Mereka begitu rakus mahu menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN). Oleh itu, wujudlah gerakan-gerakan politik yang bukan sahaja membosankan malah memualkan. Lebih daripada itu rakyat diheret sama untuk menjamah dan menghadam mainan politik yang ada ketikanya cukup mengelirukan dan memusnahkan amalan demokrasi itu sendiri.

Dalam keghairahan nafsu politik itu juga ada dalam kalangan mereka ‘tenggelam punca’. Hanya di­sebabkan mahu melunaskan dendam peribadi, individu berkenaan bukan sahaja bagaikan ‘mencampakkan prinsipnya ke dalam longkang’ malah sanggup ‘melelong’ maruahnya semata-mata ‘hati sudah hitam dilumuri’ api kebencian.

Itulah yang dapat kita saksikan apabila mengkaji corak dan pendekatan politik yang dilakukan oleh Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz. Si bapa bukan sahaja sanggup ‘menyembah’ musuh politiknya malah bersedia ‘mengemis’ kepada pihak asing untuk memburuk-burukkan negara sendiri.

Satu ketika dahulu ketika beliau menjadi orang paling berkuasa di Malaysia, si bapa yang dipanggil ‘Maha Firaun’ oleh parti-parti pembangkang menyelar mereka yang meminta bantuan asing.

Beliau dengan lantang menganggap mereka yang bertindak demikian sebagai pengkhianat kepada negara tetapi sekarang Dr. Mahathir sendiri ‘mengemis’ kepada pihak asing untuk campur tangan dalam urusan politik dan pentadbiran negara ini.

Dr. Mahathir melakukan tindakan tersebut kerana memahami dengan keadaan Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang bercelaru, beliau tidak akan mampu melunaskan satu-satunya agenda peribadinya iaitu menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Meminta bantuan asing termasuklah dalam soal menjadi pemantau pilihan raya adalah satu penghinaan kepada kredibiliti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang terus dimomokkan kononnya berat sebelah. Kalau betul SPR berat sebelah bagaimana mungkin parti-parti pembangkang boleh menawan Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang, malah pada 1999 Terengganu juga jatuh kepada Pas manakala Kedah terlepas kepada parti itu pada 2008.

Lebih hebat lagi BN kehila­ngan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat sejak 2008. Sebagai orang yang pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, Dr. Mahathir tidak sepatutnya meletakkan tahap pemikiran dan corak politiknya sama taraf dengan musuh-musuh politiknya walaupun mereka kini berada dalam satu pakatan.

Tetapi politik kebencian dan dendam peribadi telah memungkinkan Dr. Mahathir yang pernah diiktiraf cukup hebat dengan seni politiknya sepanjang menjadi Perdana Menteri bagaikan hilang arah.

Dr. Mahathir bukannya tidak tahu baik buruk tindakannya tetapi dalam usia mencecah 93 tahun, Dr. Mahathir bagaikan sudah kehilangan sentuhan untuk bertindak matang dalam politik. Dalam kalangan pemimpin pembangkang khususnya PPBM, mereka amat mengetahui apa yang dilakukan oleh Dr. Mahathir sebenarnya boleh mengundang bencana politik kepada Pakatan Harapan.

Namun mereka tidak boleh me­lakukan apa-apa. Pemimpin-pe­mimpin PKR dan DAP khususnya tidak mahu bersuara mengenai corak politik Dr. Mahathir kerana mereka tidak mahu peluang memperalatkan ­veteran politik itu terjejas.

Langkah politik sumbang Dr. Mahathir turut dicontohi oleh Mukhriz apabila beliau didakwa menyatakan malu mengaku orang Malaysia apabila berada di luar negara, khabarnya beliau lebih bersedia mengaku sebagai orang Brunei.

Tidak mengapalah itu hak beliau, tetapi ini membuktikan begitulah standard atau tahap ahli-ahli politik Malaysia khususnya apabila mereka berada di pihak pembangkang. Segala-galanya me­ngenai negara yang menjadi tanah tumpah darah mereka buruk belaka, sedangkan di bumi bertuah inilah mereka mengecapi pelbagai kemewahan dan paling ketara di tanah inilah, bapanya menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.

Penulis percaya kecelaruan po­litik Dr. Mahathir dan Mukhriz akan berterusan dan ia akan lebih ketara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Mereka akan memanipulasi apa sahaja dan menggunakan apa juga pendekatan politik dengan matlamat melunaskan impian DAP untuk menumbangkan kerajaan BN.

Sememangnya yang akan untung bukannya PPBM mahupun PKR apatah lagi PAN tetapi DAP. Parti itulah yang paling berkuasa dan dominan dalam Pakatan Harapan. Mereka kini bergembira dan bertepuk tangan kerana memiliki seorang ahli politik yang kononnya paling bijak pernah dilahirkan di negara ini bagi melaksanakan misi mereka.

DAP tidak perlu bersusah payah memecahkan undi orang Melayu. DAP tidak perlu pening kepala meraih sokongan Melayu dan sudah pasti DAP juga tidak perlu mengorbankan kerusinya untuk menjatuhkan kuasa politik orang Melayu kerana segala-galanya sedang diuruskan oleh Dr. Mahathir.

Inilah kelemahan dan kejahilan sebahagian orang Melayu berpolitik termasuklah Dr. Mahathir dan ia sekali gus membuktikan apa yang beliau nyatakan mengenai nasib bangsa Melayu sepanjang menjadi Perdana Menteri hanyalah ‘sandiwara politik kelas tertinggi’.

Kalau Dr. Mahathir benar sa­yangkan orang Melayu dan me­ma­hami bahaya jika mereka ke­hilangan kuasa politik, beliau tidak akan tenggelam punca dalam berpolitik. Beliau benar-benar akan menjadi negarawan dan bukan dilihat semakin tidak keharuan, malah Dr. Mahathir juga pasti akan mengajar anaknya supaya bangga menjadi rakyat Malaysia, tidak kira dari manapun asal keturunan kita.