulaannya. Banyak cabaran dan ke­sukaran yang perlu dihadapi.

Mengenai Tunisia, negara kami telah berjaya dalam transisi ke arah demokrasi dan banyak pe­rancangan telah diteruskan se­perti mencapai kemajuan dalam merangka perlembagaan negara, menganjurkan lebih daripada satu pilihan raya yang adil dan bebas. Sehingga kini Tunisia di bawah demokrasi menerusi kerajaan, dewan perwakilan dan pre­siden yang dipilih oleh rakyat.

Kita juga akan mengadakan pilihan raya tempatan pada hujung tahun ini yang mengukuh­kan lagi demokrasi. Tunisia ber­ada pada landasan yang betul untuk menjadi contoh demokrasi kepada dunia Arab.

Ini membuktikan Islam dan demokrasi adalah serasi serta tidak mustahil untuk demokrasi di negara-negara Arab kerana te­lah dibuktikan di Tunisia. Isunya adalah mengenai masa untuk negara-negara Arab bergerak ke arah demokrasi dan masalah dari segi transisi itu adalah perkara normal.

Apakah sebabnya Tunisia berbeza dengan negara lain, Pergerakan Al-Nahda telah berjaya mencapai kemenangan majoriti pada pilihan raya 2011 tetapi berupaya untuk bekerjasama secara konsensus dengan parti lain, me­ngapa begitu penting kestabil­an politik dan kerjasama politik dalam pentadbiran demokrasi?

Ia adalah mengenai masa untuk kita melihat negara-negara Arab lain meneruskan projek mereka ke arah demokrasi. Apa yang membezakan Tunisia adalah situasi di Tunisia tidak serumit negara-negara Arab lain.

Rakyat Tunisia semua serupa, kita terdiri daripada bangsa yang sama, agama yang sama, bahasa yang sama dan mahzab yang sa­ma. Negara-negara Arab lain ba­gaimanapun adalah lebih rumit dan mungkin perlu mengambil lebih banyak masa dan pengorbanan untuk demokrasi.

Namun, saya percaya, selepas 2011, negara-negara Arab telah memasuki era baharu dan banyak transisi ke arah demokrasi tetapi ini memerlukan masa. Antara sebab Tunisia berjaya mengelakkan masalah polarisasi adalah kerana kami menerima konsep konsensus.

Kami (Pergerakan Al-Nahda) sebagai muslim sederhana menerima hakikat pada 2013 untuk menarik diri daripada kerajaan (untuk pilihan raya) tanpa sebarang kudeta atau revolusi kerana kita percaya demokrasi adalah lebih penting daripada parti politik untuk kekal berkuasa.

Kita juga percaya konsensus adalah penting untuk fasa transisi. Mentadbir kerajaan yang memperoleh majoriti 51 peratus adalah baik untuk demokrasi dan kestabilan. Kami, Tunisia memilih untuk mentadbir menerusi konsensus dan bukannya menerusi majoriti mudah.

Sheikh, apakah pendapat anda mengenai demokrasi di Malaysia?

Dalam dunia muslim, Malaysia dilihat sebagai negara contoh dari segi pembangunan dan contoh terbaik negara yang berjaya kepada negara-negara Islam. Dalam tempoh Islam diserang daripada pelbagai sudut, Malaysia memberi contoh terbaik mengenai Islam sebagaimana yang dianjurkan dalam al-Quran.

Malaysia juga membuktikan Islam boleh wujud bersama antara golongan muslim dan bukan muslim. Keamanan yang dicapai itu amat penting dalam membuktikan Islam boleh menguruskan realiti tanpa perlu sebarang konflik atau perang saudara.

Malaysia telah menunjukkan kepada dunia bahawa Islam boleh wujud dalam situasi yang kompleks dan rumit.

Saya ingin merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia kerana telah memberikan imej indah mengenai muslim sebagaimana dalam al-Quran dan pada masa sama bercirikan kontemporari.

Begitupun, dalam kehidupan ini, kita tidak boleh beranggapan adanya idealisme atau rejim yang mutlak, oleh itu, kita perlu me­ningkatkan lagi kemajuan ke arah perkara yang kita harapkan.

Saya difahamkan anda telah bertemu dengan Perdana Menteri di Seri Perdana. Apakah hasil pertemuan ini dan boleh dikongsikan bersama kami?

Seperti yang sedia maklum, kedatangan saya bersama de­legasi ke Malaysia adalah jemputan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan berhubung pertemuan saya dengan Perdana Menteri, ba­nyak perkara dan isu yang kami bincangkan, antaranya isu melibatkan orang Islam seperti Arab Spring yang berlaku di dunia Arab sebelum ini. Isu tentang Pa­lestin.

Saya juga memberitahu beliau Tunisia menghargai apa yang telah lakukan oleh Malaysia terhadap isu Palestin termasuk lawatan Perdana Menteri ke Gaza pada 2013.

Hakikatnya, bukan mudah seseorang pemimpin untuk sampai ke sana (Gaza) sebaliknya memerlukan personaliti hebat untuk melakukan sedemikian.

Begitu juga usaha Malaysia membantu etnik minoriti Islam Rohingya.

Kami juga menghargai pe­ranan Malaysia dalam isu membabitkan minoriti masyarakat Islam di selatan Thailand dan selatan Filipina.

Saya dan Perdana Menteri turut berbincang cara bagaimana untuk memperkukuhkan lagi hu­bungan antara Tunisia dan Malaysia dalam bidang-bidang tertentu khususnya pelaburan. Untuk makluman, saya dan de­legasi telah dibawa melawat ke beberapa syarikat besar Malaysia antaranya Tabung Haji dan Felda.

Justeru, saya memohon Perdana Menteri agar syarikat-syarikat Malaysia ini datang ke Tunisia untuk melabur. Kedatang­an mereka amat dialu-alukan kerana saya percaya langkah ini juga akan membuka lebih banyak peluang khususnya kepada Tunisia dalam konteks pembangunan ekonomi negara kami.

Bahkan saya percaya benua Afrika sendiri akan turut menerima manfaatnya sekiranya Malaysia menjadikan Tunisia sebagai salah satu platform pelaburan yang terpenting.

Seperkara lagi tentang kerjasama dalam bidang pendidik­an. Saya telah meminta kepada Perdana Menteri untuk memberi lebih banyak peluang kepada pelajar-pelajar Tunisia melanjutkan pengajian mereka ke universiti-universiti di Malaysia.

Saya juga berbesar hati mempelawa pelajar-pelajar dari Malaysia untuk melanjutkan pengajian ke Tunisia antaranya dalam bidang bahasa Arab, pengajian Islam dan sains. Sebenarnya ba­nyak ciri persamaan yang terdapat antara Tunisia dan Malaysia. Saya yakin kerjasama ini boleh kita galakkan antara kedua-dua negara.

Berbalik kepada kejayaan ker­jasama politik yang berlaku di Tu­nisia pada masa ini se­perti yang dijelaskan. Apakah pan­dangan tentang idea tersebut untuk tujuan pelaksanaannya di Malaysia yang mungkin akan melibatkan dua parti terbesar umat Islam?

Kami menggalakkan kerjasama antara dua parti ini dalam konteks berkongsi kuasa antara parti berasaskan Islam dengan parti pergerakan kebangsaan.

Sistem kerajaan Tunisia ber­asaskan kerjasama dalam bentuk ini melibatkan pergerakan Al-Nahda sebagai parti berasaskan Islam sederhana dan Nidaa Tounes yang mewakili pergerakan kebangsaan.

Kami percaya model politik se­perti ini boleh dilaksanakan dalam banyak negara Islam ter­utama dalam usaha kita mengelakkan konfrontasi antara pendukung Islam dengan golongan sekular.

Kerajaan Tunisia selepas berlakunya revolusi adalah berasaskan kepada kerjasama politik antara pergerakan Islam sederhana dengan pergerakan kebangsaan. Kami yakin rangka kerja dalam bentuk ini boleh dilakukan di banyak negara Arab dan negara Islam lain bagi mengelakkan perang saudara, konfrontasi serta mengelakkan berlakunya pola­risasi antara orang Islam dan bukan Islam serta pendukung Islam dan golongan sekular.

Atas asas ini saya cukup yakin model politik serupa boleh dilaksanakan di Malaysia. Mengapa tidak? Apapun rakyat Malaysia sahaja yang boleh menentukan apakah bentuk model politik yang mereka mahukan.

Adakah mudah untuk mengharmonikan antara parti berasaskan Islam dengan parti berasaskan kebangsaan untuk bergabung atau pun paling tidak kedua-duanya menjalinkan ker­jasama. Ini memandangkan kedua-dua parti tersebut mempunyai perbezaan idea, pandang­an dan perspektif. Bagaimana dengan pandangan sheikh dalam perkara ini berdasarkan kepada pengalaman Tunisia?

Boleh dilakukan. Apabila Tunisia berjaya melakukannya, saya yakin perkara yang sama boleh dilakukan di negara-negara lain juga. Sebenarnya kita perlu mengelakkan sebarang usaha menjurus kepada hegemoni sebaliknya perlu ada konsensus dan inilah keperluan dalam sistem demokrasi.

Saya tertarik dengan beberapa fakta yang dikemukakan dalam isu ini. Mungkin di Tunisia usahanya lebih mudah kerana sifat demografinya yang lebih homogeneous berbanding Malaysia yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum.

Sememangnya situasi di Malaysia lebih rumit namun saya melihat faktor kepelbagaian ini tidak menghalang rakyat Malaysia untuk memaparkan identiti kebangsaan melalui hubungan secara pragmatik. Tahniah daripada saya kepada semua rakyat Malaysia atas kejayaan ini. Paling penting, keamanan dalam kalang­an rakyat sentiasa terjamin.

Saya difahamkan pergerakan Al-Nahda meletakkan kepen­tingan kebangsaan sebagai ke­utamaan? Boleh jelaskan?

Keutamaan sekarang bukan lagi kepada parti sebaliknya kepentingan negara dan rakyat adalah segala-galanya. Sehubung­an itu kami memilih konsep perpaduan kebangsaan untuk menjamin keamanan walaupun tiba satu peringkat kami terpaksa mengorbankan kedudukan parti dalam kerajaan.

Tetapi sekarang iaitu selepas pilihan raya lalu, wakil pergerakan Al-Nahda dalam Parlimen adalah paling majoriti. Parti yang me­nguasai Parlimen ketika ini adalah pergerakan kami (Al-Nahda).

Sungguhpun begitu kami me­ngambil keputusan untuk berkongsi kuasa dengan parti lain. Sebab itu kerajaan sedia ada masih diterajui oleh parti Nidaa Tounes.

Seperti yang saya tekankan sebelum ini tujuannya adalah untuk mengelakkan polarisasi, mengelakkan sebarang konfrontasi sebaliknya menggalakkan toleransi, kerjasama dengan semua rakyat serta parti dalam negara kami.