Sepatutnya, mereka tidak bo­­leh marah dengan apa yang ber­laku kerana sebelum ini jika perangai tersebut dianggap tidak elok, bukankah ketika berada se­bagai pembangkang dahulu, mereka juga menunjukkan sikap yang sama?

Sekadar mengingatkan tentang apa yang berlaku ketika Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan dan dipenjara satu ketika dahulu. Siapakah kelompok yang dilihat tidak menghormati Peguam Negara? Siapakah puak yang dianggap tidak menghormati proses mahkamah? Dan siapakah kumpulan yang melemparkan pelbagai tuduhan kepada kerajaan ketika itu?

Masihkah kita ingat, bermula proses penahanan, perbicaraan hinggalah hukuman dijatuhkan, ia dihiasi dengan demonstrasi jalanan, komen-komen di media sosial dan road show bagi mempertahankan Anwar termasuklah menyala lilin di hadapan Penjara Sungai Buloh.

Oleh itu tidak perlulah mereka mahu bertindak bagaikan manusia yang tidak mencermin diri atau ibarat ketam mahu mengajar anak berjalan. Anggap sahaja inilah adegan atau risiko yang perlu ditanggung apabila pendakwaan melibatkan pihak lawan.

Penulis bukanlah menyokong tindakan yang tidak menghorma­ti undang-undang tetapi ha­­nya sekadar mengingatkan pe­nyokong-penyokong kerajaan ba­­ha­wa satu ketika dahulu perangai mereka sama sahaja.

Sekarang Najib sudah didakwa maka sudah tertunailah salah satu janji Pakatan Harapan kepada rakyat, tetapi ingat itu baru satu! Ada berlambak-lambak lagi janji khususnya yang terkandung dalam manifesto belum ditunaikan dan sudah diberi bayangan sukar dilunaskan dengan pelbagai alasan.

Dengan lengkapnya anggota Kabinet berikutan majlis angkat sumpah pada Isnin lalu maka kini tumpuan Kerajaan Pakatan Harapan adalah memastikan janji-janji yang dibuat ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dilaksanakan.

Sudah pastilah mereka yang terpilih menganggotai Kabinet terdiri daripada ahli politik yang hebat-hebat belaka kerana bukan mudah untuk memilih ahli politik yang satu ketika berada di pihak pembangkang begitu bijak mengkritik kerajaan.

Sementara kita memberi peluang kepada Kabinet baharu untuk menjalankan tugas, pada masa sama harapan tinggi perlu disandarkan agar mereka betul-betul menjalankan tugas sebagai menteri dan bukannya berfikiran pembangkang apabila mengendalikan sesebuah kementerian.

Pada masa ini ramai yang memuji sikap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo yang dianggap tahu tanggungjawab sebagai menteri. Malah mereka juga bijak bersoal jawab dengan media dan sentiasa berhati-hati dalam tindakan.

Justeru, menteri-menteri lain perlu mencontohi Anthony dan Gobind kerana mengendalikan sebuah kementerian bukanlah mu­dah dan paling penting kalian sekarang adalah kerajaan bukannya pembangkang.

Janganlah membuang masa terlalu banyak untuk mencari kesilapan pentadbiran terdahulu. Rangkalah strategi dan pendekatan baharu bagi meningkatkan tahap hidup rakyat.

Ini memandangkan rakyat te­lah memberi mandat kepada Pakatan Harapan lantaran janji-janji yang cukup mengagumkan dalam manifesto mereka dan kini kuasa sudah ada di tangan, maka buatlah kerja bukannya mencari salah orang lain.

Kalau ada kelemahan perbaikilah. Kalau ada penyelewengan banteraslah, tetapi jangan terus mahu bermain politik seolah-olah Kabinet kerajaan terdahulu tidak melakukan secebis pun kebaikan kepada rakyat.

Mana yang baik kekalkan, ka­lau kurang baik perbaikilah. Ja­nganlah segala-galanya mahu di­pinggirkan hanya disebabkan ia cetusan idea kerajaan terdahulu. Buktikan kepada rakyat, barisan Kabinet yang ditubuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan merupakan kelompok terbaik yang pernah dilahirkan oleh Malaysia sejak 61 tahun lalu.

Berhati-hatilah membuat ke­nya­taan kepada media dan lakukanlah kerja rumah sebelum me­ngulas sesuatu isu. Jangan te­raba-raba di hadapan kaca tele­visyen sehingga menjadi bahan ketawa rakyat.

Martabat sebagai menteri perlu dipelihara dan dijaga. Jangan terlalu mahu tunjuk berjiwa rakyat sehingga akhirnya dilihat memperbodohkan diri sendiri. Rakyat kini sudah cerdik, mereka tahu siapa yang berpura-pura dan siapa yang benar-benar ‘asli’ dalam sesuatu tindakan.

Cukup-cukuplah berpolitik. Su­dah hampir dua bulan mandat diberikan. Rakyat tidak mahu lagi mendengar alasan apatah lagi terus mendendangkan ‘lagu-lagu lama’ ketika kerajaan sedia ada berada di pihak pembangkang.

Meningkatkan tahap hidup rak­yat, mengurangkan kos sara hidup mereka dan menunaikan segala janji ketika PRU-14 perlu diberi keutamaan. Jangan perkecilkan minda rakyat dengan memberi seribu satu alasan dan terus menjadikan isu tertentu sebagai modal untuk mengalih kegagalan menunaikan janji kepada rakyat.

Apapun kita harus bersikap terbuka dan adil dalam menilai prestasi setiap anggota Kabinet. Apabila sudah menjadi menteri atau timbalan menteri atau berada di pihak kerajaan barulah mereka akan tahu, sesungguhnya mengkritik, bercakap dan berhujah memanglah mudah.

Tetapi apabila tanggungjawab dan amanah sudah terpikul di bahu mereka, ia tidak boleh di­selesaikan dengan mainan lidah sebaliknya perlu dilaksanakan sebaik-baiknya. Jika tidak mereka akan dianggap ‘tin kosong bunyi kuat, isinya tiada’. Hanya pandai bercakap serta mengkritik tetapi bila diberi mandat bak kata anak-anak muda ‘ke laut’.