Angka ini tentunya membimbangkan pelbagai pihak kerana jika dianalisis, bererti lebih kurang 100 kes d­enggi berlaku dalam sehari di Selangor. Hal ini lebih mendukacitakan kerana kematian akibat denggi juga bukan sedikit jumlahnya.

Oleh hal demikian, usaha memperhebat gerakan membasmi denggi perlu dilakukan terutamanya di negeri-negeri yang dianggap ‘panas’ dengan kes denggi terutamanya Selangor. Walaupun gerakan dan kempen kesedaran berkaitan denggi sudah dilakukan dari semasa ke semasa, kes-kes denggi tetap tinggi dan seolah-olah kurang dipedulikan oleh masyarakat.

Selangor umpamanya dianggarkan mempunyai 6.14 juta penduduk dan angka ini sudah tentu menyumbang peningkatan pelbagai kes. Bukan kes denggi sahaja yang tinggi tetapi kes-kes kemalangan dan kematian di jalan raya juga tinggi kerana jumlah penduduk dan kende­raannya sangat tinggi.

Di samping itu, Selangor juga mempunyai jumlah pekerja asing yang sangat tinggi. Kesedaran pekerja asing terhadap pembuangan sampah dianggap rendah sehingga ada sesetengah tempat yang dihuni oleh pekerja asing sangat kotor. Walaupun sistem perparitannya sempurna, tetapi longkangnya dipenuhi sampah yang menakung air dan sebagainya. Ia sudah tentu memudahkan pembiakan nyamuk aedes jika tidak dipantau oleh pihak lain.

Penulis sering menyaksikan beberapa kawasan lot kedai yang disewa oleh warga asing di tingkat atas sesebuah bangunan. Longkang-longkang di depan lot kedai dipenuhi sampah kerana ada antara penghuninya membuang sampah dari tingkat atas ke bawah. Maka tidak hairanlah apabila hujan lebat berlaku, sampah itu akan ke parit besar dan terkumpulah sampah di situ.

Sikap tidak bertanggungjawab individu terhadap sampah amat dikesalkan kerana sampah akan menjadi punca pelbagai masalah seperti pembiakan nyamuk aedes, banjir kilat dan sebagainya.

Kita sebagai warga tempatan mestilah peka terhadap masalah yang berlaku di negara kita. Oleh itu kesedaran betapa bahayanya wabak denggi mesti disemai sejak seseorang itu masih kecil lagi supaya tanggungjawab ini kekal dalam jangka masa yang panjang.

Pendidikan mengenai kesihatan mestilah menekankan wabak denggi sebagai satu ancaman. Ini termasuklah mendidik generasi muda tentang punca-punca denggi, kesan-kesan dan langkah-langkah menanganinya.

Penguatkuasaan undang-undang terhadap denggi mesti diperkemas dan dilakukan secara berterusan. Ini termasuklah mengadakan rondaan di kawasan-kawasan berisiko tinggi berlaku denggi terutama di kawasan panas denggi. Pemantauan oleh pihak berkuasa tempatan terutamanya di kawasan padat penduduk, dan juga di tapak-tapak binaan mesti diperhebat.

Penduduk setempat juga mesti mempunyai inisiatif untuk menangani masalah denggi. Di kawasan-kawasan yang turut dihuni oleh warga asing, adalah menjadi tugas ketua penduduk mengawasi warga asing dalam hal-hal pembuangan sampah dan kebersihan persekitaran. Amaran dan denda mestilah dikenakan ke atas warga asing yang tidak bertanggungjawab terhadap kebersihan sesuatu kawasan.

Pihak majlis mestilah menambah anggota untuk me­ngawal selia sesuatu kawasan apatah lagi kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan panas denggi. Di samping itu, pemantauan mestilah dilakukan secara berterusan dan bukannya menunggu sesuatu kes berlaku, barulah hendak digerakkan.

Kita percaya dengan adanya komitmen pelbagai pihak, masalah denggi akan dapat dikurangkan.